Pasangan

Kenali Pilihan Hati Tengku Muhammad Iskandar, Majlis Istiadat Perkahwinan Berlangsung 3 Hari

Share

Pasti ramai yang ingin kenali siapa pilihan hati Putera Diraja Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah iaitu Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.

Seperti yang dinanti, istiadat perkahwinan pasangan ini bakal berlangsung selama tiga hari pada 24, 25 dan 27 Oktober ini di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Majlis Istiadat Perkahwinan Berlangsung 3 Hari

Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, majlis putera kedua Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu akan dimulakan dengan Istiadat Meletak Kerja di Istana Abdulaziz.

Istiadat Letak Kerja dimulakan dengan doa selamat dan majlis tahlil dengan seterusnya Istiadat Bernikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan.

Pasangan Pengantin Diraja bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Oktober ini di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz.

Seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada 25 Oktober dan Istiadat Persandingan Diraja pada 27 Oktober.

Semua istiadat ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada pukul 8 malam.

Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Muzium Diraja, Pekan, Pahang.

Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Dataran Muzium Diraja sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung.

Istiadat Menutup Kerja Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diadakan pada Isnin, 28 Oktober.

Kenali Tengku Natasya Adnan

Tengku Natasya Adnan, yang dilahirkan pada tahun 1995, kini memasuki usia 29 tahun dengan penuh keanggunan. Manakala, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Bin Tengku Abdullah dilahirkan pada 3 Ogos 1997 (27 tahun).

Tengku Natasya merupakan anak kepada Datuk Seri Utama Tengku Adnan bin Tengku Mansor, seorang tokoh politik terkemuka Malaysia.

Bapanya, Datuk Seri Utama Tengku Adnan bin Tengku Mansor, lebih dikenali sebagai Ku Nan, merupakan seorang figura politik berpengaruh di Malaysia. Dilahirkan pada 20 Disember 1950, Tengku Adnan telah memainkan peranan penting dalam politik negara, termasuk sebagai anggota Dewan Rakyat Putrajaya sejak 2004. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pelancongan Malaysia dari 2006 hingga 2008 dan Menteri Wilayah Persekutuan Malaysia dari 16 Mei 2013 hingga kejatuhan pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Ibunya yang dilahirkan pada 23 Mei 1966, adalah seorang pelakon terkenal dari Indonesia yang dikenali sebagai bintang besar perfilman Indonesia pada tahun 1980-an.

Kecantikan Tengku Natasya Adnan tidak hanya terletak pada penampilannya tetapi juga pada darah kacukan Indonesia yang mengalir dalam dirinya. Gabungan warisan Melayu dan Indonesia memberikan wanita hebat ini aura keunikan dan keanggunan yang memikat, menambah pesona dan karisma yang dimilikinya.

Untuk rekod, ini merupakan istiadat perkahwinan diraja kedua pada tahun ini selepas Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangannya, FD Idzham FD Iskandar pada Ogos lalu.

Sumber gambar: Kesultanan Pahang

 

Published by
Nadia