Hubungan

Ketepikan Pasal Penyondol, Amyra Rosli Beri Kepercayaan 100 % Kepada Suami

Share

Tak surut lagi pasal penyondol di media sosial, namun Amyra Rosli tak mahu beratkan kepalanya dengan isu itu dalam rumahtangganya.

Kalau ikutkan rasa bimbang, pasti golongan isteri akan sentiasa was-was bila ditinggalkan suami tika keluar mencari rezeki. Nak-nak pula jika masing-masing sibuk, tak ada masa untuk jadi ‘polis’ dalam hubungan.

Ketepikan Pasal Penyondol, Amyra Rosli Beri Kepercayaan 100 Peratus Kepada Suami

Berpeganglah kepada tali ALLAH SWT dan kembali kepada-Nya, nescaya konflik dalam rumah tangga mampu dihadapi dengan tenang tanpa ada hati yang tercalar.

Sifirnya mudah, jika mahu rumah tangga harmoni, suami yang dahulunya derhaka kepada ALLAH SWT dan tidak melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan, kembali taat kepada-Nya.

Begitu juga dengan isteri yang derhaka (nusyuz) kepada suami, kembalilah taat kepada suami. Jalanilah kehidupan berumah tangga berdasarkan panduan yang terkandung dalam agama.

Jangan Ragu Dengan Pasangan

Dalam setiap perhubungan, kepercayaan antara anda dengan si dia amatlah penting. Jangan pernah wujud perasaan ragu, sebaliknya kekuatan cinta serta kepercayaan memainkan peranan yang besar pada waktu itu.

Berbincang soal ini, pelakon Amyra Rosli meluahkan bahawa dia meletakkan kepercayaan 100 peratus terhadap suaminya, Amar Baharin dan enggan terlalu pusing isu ‘penyondol’ yang sering dikaitkan dengan golongan selebriti.

Kata Amyra atau nama sebenarnya, Nur Amira Izzati Rosli, cintanya terhadap suami adalah bersandarkan hukum agama dan dia percaya, sifir tersebut merupakan tunjang kebahagiaan hubungan suami isteri.

“Saya sayang dia kerana Allah, jadi saya tiada rasa apa-apa kalau dia keluar bekerja atau dia bergaul di luar, saya tidak kisah.

“Tidak perlu jadi toksik, bahagialah ikut cara kita sahaja,” jelas Amyra.

Bincang Elok-elok, Jangan Jaja Kisah Di Media Sosial

Pelakon drama rantaian, Nur itu bersyukur kerana dikurniakan seorang teman hidup yang sangat memahami emosinya sebagai seorang wanita, isteri dan ibu.

“Apabila ada masalah, kami akan bersemuka dan bincang baik-baik. Amar pesan supaya jangan kongsi apa-apa kerana media sosial akan lebih mengeruhkan keadaan.

“Perempuan lain sikit, bila emosi berkecamuk dan letak emosi dalam media sosial, kita akan lagi terbakar, ramai lagi orang akan hasut,” jelasnya.

Amyra Rosli dan Amar Baharin mendirikan rumah tangga pada November 2016.

Hasil daripada perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aqeef Anaqi, 5 dan Ayra Aryssa, 3.

Sering mendapat jolokan pasangan ideal, sama cantik, sama padan, baik Amyra mahupun Amar, mereka jarang terpalit dengan sebarang kontroversi

Published by
Nadia