Sudah agak lama kita tak nampak pengantin yang mengadakan majlis resepsi dengan bertemakan Melayu Klasik. Kalau zaman mak-mak kita dulu, datang majlis kahwin pun makan bersila. Tetapi lain pula dengan pasangan Nur Hidayah Muzaffar dan Mohamad Faimi Fuad, 33. Mereka mengetengahkan konsep dulu kala untuk majlis resepsi.
Istimewanya tentang pasangan ini bukan hanya pada majlis tetapi kisah mereka berkenalan juga sangat berbeza.
“Saya berkenalan dengan suami melalui seorang gelandangan bernama Pak Din. Ketika itu suamilah yang menguruskan makanan, pakaian dan tempat tinggalnya, sungguhpun mereka tiada pertalian darah. Saya pula ketika itu menjalankan perniagaan gunting rambut di Kampung Hulu Melaka. Setiap bulan saya akan memberikan perkhidmatan potong rambut percuma kepada Pak Din. Dari situlah saya mula kenal suami. Dan kerana sikap prihatin suamilah saya memilih dia menjadi teman hidup.”
Balai Adat Perkampungan Hang Tuah, Duyong, Melaka menjadi lokasi untuk merealisasikan konsep perkahwinan impian. Majlis akad nikah dan resepsi telah diadakan pada 10 Oktober 2022 dengan wang hantaran sebanyak RM10,000.
“Hantaran kami tidak seperti orang lain, yang beri barangan keperluan seperti
handbag dan sebagainya. Untuk saya, pihak lelaki hanya memberi satu set perhiasan emas.” tulis Hidayah.“Saya memilih tema ini kerana ingin mengangkat budaya Melayu klasik yang cukup unik, mengikut adat, istiadat serta memilih untuk berbusana klasik agar ia tidak terus ditelan zaman.”
Untuk majlis ini, pengantin perempuan kelihatan sangat anggun bersongket, lengkap bersanggul lintang mengikut adat perkahwinan Melaka yang kian dilupakan. Menurut Hidayah, majlis diadakan sepenuhnya mengikut adat orang dulu-dulu.
“Dari hidangan sehingga ke hiasan pelamin semuanya mengikut konsep. Tetamu yang hadir makan bersila sepanjang majlis berlangsung. Lebih unik, bukan sahaja keluarga pengantin, malah tetamu yang hadir juga lengkap berbaju Melayu lama dengan memakai capal, tengkolok, dan bersongket.
Di sekitar dewan majlis pula terdapat gelangang silat dan lima buah rumah pahlawan melayu Melaka, perigi Hang Tuah dan muzium dengan artifak sejarah perkembangan Melaka. Tidak cuma itu, bilik pengantin juga indah dihiasi kelambu dan katil besi peninggalan arwah nenek lebih dari 100 tahun. Majlis juga diserikan dengan persembahan tarian, pemuzik asli serta persembahan silat dari Institut Warisan Melaka.”ujarnya.