Sebelum mendirikan rumah tangga, pastinya segala hati budi, sikap sama ada luar dan dalam perlu dikenali dengan lebih mendalam. Ini bagi memastikan agar hubungan yang dibina tidak berlandaskan kepura-puraan semata-mata.
Tip berikut pastinya berguna untuk wanita yang akan mengenali, sudah mengenali, dan masih mengenali hati insan yang bernama lelaki yang bakal menjadi bakal suami.
Agama
Sebenarnya, perihal agama inilah sepatutnya perlu dilihat terlebih dahulu sebelum berumah tangga. Ini kerana, suami dipertanggungjawabkan untuk memelihara dirinya dan rumah tangganya. Jika terdapat salah dan silap yang dilakukan oleh isteri, suami wajar menegur bagi mengelakkan perkara-perkara yang boleh melanggar syariat agama.
Harta
Tatkala berbicara tentang harta, bukanlah bermakna sebagai wanita, anda perlu memandang harta sebagai perkara utama dalam sesebuah perhubungan. Namun sebenarnya, suami perlu bertanggungjawab ke atas kewangan isterinya atau disebut sebagai nafkah.
Tidak ada manfaat atau faedah jika memiliki suami yang kaya namun kedekut, suami yang berharta namun tidak pula memberi nafkah, dan suami yang masih lagi meminta duit isteri walhal si suami sudah pun berkerjaya. Akan tetapi, suami yang sedar akan tanggungjawabnya adalah suami yang memberi nafkah kepada isteri pada kadar yang termampu.
Akhlaknya
Dalam hal ini, cara penampilan, kekemasan pakaian, cara percakapan, jujur akhlaknya, bersikap rendah diri, dan juga tegas dalam sesuatu perkara adalah antara akhlak mulia yang perlu diperhatikan. Janganlah sekadar memandang sikap yang ditunjukkan pada anda. Namun, lihatlah juga akhlaknya pada orang lain termasuklah ahli keluarga, rakan-rakan, dan juga ahli masyarakat yang lain.
Kusangka Bujang, Rupanya Suami Orang!
Hal ini pasti menggerunkan sesetengah wanita di luar sana. Lagaknya, tutur katanya, semuanya tidak menggambarkan apa-apa petunjuk yang memungkinkan si dia ini suami orang. Jadi, bagaimana untuk mengenal pasti bahawa si dia ini sudah berkahwin? Jika anda pernah menaiki kereta kepunyaan teman lelaki, pasti terasa pelik jika terdapat kasut perempuan atau alat permainan yang sememangnya bukan milik kita, bukan? Tanya dan selidiklah perkara ini jika anda pernah melaluinya walaupun si dia sudah menyatakan hal sebenar.
Bukan untuk mengongkong segala tindak tanduknya, namun pasti hati terasa puas tatkala kita sudah mengetahui perkara yang sebenarnya. Lagi buruk padahnya jika kita mengetahui sesuatu perkara daripada mulut orang lain.
Malas vs Rajin
Hal ini perlu dipandang berat. Memang benar, semasa bercinta tidak semua perkara sama ada yang baik mahupun yang buruk ditonjolkan oleh pasangan. Lantas, selepas berumah tanggalah kesemua sikap dapat dilihat termasuklah sikap malas ataupun rajin. Pastinya, kita sebagai isteri tidak akan ‘menang tangan’ jika si suami tidak pandai menolong dalam menguruskan hal rumah tangga. Oleh yang demikian, amat penting untuk saling membantu antara satu sama lain semasa menguruskan kerja rumah, lebih-lebih lagi jika sudah mempunyai cahaya mata.
Bebas Penyakit
Penyakit yang dimaksudkan di sini ialah penyakit yang boleh disebarkan sama ada melalui sentuhan mahupun hubungan seks. Ini sangat penting kerana apabila anda sudah berkahwin nanti, pastinya anda dan suami akan melakukan hubungan kelamin. Antara penyakit yang boleh disebarkan melalui hubungan seks ialah AIDS, HIV, Thalassemia, ataupun penyakit kelamin. Kesemua ini perlu diambil kira agar tidak berjangkit setelah anda melakukan hubungan intim. Oleh sebab itulah pemeriksaan sebelum berkahwin sangat penting untuk anda jalani. Berilah sokongan kepada bakal suami atau suami jika terdapat apa-apa penyakit yang dihidapi.
Hobi
Apakah hobi bakal suami anda? Jika anda masih lagi belum mengetahuinya, ketahuilah serba sedikit tentangnya. Mungkin hobi anda dan juga suami adalah sama. Jadi, bolehlah anda berdua melakukan hobi itu bersama-sama pada masa terluang. Contohnya, jika anda dan suami sangat gemar memancing, apa kata setiap hujung minggu anda dan juga suami pergi memancing sama ada di sungai ataupun air terjun. Pastinya hujung minggu yang terluang itu diisi dengan aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan anda berdua.
Pekerjaan
Pekerjaan merupakan salah satu aspek yang sangat penting. Tidak kira apa jua jenis pekerjaan, namun datang daripada sumber yang halal, pastinya memberikan kebahagiaan bukan sahaja pada anda, malah pada keluarga yang bakal dibina. Pastikan pekerjaan yang dimiliki suami adalah daripada sumber yang halal dan tetap kerana setelah berkahwin, suamilah yang akan menampung segala perbelanjaan keluarga.
Kredit foto (top image): Pexels