Kebahagiaan tidak terjadi secara kebetulan melainkan anda sendiri yang menjadikannya (Happiness does not just happen, you have to make it happen).

‘Wajah ceria rahsia kebahagian’, mulut pula mengucapkan kata-kata yang baik lagi jelas. “Assalamu’alaikum”, “Selamat pagi”, Selamat petang”, “Apa khabar?”, “Bagaimana hari abang?” “Apa perkembangan anak di tadika?” adalah antara ucapan yang boleh dikemukakan apabila bertemu dengan pasangan.

Mulut juga merupakan alat komunikasi yang mudah, maka manfaatkanlah ia dengan baik. Berbicaralah, bersembang-sembanglah, berkomunikasilah dengan pasangan anda dengan nada yang jelas lagi lancar, sambil memandangnya.

Usah berbicara terlalu cepat atau dengan sebutan yang tidak jelas. Bersungguh-sungguhlah berbicara dengan pasangan anda sebagaimana anda bersungguh-sungguh berbicara dengan pelanggan atau rakan pejabat.

Ads

Jika kita merujuk kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda berbicara dengan lancar, jelas dan satu persatu sehingga orang di sekitar baginda mudah mengingati apa yang baginda ucapkan. A’isyah, isteri Rasulullah menerangkan bahawa Sesungguhnya apabila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam hendak berbicara, baginda berbicara sehinggakan jika seseorang itu ingin menghitungnya, nescaya dia akan dapat menghitungnya. [Shahih al-Bukhari, no: 3303/3568] Maksud menghitung di sini ialah baginda berbicara sepatah-sepatah dengan jelas sehingga dapat dihitung satu persatu perkataan baginda.

Pada ketika yang lain A’isyah menerangkan: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak berbicara dengan laju sebagaimana kalian berbicara dengan laju. Baginda berbicara dengan jelas lagi satu persatu sehingga dapat dihafal oleh sesiapa yang mendengarnya. [Musnad Ahmad, no:25012/26209 dengan sanad hasan] Demikianlah ketika berbicara Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang amat baik untuk kita ikuti.

Malah tiada siapa yang lebih patut kita berbicara dengan kesungguhan, kejelasan dan perlahan (tidak laju) melainkan terhadap pasangan kita sendiri.

Ads

Jauhilah perbicaraan yang “nak tak nak”, ayat yang tidak lengkap, pilihan perkataan yang samar-samar ertinya atau berbicara dengan mulut yang dipenuhi makanan.

Apabila pasangan kita sedang berbicara, maka janganlah memotong perbicaraannya. Biarlah beliau menghabiskan apa yang ingin disampaikan, kemudian barulah kita berbicara atau bertanya.

Ads

Pernah sekali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sedang berbicara dengan seseorang, lalu datang seorang Arab Badui (dari pendalaman) yang tiba-tiba terus bertanya soalan kepada baginda. Baginda tidak melayan soalan tersebut, sebaliknya meneruskan perbicaraannya.

Setelah selesai, barulah baginda beralih kepada Arab Badui yang bertanya itu. [Shahih al-Bukhari, no: 57/59] Tindakan Rasulullah tidak melayan pertanyaan Arab Badui tersebut menunjukkan bukanlah satu etika yang baik untuk memotong perbicaraan seseorang.

Sumber gambar: internet

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI