Pernahkah anda membayangkan dalam fikiran bahawa makanan yang diambil setiap hari mungkin mengandungi bahan toksik? Arsenik ditemui dalam produk bijirin penuh, sayur-sayuran dan buah-buahan, makanan laut terutamanya beras.
Arsenik ialah sejenis unsur kimia dengan simbol As, nombor atom 33 dan jisim atom relatif 74.92. Unsur metaloid ini digunakan untuk membuat racun perosak, ubat sapu, peranti elektronik dan sebagainya.
Kesan toksik arsenik biasanya muncul apabila tubuh terdedah kepada racun ini dalam dos yang tinggi. Dalam jangka pendek atau panjang, pendedahan kepada arsenik boleh menyebabkan masalah kesihatan.
Berikut perkongsian bermanfaat daripada Dr Mazliana Mazlan tentang teknik memasak nasi bagi mengurangkan kandungan arsenik di dalam nasi yang kita makan. Semoga bermanfaat untuk semua.
Saya masak nasi dengan kaedah kukusan, untuk kurangkan kandungan arsenik dalam nasi. Arsenik ini sejenis elemen semulajadi yang ada pada air, tanah, udara, haiwan dan tumbuhan. Ada jugak arsenik buatan yang digunakan dalam racun serangga untuk tanaman.
Dalam beras, hampir 10 hingga 20 kali lebih banyak arsenik berbanding bijirin lain sebab beras terendam dalam sawah padi, sentiasa bertakung dengan air. Ada juga yang disembur dengan racun serangga dari arsenik buatan.
Menurut WHO, jika kita terdedah dengan arsenik dalam tempoh yang lama, ia boleh menyumbang kepada penyakit jantung, kencing manis, pertumbuhan terbantut, kanser dan juga masalah neurologi. Antara simptom lain, sakit perut, sakit kepala dan cirit-birit.
Kita makan nasi hari-hari. Kalau cara pemilihan, pengendalian beras dan cara memasak yang betul kita amalkan, insyaAllah dapat kurangkan kandungan arsenik dalam nasi untuk keluarga kita makan.
Setiap jenis beras ada kandungan arsenik yang berbeza. Padi yang ditanam di kaki bukit contohnya padi beras basmati, kandungan arsenik nya kurang berbanding padi di sawah yang ada takungan air. Sebab air membanjiri padi setiap masa di sawah, maka kandungan arsenik makin tinggi.
Dikongsikan cara kendalikan beras supaya kandungan arsenik berkurang dalam nasi yang kita dan keluarga makan di rumah.
1. Basuh beras sampai air basuhan jernih
– Basuh, basuh dan basuh sampai jernih. Sambil selawat, tak sedar pun dah 4 5 kali basuh.
– Arsenik ni larut air, makanya lagi banyak ia tersingkir jika kita basuh berkali-kali.
– Nutrisi memang akan hilang sedikit bila kita basuh beras banyak kali, tapi singkir arsenik lebih penting untuk kita utamakan.
2. Rendam beras
– Rendam beras semalaman mampu kurangkan kandungan arsenik lebih banyak berbanding hanya dibasuh berkali-kali.
– Boleh rendam malam sebelumnya, dan kurangkan portion air waktu masak nasi esoknya.
3. Lebihkan air sewaktu memasak
– Gaya yang kebanyakan atuk nenek kita dulu-dulu tanak nasi. Mereka lebihkan air waktu tanak nasi, bila nasi dah hampir nak masak, buang air yang berlebihan, dan masak macam biasa.
– Kajian menyatakan jika kita masak dengan porsi beras dan air sebanyak 1:5, kandungan arsenik dapat berkurang sampai 50peratus tau.
– Guna air yang banyak masa masak nasi, dan kita buang air larutan arsenik tersebut.
4. Rendam beras, basuh berkali-kali dan lebihkan air sewaktu memasak
– Buat ketiga-tiga step yang saya kongsi di atas tadi.
– Ini cara paling terbaik untuk kurangkan kandungan arsenik hingga mencecah 80 peratus.
Dalam gambar langkah demi langkah, ini cara saya memasak nasi setiap hari, untuk kurangkan kandungan arsenik sebanyak mungkin. Anda boleh tengok betapa keruhnya air kanji dan arsenik selepas nasi dimasak.
Dengan cara masak macam ini juga, kanji dari nasi akan keluar bersama-sama melalui air. Nasi kita akan kurang kanji dan akan rendah Glycemic Index (GI).
Tak semestinya perlu buat semua. Kalau dapat buat satu je pun, cukup syukur dah kan.
Kadang-kadang tak sempat rendam beras, berkejar nak masak. Takpe, basuh je sampai air jadi jernih pun dah dapat kurangkan sedikit kandungan arsenik.
Yang penting kita ada usaha untuk masak nasi yang terbaik buat keluarga. Sama-sama kita cuba ya, InsyaAllah.
Sumber: Dr Mazliana Mazlan