Tak Perlu Berjumpa Setiap Hari, Cukup 3 Minit Borak Di Telefon Pun Dah Ok Sebelum Sah Jadi Suami Isteri
November 19, 2021
Share
Tak kenal maka tak cinta. Dah kenal, kenalah ada titik nokhtah hubungannya. Betul tak? Ramai pasangan yang melalui perhubungan perkenalan atau percintaan yang lama namun ramai yang kecundang di tengah jalan. Tetapi, buat pasangan Mohammad Safiq dan Asifa Azra, kasih yang disemai sejak sembilan tahun lalu diakhiri dengan sebuah ikatan hubungan yang sah.
20 Mei 2021 menjadi tarikh istimewa buat pasangan ini yang disatukan di Segamat, Johor. Meskipun perkahwinan yang dilangsungkan tidak dihadiri sanak-saudara dan rakan-rakan kerana masih di dalam PKP namun kenangan indah itu dirakam dengan sempurna. Azra mengambil keputusan untuk memanggil perancang perkahwinan, jurufoto dan juru video untuk menjadikan hari istimewanya lebih bahagia dan bermakna untuk dipotretkan dalam bentuk gambar dan video.
“Berkahwin di musim PKP bukan mudah terutamanya apabila kami berdua telah merancang pelbagai perkara termasuk mengadakan majlis buat kedua-dua pihak. Namun, atas nasihat dan dorongan keluarga serta rakan-rakan, kami akur untuk melangsungkan perkara wajib terlebih dahulu iaitu bernikah.
Sama seperti pasangan lain, kami menyertai kursus perkahwinan, melengkapkan dokumen-dokumen yang diperlukan kemudian menghantarnya ke pejabat kadi. Sedih juga bila kawan-kawan rapat tak ada di hari bahagia sebab itu semua impian seorang perempuan kan?
Pada malam sebelum nikah baru saya tahu, mereka sudah merancang pelbagai perkara buat saya. Tetapi saya tetap positif, memikirkan pasti ada hikmah di sebalik kejadian ini atau mungkin sudah tertulis semuanya buat saya,” kata Azra.
9 TAHUN BERKENALAN, APA AGAKNYA TIP UNTUK TERUS ‘BERTAHAN’ DALAM PERHUBUNGAN?
Pertama, percaya dengan pasangan anda. Tetapi pada masa yang sama, diri sendiri itu juga perlu meletakkan atau mengehadkan batas pergaulan dengan rakan-rakan.
Yang kedua adalah komunikasi. Walaupun jarang berjumpa, namun kami sering berhubung menerusi telefon bimbit walaupun cuma sekadar 3 minit. Bercakaplah dengan pasangan anda, sekiranya mempunyai masalah atau berkongsi berita gembira. Pasangan bukan sekadar untuk bercinta, malah teman & rakan ketika suka dan duka.
Yang ketiga, sekiranya mempunyai perasaan marah, ambil masa untuk muhasabah diri masing-masing kemudian mohon maaf dan memaafkan.
Yang keempat, cuba mengalah dalam apa jua situasi dan jangan ikutkan sangat perasaan ego. Kadang-kadang perkara yang kecil boleh jadi besar sampai membawa ke situasi yang tidak diingini.
“Safiq adalah seorang lelaki yang sangat penyabar. Sifatnya yang mengutamakan keluarga membuatkan saya lebih sayang padanya.
Soal bosan dalam perhubungan yang lama tak pernah timbul kerana saya dan pasangan mempunyai minat dan kerjaya yang berlainan. Jadi, kami jarang meluangkan masa bersama sebaliknya berjumpa sekiranya mempunyai aktiviti-aktiviti riadah seperti berbasikal, makan bersama rakan-rakan dan keluarga dan selebihnya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap karier masing-masing,” kata Azra.
Di mata Safiq, Azra dilihat wanita yang cukup sempurna…
“Azra ialah seorang yang sangat memahami dan bertoleransi dengan saya. Saya mempunyai kerjaya yang sangat ‘time consuming’ serta sentiasa memerlukan saya on standby mode. Ini yang membuatkan saya jarang dapat meluangkan masa dengan dia terutamanya pada waktu hujung minggu seperti pasangan lain.
Walaupun begitu, dia tetap cuba faham dan bersikap positif. Wanita yang kita tahu, sentiasa mahukan ‘attention’ untuk dia ceritakan hal kerja, peribadi dan sebagainya tapi dengan Azra ia satu perkara yang istimewa yang memang saya tak akan jumpa dengan orang lain. Itu yang membuatkan saya sayangkan dia.” Ujar Safiq.
Untuk menjalani perhubungan yang positif, cubalah elakkan perkara-perkara ini:
Tidak mengongkong pasangan anda.
Kurangkan pertemuan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku kerana masih tiada ikatan.
Elakkan berkongsi masalah di media sosial.
Jangan berselindung atau berahsia, jujur dan berterus terang pada pasangan.
Tidak membezakan pasangan anda dengan orang lain.
Semoga pasangan ini sentiasa di bawah lindungan Allah dan kekal bahagia sehingga ke akhir hayat. Tahniah Safiq dan Azra!
***JOM SERTAI CHANNEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.