Jika anda ingin memasuki ke rumah baru atau pindah rumah sama ada rumah sendiri atau sewa dan kosong, anda tidak digalakkan masuk begitu sahaja tanpa sebarang amalan atau doa yang telah diamalkan oleh orang-orang Islam.
Sebelum berpindah, anda perlu membuat persiapan yang sewajarnya dan banyak perkara penting yang perlu anda diambilkira dan harus disenaraikan sebelum pindah rumah. Sebolehnya kurangkan kos pemindahan dan cuba berjimat cermat agar perbelanjaan di rumah baru nanti masih lagi mencukupi.
Terkadang dek kerana teruja dan gembira apabila nak pindah ke rumah sendiri kita pasti akan lupa tentang pantang larang dan syarat-syarat untuk memasuki rumah baru yang akan kita duduki itu. Oleh itu, beringatlah sebelum sesuatu yang tidak mustahil akan berlaku kepada diri kita atau pun ahli keluarga.
Berikut adalah tips dan panduan untuk masuk ke rumah baru yang akan anda duduki. Adab dan amalan serta doa semasa pindah rumah ini agar dapat mengingatkan sesama kita sewaktu ingin memindah rumah.
1. Laungan Azan
Adalah wajib melaungkan azan sewaktu pertama kali ingin masuk ke rumah baru. Tindakan ini adalah amat baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan atau tanpa tiada penghuni. Sebaiknya pilihlah tarikh, hari dan masa yang sesuai untuk berpindah masuk ke rumah itu dan elakkan pada waktu Maghrib.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis atau rumah) itu terlalu lama ditinggalkan kosong (tanpa penghuni) ia akan dimasuki oleh sejenis makhluk halus (jin yang dikenali sebagai Al-‘Ammar) yang suka tinggal di kawasan rumah yang tiada dihuni oleh manusia.
2. Bacaan Surah Al-Baqarah
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud; “Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah.”
Selalunya di kalangan masyarakat kita adalah menjadi kebiasaan apabila masuk ke rumah baru kita hanya akan membaca Surah Yassin sahaja sepatutnya kita juga harus membaca Surah Al-Baqarah untuk masuk rumah atau bangunan baru.
3. Perbanyakkan Solat dan Mengaji Al-Quran
Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW juga menggalakkan kita agar memperbanyakkan solat dan juga membaca -ayat-ayat suci Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru yang akan kita duduki. Baginda juga bersabda yang bermaksud, “Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
4. Baca Surah Yassin, Al Ikhlas dan Al Fatihah
Amalkan dengan membaca Surah Yassin pada setiap malam terutamanya pada tujuh malam yang pertama anda menduduki bangunan atau rumah berkenaan. Baca juga Surah Al-Fatihah sebanyak sekali, Surah Al-Ikhlas tiga kali, selawat ke atas Nabi sebanyak tujuh kali, Ayat Kursi sekali walau bagaimanapun pada ayat terakhir bacalah dengan berulang sebanyak tujuh kali.
5. Memagar Rumah Secara Islam
Perbuatan memagar rumah dengan menanam atau menggantung sesuatu di penjuru atau sudut-sudut yang tertentu di bangunan atau dalam rumah yang diduduki itu dengan kepercayaan bahawa benda tersebut akan menjaga dan memeliharakan keselamatan penghuninya, itu adalah perbuatan yang sangat bertentangan dengan ajaran agama Islam iaitu syirik.
Bagaimana pun terdapat beberapa cara yang dibolehkan dan turut digalakkan mengikut ajaran agama Islam. Caranya adalah dengan memagar rumah dengan merenjiskan air bacaan Yassin di sekeliling rumah bakal anda duduki itu.
Amalkan Panduan Berikut:
Ambil air dan kemudian bacakan Surah Al-Fatihah, Ayat Kursi, Surah 3 Qul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas). Kemudian tiup ke dalam air tersebut secara perlahan-lahan sehingga habisnya nafas. Setelah itu, jirus dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru rumah dengan memulakan pada penjuru yang terletak di sebelah kanan dan seterusnya pula kepada penjuru yang berikutnya mengikut arah yang berlawanan dengan jarum jam.
Semoga perkongsian adab dan amalan pindah rumah dan doa masuk rumah baru ini akan membantu anda untuk menyelesaikan masalah anda yang anda cari. Amalkanlah dengan baik dan betul seperti yang disampaikan di atas agar tercapai apa yang anda inginkan. Semoga bermanfaat.
Sumber : Maklumat Media