Benarkah kenyataan yang menyebut bahawa menyentuh tangan isteri mendapat 1 pahala dihapus 1 dosa dan diangkat darjatnya satu tingkat. Begitu juga mencium isteri mendapat 10 pahala, dihapus 10 dosa dan diangkat darjatnya 10 tingkat ?
Jawapan:
Secara asasnya, Islam amat menitikberatkan hubungan yang penuh kasih sayang antara pasangan suami isteri. Ini dapat dilihat berdasarkan beberapa nas-nas syarak dari Al-Quran dan juga al-Hadis. Antaranya adalah firman Allah S.W.T:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.
Surah Al-Nisa’ (19)
Dalam ayat ini, Allah S.W.T telah menujukan khitab perintah kepada golongan lelaki agar mereka melakukan mu’asyarahiaitu bergaul dan berurusan dengan orang perempuan melalui cara yang ma’ruf. Justeru, arahan tersebut secara asasnya membawa kepada hukum wajib berbuat ma’ruf kepada orang perempuan dalam urusan kehidupan.
Imam al-Qurthubi Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. Rujuk Al-Jaami’ Li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi (5/84).
Begitu juga berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W:
Maksudnya: Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku.
Ads
Riwayat Ibn Majah (1977)
Hadis di atas merupakan di antara bukti keagungan dan keindahan ajaran Islam yang menganjurkan orang lelaki khususnya para suami untuk berbuat baik kepada ahli keluarga yang meliputi isteri, anak-anak, kaum kerabat, dan selainnya.
Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).
Isu Persoalan
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami tidak menjumpai sebarang sokongan dan sandaran daripada al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi S.A.W yang menyebutkan tentang hal tersebut. Dalam isu menyatakan tentang fadhilat-fadhilat dan ganjaran terhadap sesuatu amalan, ia mestilah disandarkan kepada riwayat yang sahih. Ini kerana agama ini adalah milik Allah S.W.T yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. kepada umatnya. Justeru, apabila diletakkan ganjaran ke atas amalan tertentu, tanpa mempunyai sandaran yang tsabit dari al-Quran dan juga al-Sunnah, ia ditakuti termasuk dalam perbuatan ‘’Berkata ke atas Allah tanpa ilmu’’ yang jelas dilarang syarak.
Penutup
Ads
Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa kenyataan tersebut sekiranya dianggap sebagai sebuah hadis maka ia adalah tidak sahih. Ini kerana tidak terdapatnya riwayat yang sahih menyatakan kepada perkara-perkara tersebut.
Namun kami tidak menafikan dari sudut mafhum kenyataan tersebut, ada antaranya yang boleh diperincikan dengan hadis-hadis yang lain. Sebagai contohnya, Nabi S.A.W ada menyebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Zarr al-Ghifari R.A:
Maksudnya: Dan kemaluan salah seorang kamu juga ada sedekah. Ditanyakan: Pada syahwat seseorang juga terdapat sedekah ? Baginda menjawab: Kalau diletakkan syahwat pada tempat yang haram (berzina) tidakkah seseorang itu mendapat dosa ? Begitulah juga apabila syahwat diletakkan di tempat yang halal (persetubuhan suami isteri) maka dia mendapat pahala.
Riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad (227)
Hadis ini boleh juga dikaitkan dengan makna kenyataan dalam persoalan tersebut secara umum. Sekiranya seseorang menyentuh perempuan yang bukan mahram dan tidak halal baginya, maka dia dikira berdosa. Justeru apabila dia menyentuh isteri yang halal baginya maka mudah-mudahan dia diberikan ganjaran pahala.
Manakala berkenaan mencium isteri mendapat 10 ganjaran pahala, kita boleh kaitkan ia dengan keumuman firman Allah S.W.T:
Maksudnya: Sesiapa yang membawa satu kebaikan, maka dia mendapat sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)
Maka boleh dikatakan bahawa perbuatan seorang suami mencium isterinya dengan penuh perasaan mawaddah dan rahmah dianggap sebagai suatu kebaikan di sisi Tuhan dan setiap kebaikan itu mendapat 10 ganjaran pahala.
Berkenaan dihapuskan 10 dosa pula, yang lebih tepat adalah seperti yang dinyatakan oleh firman Allah S.W.T:
إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ
Maksudnya: Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghilangkan (menghapuskan) kejahatan-kejahatan yang telah dilakukan.
Surah Hud (114)
Ayat ini secara umumnya menunjukkan apabila seseorang itu melakukan amal soleh dan kebajikan, dalam masa yang sama amalan tersebut akan memadamkan dosa-dosa kecil yang telah seseorang itu lakukan. Namun tidak ditetapkan kadar bilangan dosa yang terhapus, sebaliknya ia hanya dikhabarkan dalam bentuk yang umum.
Akhir kalam, kami menyatakan bahawa memadailah untuk kita berpegang dengan nas-nas yang sahih daripada syarak yang menjelaskan tentang perintah berbuat baik dengan isteri dan keluarga. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama.
SUMBER : http://muftiwp.gov.my
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apabila perkahwinan anda berada dalam kesusahan dan menjadi semakin parah, maka anda perlu keluar dan mendapatkan bantuan. Anda tentu sekali tidak boleh memperbaiki keadaan anda sendiri jika keadaan semakin tidak terkawal.
Dapatkan nasihat dan bantuan daripada orang yang berpengalaman secepat mungkin. Jangan biarkan perkahwinan anda terus dibuai keresahan.
Jadi persoalannya sekarang, di mana atau dengan siapa anda boleh dapatkan bantuan untuk perkahwinan anda? Jawapannya, di mana-mana atau sesiapa sahaja! Apa yang anda perlu lakukan adalah bersikap terbuka dengan semua kritikan atau nasihat yang anda terima dan aplikasikannya ke dalam perkahwinan anda. Cubalah!
Berikut adalah beberapa tempat bagi mencari bantuan untuk perkahwinan anda:
Rakan-rakan
Kadang-kala kita sukar untuk berkongsi masalah dengan kawan kita kerana sebab-sebab tertentu. Tapi kawan-kawan juga sebenarnya boleh membantu anda untuk menyelesaikan masalah perkahwinan anda. Namun, bukan semua rakan atau kawan anda sesuai untuk diberitahu tentang masalah anda.
Carilah kawan-kawan yang benar-benar anda percaya dan seeloknya kawan-kawan anda yang berpengalaman dalam hal-hal sebegini. Hal ini kerana, mereka yang berpengalaman dan telah melalui detik-detik masalah dalam perkahwinan bakal membantu anda dalam menyelesaikan masalah anda.
Hubungan Forum
Jika anda terlalu takut untuk bercakap dengan orang yang anda kenali, maka anda mungkin mahu berbincang dengan sekumpulan orang yang tidak dikenali. Mengapa anda akan berbuat demikian? Kerana mereka akan bersikap terbuka dan jujur dengan anda dalam hal semua.
Mereka akan memberitahu anda apa sahaja kesalahan yang anda lakukan tanpa bimbang tentang menyakiti perasaan anda, dan mereka akan memberi pendapat mereka sejelas-jelasnya dan tanpa berselindung. Itulah keindahan internet – tidak ada wajah di sebalik nasihat itu dan mereka boleh mengatakan apa yang mereka mahu katakan.
Anda akan mendapat pendapat dan nasihat berdasarkan pelbagai jenis pengalaman dan kepercayaan. Ini boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih bermaklumat berbanding jika anda mendasarkan pada satu sudut pandangan sahaja.
Kaunseling
Bantuan kaunseling bukanlah suatu perkara yang teruk! Ia tidak seharusnya menjadi pilihan terakhir. Ia adalah cara untuk setiap pasangan tahu dan sedar masalah sebenar dalam perkahwinan mereka.
Antara kelemahan kaunseling ialah bayaran untuk khidmat kaunseling biasanya memerlukan perbelanjaan yang tinggi bergantung kepada tahap kepakaran kaunselor tersebut dan kaunseling juga bukan penentu atau penjamin kepada penyelesaian kepada masalah yang anda hadapi dalam perkahwinan.
Satu lagi masalah ialah anda mungkin mendapati pasangan anda tidak mahu untuk menghadiri khidmat kaunseling. Ia boleh menjadi sukar untuk mendapatkan seseorang yang enggan untuk bekerjasama dengan kaunseling.
Kesimpulannya, perkara penting yang perlu diingat apabila anda mempunyai masalah perkahwinan adalah untuk mendapatkan beberapa jenis bantuan dan segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah anda.
Jika anda bersikap sambil lewa dan bertangguh untuk menyelesaikannya, berkemungkinan perkahwinan anda tidak akan ke mana-mana dan anda akan membazirkan minggu, bulan, atau bertahun-tahun dalam perasaan tidak berpuas hati dan tertekan tentang perkahwinan anda. Atau anda akan menghadapi masalah yang lebih parah iaitu perceraian!
Sumber : Hasani kursus kahwin
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Jaga tingkah laku. Untuk si dara, anda tidak perlu duduk di ruang tamu dan sertai perbincangan. Cukup sekadar ke depan ketika menghidangkan makanan.
Berpakaian sopan. Selalunya, si dara memakai baju kurung dan bertudung. Lelaki berbaju melayu atau kemeja.
Jangan mencelah perbincangan. Untuk si teruna, sama ada anda akan menyertai perbincangan atau tidak, ia bergantung kepada adat setempat anda. Ada yang memilih untuk sertai majlis merisik dan ada juga yang menunggu dalam kereta sahaja.
Hormati keputusan keluarga wanita. Anda tidak perlu terasa hati atau berdendam sekiranya lamaran anda itu ditolak. Ingat, bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor!
Selain menjaga adab, anda juga perlu menyediakan beberapa perkara dan barangan untuk diberikan semasa bertandang ke rumah keluarga perempuan.
Tetapkan terlebih dahulu siapakah yang akan menjadi jurucakap utama bagi keluarga lelaki. Kalau tak tetapkan, takut akan ada “awkward moment” sebab tiada siapa yang bercakap. Nanti krik krik pula!
Orang Melayu terkenal dengan adab sopan, kan? Jadi, sediakan beberapa rangkap pantun untuk memeriahkan majlis. Baru seronok kalau berbalas pantun! Kalau anda tiada idea pantun apa yang mahu diucapkan, tak perlu risau.
Antara barang paling penting yang perlu dibawa adalah cincin merisik juga dikenali sebagai cincin belah rotan.
Kalau ada bajet lebih, anda boleh juga membawa barangan seperti: sepasang kain, buah-buahan, wang tanda, set wangian/mandian, atau pemanis mulut. Barangan ini tidaklah wajib, buat sekadar yang termampu sahaja. Ok?
Selepas keluarga perempuan menyatakan persetujuan mereka untuk menerima lamaran lelaki, barangan ini akan diberikan kepada pihak si dara itu.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
5 CARA MENAMBAH REZEKI & KEBERKATAN DALAM RUMAH TANGGA
Berikut adalah beberapa cara menambah rezeki yang dianjurkan dalam al-Quran dan sunnah.
1. MULA DARI SUMBERNYA
Jika kita sentiasa berasa ‘kurang’ walaupun gaji dah banyak, periksa semula sumbernya. Adakah ia termasuk dengan sumber syubhah atau riba? Allah telah menerangkan larangan memakan riba ini kerana ia adalah perbuatan menganiaya hak orang lain. Mungkin itu sebabnya rezeki terasa sempit atau walaupun kuantitinya banyak.
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memakan riba (dengan berlipat ganda) dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keberuntungan.
(Surah Al-Imran: 130)
Di samping itu, jangan memandang remeh soal zakat sehingga lupa menunaikan tanggungjawab kita terhadap orang yang berhak terhadapnya.
2. MENJAGA HUBUNGAN KEKELUARGAAN DAN SESAMA MANUSIA
Walaupun sibuk bekerja siang dan malam, luangkanlah masa untuk berkasih sayang dengan pasangan dan anak-anak. Gembirakanlah mereka walaupun kita berada dalam keletihan. Jangan sampai tak ada masa menjenguk atau bertanya khabar kepada ayah, ibu, mertua, saudara-mara, dan jiran-tetangga.
Percayalah, tidak rugi kita bersilaturrahim dan menjaga hubungan sesama manusia kerana dalam sebuah hadis telah menyebutkan:
“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
3. BERSEDEKAH
Begitu banyak kelebihan sedekah yang sering kita dengar, sama ada dari sudut Islam mahupun psikologi. Menurut kajian, perbuatan memberi atau menyumbangkan harta, masa, tenaga, dan sebagainya kepada orang lain yang memerlukannya telah terbukti memberi manfaat besar terhadap manusia dari segi kesihatan mahupun emosi.
Dari Amru bin Auf ra katanya Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah swt pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).”
(Hadis Riwayat Bukhari)
4. MELAZIMI AL-QURAN
Allah menjanjikan keberkatan dunia dan akhirat kepada setiap orang Islam yang selalu meluangkan waktu membaca dan memahaminya. Ia adalah ayat-ayat dari Allah dan mukjizat yang teragung. Maka, rugilah jika kita tidak berusaha memahami isinya dan membaca ayatNya. Bacalah al-Quran setiap hari dan ajarkannya kepada anak-anak seawal usia.
Seseungguhnya, rumah yang dibacakan al-Quran di dalamnya akan dipenuhi dengan berkat.
Firman Allah:
“Dan (al-Qur’an) ini adalah kitab yang Kami telah turunkan yang mengandungi berkat, mengesahkan kebenaran kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dan supaya engkau memberi peringatan…”
(Surah al-An’am: 92)
5. SOLAT DHUHA
Dalam sibuk memfokuskan pada kerja-kerja seharian di pejabat, menjaga anak di rumah, menyediakan makanan tengahari, terdapat satu rahsia dalam membantu anda mencapai keberkatan di dalamnya, iaitu dengan mengerjakan solat dhuha.
Terdapat banyak kelebihan luar biasa bagi solat sunat dhuha yang disebutkan dalam hadis.
“Wahai anak Adam, janganlah engkau luput dari empat rakaat di awal harimu (solat dhuha), nescaya Aku cukupkan untukmu di sepanjang hari itu.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!