
Replika Cek Perkahwinan atau Mock-up Cheque banyak digunakan zaman sekarang ini sebagai hantaran perkahwinan. Ianya bukanlah Cek sebenar tetapi ia dicetak dengan mengikut spesifikasi cek yang sebenar. Tujuan Mock-Up Cheque dicetak sebagai hantaran ialah sebagai langkah keselamatan kepada kedua pihak keluarga pengantin.
Cek yang sebenar memiliki nilai yang dikeluarkan oleh yang empunya cek atau telahpun di bank-in kan kepada penerima cek lebih awal dari tarikh majlis pernikahan atau perkahwinan. Mock-up cheque ini hanyalah sebagai bukti bahawa wang hantaran telah diserahkan kepada pihak pengantin perempuan. Ramai pasangan yang menggunakan replika mock-up cheque ini sebagai hantaran kerana ia lebih menarik dan unik.
Walaupun wang hantaran yang diserahkan adalah dalam bentuk tunai tetapi sebagai langkah keselamatan wang hantaran dalam bentuk tunai seeloknya tidak diserahkan semasa majlis berlangsung. Ini bakal mengundang kepada risiko kehilangan atau kecurian semasa sibuk mengendalikan majlis.


Semestinya replika mock-up cheque seperti telah menjadi pilihan pada pasangan yang ingin berkahwin kerana mengikuti peredaran zaman dan trend terkini.


Harga mock-up cheque ini pula bergantung kepada corak dan bahan yang anda pilih. Ia sangat berpatutan kepada bakal pengantin di luar sana.

Sumber : rekaprintblog
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pengorbanan Isteri Achey, Tak Semua Sanggup Susah Sama-sama Sampai Tahap Ini

Isi Kandungan
ToggleBertuahnya pelawak, Achey mempunyai isteri yang sanggup susah senang dengannya. Tak semua mampu bertahan tetapi memang ada. Yang dapat pasangan begitu, setialah!
Pengorbanan Isteri Achey
Menerusi Dol’s Podcast mendedahkan Anne pernah bekerja sebagai seorang tukang cuci di sebuah syarikat bank terkemuka selama tiga bulan sewaktu dirinya menyertai program realiti Bintang Mencari Bintang pada tahun 2013.
Dalam audio siar dikendalikan Shuib, Shuk Sahar dan Mamat Sepah itu, Achey memaklumkan isterinya tidak menggunakan sesen pun daripada gaji dan berkorban menyerahkan kesemua untuk kegunaannya.
“Apa yang dia (isteri aku) dapat sekarang adalah hasil titik peluh dia dengan aku selama ini.
“Dia pernah kerja sebagai ‘cleaner’ selama tiga bulan selama aku masuk pertandingan ‘Bintang Mencari Bintang’, semua duit gaji itu dia bagi aku.
“Dia kerja ‘cleaner’ untuk suami dia (Achey) yang tak tahulah menang atau tidak pertandingan pada waktu itu.
“Sebab itu bila ada orang usik isteri aku walaupun sikit, aku tak boleh. Aku paling pantang dengan perkara itu,” katanya dalam sebak.
Tak Kisah Anggapan Orang Luar
Kata Achey lagi, susulan pengorbanan isteri kesayangan itulah membuatkan beliau tidak kisah jika ada pihak yang melabel dirinya ‘menunggang’ nama Anne.
“Dan kalau orang nak cakap aku sekarang ini ‘menunggang’ isteri, aku akan cakap, ‘Ya aku menunggang’ sebab aku saja yang ada keistimewaan itu.
“Kalau aku tak buat macam ni, siapa nak ingat dia? Dan sebab apa aku ‘menunggang’ isteri aku sebab nama dia perlu diuar-uarkan supaya orang tahu dia.
“Bila orang ramai tahu, lagi ramai orang akan mendoakan dia,” kongsinya.
Kagum dan Cuit Emosi
Pengorbanan Anne buat Achey menyentuh hati ramai. Kebanyakan warga maya meluahkan rasa kagum dan mendoakan agar pasangan itu dikurniakan kebahagian berpanjangan.
Sekadar info, Achey mendirikan rumah tangga dengan Nor Hasanah Yahaya pada 2011. Pasangan itu mengambil seorang anak angkat, Tiara Zinnirah pada Mei 2018 yang kini berusia empat tahun.
Gambar: Achey
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Kami Pernah Bercerai & Berkahwin Semula, Alhamdulillah Jodoh Saya dan Suami Kuat”-Ras Adiba Dirai Di Majlis Resepsi

Hujung minggu lalu, telah berlangsung majlis resepsi sempena perkahwinan Senator Datuk Ras Adiba Radzi dan suaminya Mohamed Azam Ali. Majlis tersebut telah berlangsung dalam suasana penuh meriah di Hotel Regency Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Berkonsepkan serba putih, majlis itu diadakan di luar pekarangan hotel berhampiran pantai dengan dihadiri 300 tetamu dikalangan ahli keluarga serta rakan terdekat.
Bekas personaliti penyiaran berusia 54 tahun itu bernikah dengan Mohamed Azam, yang juga ahli perniagaan, pada 2 Jun lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Ras Adiba merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Presiden Persatuan OKU Sentral, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuang hak Orang Kurang Upaya (OKU).
Pasangan ini diraikan dengan acar bersiram, berinai bertemakan Bollywood serta majlis resepsi berhampiran pantai yang dimeriahkan dengan persembahan Datuk M Nasir serta Jay Jay.
“Alhamdulillah, kami dapat bersama dan disatukan, kali ini majlis dapat diadakan dengan kehadiran keluarga dan sahabat serta rakan media, saya juga bersyukur majlis dapat diadakan di kampung ayah saya di Negeri Sembilan.
“Lebih menarik adalah ramai kakitangan Bernama yang masih berkhidmat dan bersara hadir menyerikan majlis, mereka datang memberikan sokongan kepada saya dan suami, saya sangat berbesar hati, inilah silaturahim yang mesti diteruskan,” katanya.
Pasangan ini kelihatan amat mesra melayan para tetamu di majlis resepsi dan berdoa agar pernikahan itu kekal selama-lamanya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian McFeeters serta petugas Bernama.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain, bekas Ketua Pengarang Bernama Khairdzir Md Yunus dan bekas Timbalan Ketua Pengarang Ahmad Fuad Yahya. Bekas personaliti penyiaran seperti Zakiah Anas turut hadir dan majlis dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Datuk M Nasir serta Jay Jay.
Untuk rekod, Ras Adiba pernah berkahwin sebelum ini dan dikurniakan dua orang cahaya mata manakala Mohamed Azam juga dikurniakan enam orang anak dari perkahwinan terdahulu.
Sumber; Bernama, MStar & FB Azian Ali
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Beri Hadiah Tidak Senonoh Untuk Pengantin, Teguran Ustazah Asma’ Harun Ini Perlu Diambil Iktibar.

Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan beberapa pemuda mengeluarkan kotak berisi kondom (sarung getah merujuk kepada alat mencegah kehamilan) daripada poket seluar sebelum masing-masing menyerahkan ke tangan pengantin lelaki yang sedang bersanding di pelamin.
Tindakan tersebut mendapat kecaman ramai, warga maya menyifatkan situasi itu adalah kurang adab dan ‘lawak tidak kena tempat’. Situasi berkenaan juga boleh mengundang malu dan tidak selesa pengantin wanita tambah lagi di dalam majlis keramaian yang penuh dengan keluarga, sahabat dan sanak saudara.
Ironinya, majlis perkahwinan yang harmoni itu patut dihormati. Apatah lagi ia melibatkan kehadiran saudara-mara, rakan taulan yang meraikan penyatuan dua jiwa dalam satu ikatan akad yang sah di sisi agama.
Apabila tular video ‘pemberian hadiah’ tersebut, ia mendapat pelbagai reaksi dari masyarakat yang menyifatkan ianya sebagai tidak senonoh dan jauh dari peradaban masyarakat Melayu yang kaya dengan sopan santun dan tata susilanya.
Pesona Pengantin memetik perkongsian dari Pendakwah, penulis, penaung Sahabat Amal Care.Ustazah Asma’ Harun melalui perkongsian Facebook beliau.
TREND HADIAH KAHWIN TIDAK BERMARUAH
Tular baru-baru ini satu video yang dimuat naik oleh sekumpulan lelaki yang menghadiri sebuah majlis kahwin. Dalam video tersebut menunjukkan kawan-kawan pengantin lelaki sedang beratur memberikan hadiah, amat mengejutkan apabila hadiah yang diberikan membawa unsur L*CAH. Allahu Akbar.
Sebenarnya saya yang menonton pun jadi malu, apatah lagi bila melihat kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan tertunduk sambil tutup muka dengan pemberian mereka yang tiada sedikitpun rasa malu. Saya mohon, janganlah budayakan jenaka lucah sebegini, fikirkanlah apa kesannya kepada sesiapapun yang melihat.
Budaya memberi hadiah di pelamin sekarang menjadi satu trend, namun tak seharusnya diikuti jika tujuan untuk publisiti dan maruah digadai. Berbaloikah?
SUNGGUH, SIFAT MALU ITU PERISAI ORANG MUKMIN
Malu itu salah satu sifat mulia kerana ia melindungi kita daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Dengan malu, kita takut nak bermaksiat, sakiti orang lain, melihat perkara haram, mendedahkan aurat, buat perkara yang menjatuhkan maruah, dll.
Tidak salah ingin memberi, tidak salah ingin bahagiakan kawan ketika jadi raja sehari, tapi bila sampai mencemarkan adab depan orang ramai, bahkan ditontonkan pula secara terbuka di media sosial sebenarnya memang sangat melampau.
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ مِـمَّـا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلاَمِِ النُّبُوَّةِ اْلأُوْلَى: إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ؛ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ
Maksudnya: “Sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui oleh manusia dari kalimah kenabian terdahulu adalah, “Jika engkau tidak malu, buatlah sesuka hatimu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Ayat “buatlah sesuka hatimu” itu bukan bererti Rasulullah SAW beri kebebasan kepada kita untuk lakukan sewenangnya, tapi ia merupakan satu sindiran yang amat pedih bagi mereka yang memiliki iman. Kita bimbang jika Allah dan Rasulullah sudah tidak lagi peduli pada kita sedangkan Syurga-Nya dan syafaat Baginda yang kita tagihkan.
Semoga kita mengambil pengajaran.
DOSA BAGI ORANG MUKMIN IBARAT GUNUNG YANG MENGHEMPAP
Iya, kita tak pernah lari dari kesilapan, namun sebaik-baik pendosa ialah yang bertaubat. Apa yang dilakukan memang memalukan diri sendiri, namun jangan berputus asa dengan rahmat-Nya, jika ada sedikit rasa malu kepada Allah maka bertaubatlah.
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., beliau berkata:
إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ فِي أَصْلِ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ وَقَعَ عَلَى أَنْفِهِ قَالَ بِهِ هَكَذَا فَطَارَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya sepertinya berada di bawah gunung, dia bimbang gunung itu runtuh ke atasnya. Sebaliknya orang keji (derhaka) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya. Dia berkata “Ini cuma seperti ini, lalu terbang.”
(HR Tirmizi, hadis sahih)
Firman Allah SWT:
قُلْ يٰعِبَادِيَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوْا مِنْ رَّحْمَةِ اللّٰهِ ۗاِنَّ اللّٰهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًا ۗاِنَّهٗ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
Maksudnya: Katakanlah, “Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Az-Zumar 39: 53)
ADAB MENGHADIRI MAJLIS PERKAHWINAN
Saya kongsikan beberapa adab ketika menghadiri majlis perkahwinan di sini, mudah-mudahan kita dapat sama-sama amalkan, insyaAllah.
1. Wajib Hadir Apabila Dijemput
Apabila sesuatu jemputan diterima, maka hendaklah hadir melainkan sekiranya ada halangan yang menghalang untuk hadir.
Daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda:
أَجِيبُوا هَذِهِ الدَّعْوَةَ إِذَا دُعِيتُمْ لَهَا
Maksudnya: “Datanglah menunaikan jemputan apabila kamu dijemput kepadanya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
2. Niat
Niatkan kehadiran kita sebagai ibadah dan memenuhi hak sesama Muslim kerana setiap perbuatan yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah, pasti ada ganjaran pahala yang sentiasa mengalir termasuk dalam setiap langkah kita ke majlis tersebut.
Daripada Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkan. Siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
(HR Muttafaqun ‘alaih, hadis sahih)
3. Menutup Aurat
Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan sama ada lelaki atau wanita, kerana pakaian yang tidak sopan menyebabkan orang sekeliling terganggu dan mendatangkan dosa jika tidak menutup aurat.
Daripada Saidatina Aisyah r.a., beliau menceritakan:
أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
Maksudnya: “Saidatina Asma’ binti Abu Bakar masuk menemui Rasulullah SAW dengan mengenakan kain yang tipis, maka Rasulullah menegur, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah baligh, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini” – sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya”
(HR Abu Daud, hadis sahih)
4. Menjaga Adab-adab Makan
Islam agama yang sangat indah, banyak panduan yang diberikan termasuk adab ketika makan. Daripada Umar bin Abu Salamah, beliau menceritakan ketika kecil, Rasulullah pernah bersabda kepada beliau:
يَا غُلَامُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ فَمَا زَالَتْ تِلْكَ طِعْمَتِي بَعْدُ
Maksudnya: “Wahai anak, sebutlah nama Allah (Bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah hidangan yang dekat denganmu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau menceritakan:
مَا عَابَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ كَانَ إِذَا اشْتَهَى شَيْئًا أَكَلَهُ وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ
Maksudnya: “Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Sekiranya beliau suka, Baginda memakannya. Sekiranya tidak, Baginda meninggalkannya.”
(HR Muslim, hadis sahih)
5. Memberi Hadiah
Hadiah adalah satu bentuk atau tanda kasih sayang daripada seseorang kepada seseorang, ia dituntut dalam Islam dan merupakan sunnah baginda Nabi SAW kerana memberi hadiah dapat menghilangkan dendam dan eratkan silaturrahim dengan lebih mendalam.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
تَهَادُوا تَحَابُوا
Maksudnya : “Salinglah memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai”
(HR Bukhari, hadis sahih)
6. Mendoakan Kebahagiaan Pengantin
Mungkin kebiasaan apabila kita hadir majlis kenduri adalah untuk makan dan bergambar bersama pengantin, namun mari kita contohi tindakan Rasulullah SAW ketika menghadiri majlis perkahwinan, Baginda akan mendoakan pengantin tersebut.
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau menceritakan:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَفَّأَ الْإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ
Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW memberi ucapan selamat kepada orang yang sudah menikah, Baginda akan berdoa, “Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu, semoga Allah memberi keberkatan ke atasmu dan semoga Allah himpunkan kalian dalam kebaikan.”
(HR Tirmizi, hadis hasan sahih)
7. Mendoakan Tuan Rumah Kerana Memberi Makan
Selain mendoakan pengantin, panjangkan juga doa kita kepada tuan rumah yang telah bersusah payah untuk hidangkan makanan buat semua tetamu yang hadir, mudah-mudahan mereka mendapat keberkatan dan kebaikan.
Daripada Hisyam bin Yusuf, beliau menceritakan:
سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ بُسْرٍ يُحَدِّثُ أَنَّ أَبَاهُ صَنَعَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا فَدَعَاهُ فَأَجَابَهُ فَلَمَّا فَرَغَ مِنْ طَعَامِهِ قَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ وَبَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ
Maksudnya: “Saya pernah terdengar Abdullah bin Busr menceritakan bahawa bapanya pernah menyediakan makanan untuk Nabi SAW kemudian menjemput Baginda makan. Rasulullah memenuhi undangan beliau dan selesai makan, lalu Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka dan berikanlah keberkatan pada makanan yang Engkau anugerahkan untuk mereka.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Semoga bermanfaat buat sahabat semua, silakan share ya.
Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan
#UAHSahabatDuniaAkhirat
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI