Penggunaan korset atau bengkung merupakan amalan masyarakat Melayu sejak dari dulu lagi. Malah, ia menjadi satu kaedah untuk membuat pinggang nampak ramping dan cantik.
Masyarakat dahulu, anak dara semuanya menggunakan bengkung dan makan jamu dari bahan semulajadi dalam menjaga penampilan.
Pengunaan bengkung bukan perkara baru dalam masyarakat Melayu kerana ia sudah wujud sejak sekian lama sebagai satu kaedah merampingkan pinggang.
Untuk menjadikan organ dalaman kembali kepada kedudukan asal selain memulihkan bentuk badan selepas melahirkan untuk ibu berpantang.
Dengan pemakaian bengkung ini, ada ramuan khusus disapu pada bahagian perut ibu berpantang. Namun, dalam peradaban moden kini bagi sesiapa yang mengenakan bengkung, mungkin ada yang menyapu krim pemecah lemak pada perut dengan tujuan untuk mengempis perut.
Bengkung terdahulu juga diperbuat daripada kain dengan teknik pemakaian ia dililit kemas di badan bermula pada bahagian abdomen hingga pinggul selama beberapa jam atau sepanjang hari bergantung kepada orang yang memakainya.
Kini, bengkung muncul sebagai satu daripada keperluan penting penjagaan badan untuk wanita untuk membentuk badan menjadi ramping atau ingin tampil dengan parut kempis dan menawan.
Lebih menarik ia juga bukan lagi berupa kain yang dililit pada pinggang sebaliknya seperti sehelai pakaian dalam yang kemas dan inovasi bengkung moden ini digelar korset.
Ada yang diikat menggunakan tali, menggunakan cangkuk atau pelekat velcro menjadikan tempoh pemakaiannya lebih cepat dan mudah juga untuk ditanggalkan.
Bagaimanapun, persoalan yang timbul dalam kalangan orang ramai mengenai pemakaian korset ini ialah adakah ia berkesan untuk membuang lemak di dalam badan dan benarkah dengan pemakaian korset juga mampu mengurangkan berat badan individu?
Selebriti kesihatan dan kecergasan Malaysia, Kevin Zahri menerusi perkongsian di laman sosial miliknya menyebut dilihat dengan fungsi korset itu sendiri, ia bukanlah pembakar lemak di dalam badan.
Tetapi ianya lebih tepat dikatakan sebagai menolak lemak daripada bahagian perut ke atas dan ke bawah untuk ilusi bentuk badan yang lebih menawan. Dalam erti kata lain, ianya diperbuat untuk menyorok gumpalan lemak sahaja.
Berkesankah untuk kurus?
Apabila anda memakai korset, situasi ini boleh dikatakan seperti meletakkan tekanan ke atas perut serta ukuran pinggang anda. Ia menyebabkan kesukaran untuk makan berlebihan sekali gus mengurangkan selera makan.
Malahan, jika korset itu telah digabungkan dengan infra merah, ia akan menjadi panas (umpama sauna) dan meningkatkan metabolisme serta membakar kalori yang tidak semestinya membakar lemak.
Bagaimanapun, teori yang digunakan ini juga dapat mengakibatkan kesan sampingan yang serius terhadap kesihatan baik dari segi jangka pendek dan jangka panjang iaitu:
1. Ketidakselesaan untuk bernafas – penggunaan yang berpanjangan boleh menyebabkan tahap oksigen yang rendah dalam badan, sehingga menyebabkan keletihan, pening dan mual.
2. kompresi atau tekanan terhadap rongga dada yang dapat mempengaruhi organ dalaman seperti hati, paru-paru dan jantung.
3. Penyebab kepada chlorosis (greensickness) iaitu kulit menjadi putih kehijauan yang disebabkan oleh adanya gangguan pada hempedu.
4. Kelainan bentuk fizikal tubuh misalnya tekanan pada perut akan terjadinya benjolan di bahagian tubuh yang lain.
Pemakaian korset bukanlah alat untuk membakar lemak atau sebagainya tapi ia mungkin dapat mengurangkan keinginan untuk makan berlebihan dan memberikan ilusi bentuk badan yang lebih ‘cantik.’
Menurut Kevin, sesetengah kos korset mencapai harga beribu-ribu ringgit, jadi bagi sesiapa yang membeli korset ini ia bukanlah pelaburan yang kecil-kecilan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI