Lakukan 9 Perkara Ini Di Waktu Pagi Bersama Pasangan, Kian Bertambah Kasih Sayang

Share

Waktu pagi tentunya waktu yang cukup sibuk bagi setiap pasangan suami isteri. Tuntutan untuk keluar pergi bekerja dan menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah membuatkan pasangan suami isteri sibuk dengan tugasan masing-masing. Perkara ini menjadi lumrah dan perlu ditempuhi setiap hari.

Namun, dalam kesibukan melakukan tugas seharian, setiap pasangan harus menjaga hubungan agar kekal utuh demi menjamin keluarga yang bahagia. Walau sesibuk mana tugas seharian anda, waktu pagi juga merupakan waktu yang perlu dimanfaatkan bersama. Ia dapat mempereratkan lagi hibungan cinta agar terus mekar dan bersemi buat selamanya

Dalam kesibukan kita menempuh hari-hari, jom kita belajar tentang 9 perkara suami isteri patut lakukan bersama di waktu pagi agar cinta dan kasih sayang terus utuh, erat dan terus bersemi!

1. SOLAT BERJEMAAH BERSAMA-SAMA

Sesungguhnya solat adalah tiang agama. Selepas selesai membersihkan diri di pagi hari, ajaklah pasangan anda untuk solat berjemaah bersama-sama. Ia tidak mengambil masa yang lama dan solat berjemaah juga mampu mengeratkan hubungan suami isteri.

Selalunya, kita akan saling bersalaman dan bermaafan selepas solat. Ia memberikan keberkatan dan kemanisan dalam hubungan suami isteri. Jika suami anda ke masjid untuk solat subuh, bolehlah anda membantu menyiapkan pakaian dan menghantarnya ke pintu.

2. BANGUN AWAL PADA WAKTU YANG SAMA

Bangunlah awal di waktu pagi agar anda mempunyai lebih banyak masa bersama. Tetapkan waktu untuk bangun bersama. Contohnya mengunci jam 1 jam lebih awal dari waktu kebiasaan anda bangun dari tidur. Dengan cara ini, anda mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama. Ketika ini, anak-anak masih tidur dan anda pula tidak sibuk dengan hal sendiri.

3. PANDANG DAN SENYUM PADA PASANGAN

Dalam kesibukan dalam mempersiapkan diri dan keluarga, kadangkala anda terlupa untuk mengukir senyuman buat pasangan anda. Anda terlupa untuk memandang mata pasangan anda kerana kesibukan di waktu pagi.

Mulai saat ini, semai dan mekarkan cinta dalam rumah tangga dengan saling berpandangan dan memberikan senyuman ikhlas kepada satu sama lain. Walaupun anda penat dan tidak fokus, cubalah sedaya upaya agar hati boleh berbunga-bunga kembali dan menghilangakn rasa penat itu.

4. SARAPAN BERSAMA

Luangkan masa bersama dengan menikmati sarapan pagi bersama-sama. Tidak perlu hidangan berat seperti nasi lemak, nasi goreng, kuih muih dan sebagainya. Cukup hanya sekeping roti bersama secawan teh atau kopi. Saat ini pasti menjadi momen indah buat anda berdua kerana ketika waktu pagi, badan anda akan berasa lebih segar dan nyaman.

5. PELUKAN PASANGAN SEBELUM KE TEMPAT KERJA

Sebelum kaki melangkah keluar dari rumah,peuklah pasangan anda dengan erat disertakan ciuman di dahi dan tangan. Ia memupuk ikatan kasih sayang antara suami dan isteri. Dengan pelukan yang diberikan, ia seolah-olah mengikat perjanjian yang tujuan masing-masing keluar adalah untuk mencari rezeki dan berjanji untuk pulang bagi meneruskan kehidupan suci rumah tangga bersama-sama.

6. URUSKAN ANAK BERSAMA

Untuk membuatkan waktu pagi anda tidak terlalu sibuk, anda boleh membahagikan tugas menguruskan anak bersama pasangan. Contohnya, si suami mengejutkan anak-anak dan si isteri memakaikan baju atau menyiapkan anak. Ini boleh meringankan beban anda dan waktu anda bersama pasangan boleh diperolehi.

Untuk si suami, jangan menyerahkan semua persiapan untuk menguruskan anak kepada isteri semata-mata, anda juga harus membantu isteri bagi meringankan tugasannya. Tidak kiralah apa sahaja rutin harian keluarga anda, dengan pembahagian tugas sebegini, ringan sedikit beban dan masa pun dapat dijimatkan.

7. UCAPKAN KATA-KATA SAYANG

Ucapkan kata-kata sayang buat pasangan agar perasaan cinta makin mendalam. “Selamat bekerja”, “saya sayang awak”, “I will miss you”, atau “semoga dipermudahkan urusan di tempat kerja” merupakan kata-kata sayang yang tidak patut dilupakan pada waktu pagi. Ucapkannya kepada suami atau isteri anda, pasti mereka akan berterima kasih dan bersyukur mendapat pasangan yang penyayang.

8. LUANGKAN MASA BERDUA

Pada hujung minggu pula, tetapkan masa untuk berdua. Lakukan aktiviti-aktiviti bersama bagi mengeratkan hubungan anda berdua. Sebagai contoh, anda boleh memilih untuk bersarapan di luar bersama pasangan. Kemudian penuhi aktiviti bersama seperti membeli-belah mahupun menonton wayang.  Mungkin tidak perlu setiap minggu jika ia kurang praktikal, namun berusahalah sekali sekala untuk melakukannya.

9. DOAKAN SATU SAMA LAIN

Akhir sekali, doakan yang baik-baik buat pasangan anda. Berdoalah kepada Tuhan agar hubungan anda bersama pasangan di bawah lindungan-Nya dan diberkati. Tiada yang lebih bermakna melainkan ucapan doa yang diucapkan oleh suami buat si isteri ataupun dari isteri buat suaminya yang tercinta!

Published by
Fadhli Ismail