Situasi normal bila ada keluarga masuk campur urusan rumah tangga, tetapi jangan sesekali dibiar sampai makan diri dan keruhkan hubungan.
Realitinya, banyak kes keretakan rumah tangga berpunca daripada campur tangan pihak ketiga. Terutamanya nasihat dari keluarga terdekat! Jom cuba renungkan kejap…
Keluarga Masuk Campur Tangan Urusan Rumah Tangga
1. Tanya Apabila Buntu
Ya, tidak salah mendapatkan pertolongan orang lain terutamanya ahli keluarga yang terdekat mengenai masalah rumahtangga.
Namun kalau boleh, minta pertolongan/nasihat hanya apabila anda benar-benar buntu untuk menyelesaikan masalah tersebut. Setakat masalah kecil, anda dan pasangan harus berbincang sebaiknya. Dikhuatiri jika mendapatkan nasihat dari keluarga atau orang lain, masalah kecil tersebut akan merebak menjadi masalah yang lebih besar.
2. Bijak Memilih Nasihat
Kena teliti dan bijak mengambil nasihat-nasihat yang diberi. Salah percaturan, porak peranda rumah tangga anda. Bukan semua nasihat boleh diterima bulat-buat. Kadang kala, nasihat tersebut baik untuk anda tetapi bukan kepada pasangan anda. Ini boleh dikategorikan sebagai nasihat berat sebelah.
3. Pilih ‘Kaunselor’
Bertanya kepada individu yang boleh membantu menyelesaikan masalah. Tetapi dapatkan nasihat dari individu yang anda rasa boleh menyelesaikan sesuatu masalah dan bukannya mengikut emosi semata-mata.
Individu sebegini dilihat mampu memberikan pandangan merangkumi masa sekarang dan juga akan datang.
4. Berbincang Terlebih Dahulu
Sebelum mendapatkan bantuan keluarga atau insan sekeliling, apa kata anda dan pasangan cuba sehabis mungkin berbincang mencari jalan penyelesaian. Jika boleh, hal rumah tangga harus diselesaikan tanpa melibatkan campur tangan pihak ketiga terutamanya keluarga terdekat.
Tidak salah mengambil pandangan nasihat orang ketiga bagi menyelesaikan masalah rumahtangga tetapi anda haruslah berhati-hati.
5. Tegur Jika Keterlaluan
Sebagai ketua keluarga harus bijak menjalankan peranan sebagai ketua. Sekiranya si isteri asyik mengadu domba mengenai hal berkaitan rumah tangga anda, kemungkinan besar peratus untuk keluarga mertua masuk campur adalah tinggi.
Jika sesuatu pertikaian berlaku melibatkan campurtangan pihak lain, anda haruslah bijak mengatasi masalah ini. Jangan sesekali melibatkan emosi dalam percakapan. Terangkan secara tenang dan jelas kepada semua terutamanya pihak mertua/keluarga bahawa masalah tersebut seharusnya anda dan isteri sahaja yang selesaikannya.
Anda juga disarankan untuk menegur pasangan jika kerap melibatkan keluarga atau orang ketiga dalam masalah anda berdua. Tegur sebaiknya.
Hah, jadi selepas ini kalau ada ahli keluarga masuk campur tangan dalam rumah tangga, pastikan anda tahu macam mana nak selesaikan. Bukan hanya buat tak tahu yang lama-lama akan pudarkan perasaan cinta. Kuasai bab ini, okay!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI