Meminta maaf dan memaafkan merupakan salah satu kunci yang berkesan untuk melupuskan apa jua konflik. Malah energi maaf ini juga mampu menenangkan suasana dan menghapuskan permusuhan dalam hubungan sesebuah rumah tangga.
Namun saat berlakunya konflik antara suami isteri, ucapan maaf ini terasa begitu sukar untuk diterima ataupun diucapkan. Masing-masing dengan ego yang tersendiri, tidak kurang juga yang degil dan malu untuk meluahkan kalimat keramat ini yang akhirnya mengeruhkan lagi hubungan.
Mengucapkan kalimat maaf kepada pasangan sebenarnya dapat meredakan kemarahan pasangan, menenangkan jiwa dan membuat pasangan rasa lebih dihargai. Oleh itu, fahami enam alasan ini kenapa ungkapan maaf itu penting dalam sesebuah rumah tangga.
- Bukan bererti lemah
Jika merasakan apabila anda meminta maaf anda berada di pihak yang lemah, anda sebenarnya silap. Sebenarnya ketika anda meminta maaf kepada pasangan disebabkan oleh kesalahan anda sendiri, ia menunjukkan bahawa anda sedang menghargai perasaan pasangan. Lagipun tidak salah jika anda perlu mengalah kerana sikap mementingkan diri boleh membuatkan anda semakin ego dalam hubungan. Adalah lebih baik jika anda berterus-terang dan berkata benar daripada membuatkan pasangan terus tertekan. Jangan memendam rasa begitu lama kerana perasan ini boleh mencetusnya perang yang besar.
- Buktikan kemaafan dengan setulus hati
Jangan meminta maaf hanya di bibir sahaja ataupun sekadar untuk mengalihkan masalah kerana cara ini langsung tidak menyelesaikan masalah. Buktikan ketulusan anda dengan meminta maaf seikhlas hati dan segeralah memperbaiki diri agar rajuk pasangan anda tidak berpanjangan. Tidak dinafikan ada sesetengah pasangan sukar untuk memohon maaf secara berdepan. Apa kata anda ambil hati pasangan dengan melakukan tindakan yang disukainya misalnya memasak makanan kegemarannya ataupun menyediakan keperluan yang diinginkannya. Apabila hati pasangan sudah sejuk, minta maaf kepada pasangan dan katakan yang anda benar-benar menyesal. Dengan cara ini akan mencairkan hati pasangan untuk memaafkan kesalahan anda.
- Tidak semestinya yang salah harus meminta maaf
Mungkin saat anda memarahi pasangan kerana melakukan kesalahan terhadap anda, tanpa sengaja ada perbuatan, mimik muka atau kata-kata anda yang telah menyinggung hatinya. Jadi, tidak salah untuk anda pula yang meminta maaf kepadanya kerana kata maaf itu merupakan sebuah ungkapan yang sangat berkesan dalam meredakan kemarahan.
- Keras kepala bukan penentu yang anda kuat
Mempunyai sikap keras kepala dan ego yang tinggi bukanlah penentu seseorang itu lebih kuat. Bahkan sikap ego dan mementingkan diri sendiri jika dibiarkan berterusan boleh menjadi racun yang akhirnya memusnahkan sesebuah rumah tangga. Apabila anda merendahkan ego dan sikap keras kepala dengan memaafkan pasangan, kehidupan rumah tangga yang anda berdua bina akan lebih harmoni. Malah komunikasi anda berdua juga akan bertambah baik dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia.
- Mampu menyelamatkan rumah tangga
Kehidupan suami isteri pastinya tidak terlepas daripada rasa kecil hati dan tersinggung. Segala masalah yang melanda itu akan terlerai satu persatu jika anda mengakui kesilapan dan segera memohon maaf kepada pasangan. Selain berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama pasangan, memohon maaf juga memberi kejayaan dalam rumah tangga kerana anda telah menyelamatkannya daripada terus retak.
- Boleh belajar daripada kesilapan
Meminta maaf kepada pasangan atas kesalahan anda membolehkan anda belajar daripada kesilapan yang telah anda lakukan. Mungkin sebelum itu anda tidak terfikir untuk melakukannya ataupun sama sekali anda tidak terfikir tentang baik dan buruk yang bakal terjadi. Dengan memohon maaf, anda boleh belajar daripada kesilapan yang telah anda lakukan sekali gus mengelakkan daripada ia berulang di kemudian hari.
TAHUKAH ANDA?
Menurut pakar psikologi dari Universiti Indonesia, Rosdiana Setyaningrum, keengganan untuk meminta maaf selalunya terjadi ketika salah satu pihak merasakan posisinya lebih tinggi daripada pihak yang satu lagi, sekali gus mengheret berlakunya konflik yang lebih berat.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI