Bila cakap pasal ego, memang nampak negatif. Tapi ego yang satu ini kena ada dalam diri lelaki khususnya suami agar tidak membebankan isteri. Ego positif ini yang akan memimpin suami untuk lebih baik lagi dalam kehidupan. Ikuti perkongsian dan tulisan Mohd Fadli Salleh ini.
Aku sejenis lelaki simple.
Dengan selipar Jepun Rm2 sepasang, dengan baju seluar bundle harga RM10 sahaja boleh ke mana-mana. Tanpa malu, tanpa segan.
Tidur tak berbantal tak apa. Selimut tak ada aku peluk tubuh sendiri. Atas lantai pun boleh lena.
Aku tak gusar duit di poket tiada. Buat air teh o, cicah biskut lemau yang dah expired pun jalan saja. Asal dapat alas perut, jadilah.
Aku tak kisah jalan seorang diri. In fact, aku suka bergerak sendiri. Tak nak susahkan orang, tak terikat dengan peraturan orang.
Aku boleh makan kat kedai makan sorang-sorang. Jalan pusing uptown pakai kain pelikat jam 2 pagi sorang-sorang sampai berjam-jam.
Aku tiada masalah. Orang nak pandang pelik ke apa, aku tak endah. Asal aku tidak menyusahkan orang, cukuplah.
Aku juga sejenis nekad tak tentu hala. Jenis rempuh semberono tak fikir panjang. Jenis buat dulu, baru fikir kemudian.
Pernah balik kampung dari Bangi ke Kelantan naik motor dengan duit cuma RM10. Tu pun kena kongsi dua. Tahu dah pasti tak sampai. Tapi rempuh juga. Nanti minyak habis, kita fikir cara. Yang penting, rempuh dulu. Akhirnya selamat sampai juga. Tapi gila. Cukup gila.
Wakaka.
Bila jadi cikgu, orang lain kalut buat tuisyen, cari side income, aku rileks tak buat apa-apa. Padahal beratus parent tanya aku buat tuisyen ke tak. Alhamdulillah, budak-budak suka dan mudah faham bila aku mengajar.
Tapi aku tolak. Aku nak rehat. Tak nak terikat dengan jadual waktu, nak bebas dengan cara aku. Tenang aku hadapi setiap masa lapang dengan cara aku tersendiri. Boleh tidur sedap pada hujung minggu, malam boleh lepak sampai ke pagi.
Senang cerita, aku malas. Haha.
Masa awal berkeluarga, perangai aku masih sama. Aku tetap aku, dengan kain pelikat boleh masuk pasaraya, dengan selipar Jepun dan baju bundle pusing kota seorang diri di tengah malam buta.
Aku lelaki simple.
Namun bila berkeluarga, aku ada satu ego seorang lelaki. Satu ego seorang suami. Satu ego seorang ayah.
Dan ego itu mengubah aku yang simple ini.
Ego punya pasal, hari pertama kahwin aku terus sound isteri,
“Sewa rumah, bil api, bil air, bil telefon awak, bil hospital, bil apa-apa, jangan sentuh. Jangan bayar. Biar abang bayarkan. Itu tugas abang sebagai suami”.
Fuh. Kemain ego tak padan gaji. Padahal gaji aku diploma je. Tu pun penuh komitmen dah. Wife gaji degree.
Dan aku buat itu. Aku buat sungguh tanpa pernah merungut. Hampir 12 tahun usia perkahwinan kami, tidak pernah sekali isteri aku bayar apa jua bil atau sewa rumah.
Bukan tak pernah bil sampai surat merah amaran bakal dipotong bila banyak bulan tertunggak, puan isteri nak bayarkan, aku marah.
Isteri aku patuh. Diam dia tidak melawan. Dia tahu aku pasti settlekan. Sebab aku sejenis yang ego. Orang ego akan pastikan janji dia dikotakan. Jatuh air muka jika janji tidak ditepati ni.
Setiap bebanan kewangan, setiap bil yang aku tak mampu langsaikan, aku tak pernah minta duit dengan isteri. Minta pinjam pun tidak pernah. Walau aku tahu dia ada.
Ego seorang suami aku sangat tinggi.
Aku akan pinjam dengan sahabat-sahabat baik aku untuk settlekan bebanan kewangan yang aku tak mampu tanggung. Aku rela berhutang dengan kawan dari pinjam dengan isteri sendiri.
Mungkin pada setengah kalian itu pelik. Namun itu aku.
Duit tinggal seringgit dalam poket, nak ke sekolah tak ada duit belanja makan pun aku still takkan minta dengan isteri aku. Aku sanggup berhutang di kantin.
Rela bayar minyak motor dengan duit syiling yang aku kumpul dalam kocek kecil seluar jean bundle aku. Punya la ego tak nak pinjam duit isteri waima RM5.
Tapi isteri tetap isteri. Dia faham suami dia. Kadang dia selit RM10, RM20 dalam dompet aku saat aku tidur lena. Terkejut juga buka wallet yang sepatutnya tinggal RM2 ada RM22.
Bila aku tidur, dia buka wallet. Hanya ada resit dan kertas sahaja dalam wallet. Dia faham dan dia pernah selit beberapa kali sehingga aku sound semula,
“Abang ada duit. Tak sempat cucuk”.
Kata aku bila dia bertanya tentang duit dan dompet yang kosong. Aku cakap benar, dalam bank aku benar ada duit. Ada la RM4.35 lagi. Nak cucuk je tak boleh. Jenis cucuk kad keluar kad ja.
Ads
Ads
Ads
Punya la ego aku kan? Haha.
Namun sampai ketika, Tuhan kirim satu nyawa dalam rahim isteri aku. Isteri mengandung.
Baju mengandung orang perempuan ni mahal-mahal. Banyak jenis pula tu. Telan air liur aku nak membeli. Dan la beli sehelai dua.
Masa ni puan isteri minta izin dia nak belikan sendiri baju mengandung. Aku jawab ‘ok’ sahaja.
Perit nak jawab masa tu. Sebab aku letak tanggungjawab itu atas aku semuanya. Tapi dah masa tu tak mampu. Tercalar sungguh ego aku sebagai seorang suami.
Kemudian bila anak lahir, ego seorang ayah pula datang.
Masuk kedai baby, tak pilih barang murah. Nak yang terbaik saja. Botol susu nak MAM dan Avent. Pam susu nak beli Avent mulanya, tapi tak mampu. Beribu yang automatik tu. Ambil Spectra, tu pun harga boleh tahan juga.
Anak selsema sikit, sakit sikit, bawa ke klinik swasta. Nak cepat, klinik kerajaan agak lambat. Que panjang. Rabak lagi poket.
Pernah terdengar puan isteri belek Fb kemudian cakap,
“Wah. Bestnya pergi melancong”.
Aku diam tak kata apa. Buat-buat tak dengar saja. Masa ni aku nekad. Nekad senekad-nekadnya.
Aku tak boleh lagi bermalas-malasan. Tercalar ego aku sebagai seorang lelaki, sebagai seorang suami, sebagai seorang ayah jika aku terus bermalasan begini.
Kewangan makin genting bila ada anak. Pampers nak kena beli. Susu Frisolac yang mahei tu nak kena bayar.
Tercalar teruk ego aku sebagai seorang suami dan ayah jika semua persiapan anak-anak, bil klinik dan sebagainya dia yang bayarkan.
Mana boleh jadi begitu. Aku lelaki. Aku suami. Aku ayah. Dan aku ada ego aku.
Dari situ aku humban segala kemalasan aku, aku terjun ke jalanan buat apa saja untuk tambah income.
Aku sekolah sesi petang. Balik sekolah sampai rumah jam 7 malam. Mandi, makan malam, jam 8:30 malam aku dah keluar rumah. Pulangnya jam 6 pagi.
Ikut kawan berniaga kat uptown dengan gaji RM0-RM30 satu malam. Ya, pernah langsung tak bergaji bila tak ada customers pun datang.
Lepas tu macam-macam lagi aku buat. Apa jua peluang aku rembat. Nampak orang jual simkad School Of X (Celcom), aku mesej tanya nak jadi ejen bawah dia juga. Nampak kawan jual air, aku tawar diri nak jual air juga. Nampak kawan buka kedai daging bakar, aku tawar jadi pekerja.
Aku peduli apa kerja apa pun. Yang untung 50 sen pun aku jual juga. Aku tak peduli penat, aku kurangkan masa rehat. Kerana aku tak nak ego aku tercalar.
Aku tak nak lagi saat anak aku tunjuk mainan harga RM15 aku perlu jawab sekali lagi,
“Nanti ayah gaji ayah belikan ya!”
Peritnya perasaan itu bila anak minta sesuatu yang murah tidak mampu aku tunaikan. Ia merobek-robek hati ini, terasa begitu uselessnya aku.
Sepuluh tahun kami berkahwin, aku tak pernah bawa isteri aku ke kedai emas. Tak pernah bawa melancong. Dan dia setia disisi tanpa pernah minta waima sebentuk cincin murah yang harga bawah RM200.
Isteri. Anak. Mereka kekuatan aku.
Aku usaha sungguh-sungguh untuk keselesaan mereka walau mereka tak minta. Untuk aku, aku tak perlu keselesaan sangat.
Aku lelaki simple. Cukup dengan motor buruk, sedikit makanan untuk alas perut dan satu tempat berteduh untuk merehatkan badan.
Tapi demi anak dan isteri, aku nak mereka selesa. Aku tahu itu tanggungjawab aku. Dan aku tidak mahu ego aku sebagai seorang lelaki, sebagai seorang suami, sebagai seorang ayah tercalar lagi.
Sepertimana ia pernah tercalar dulu, cukuplah untuk waktu itu.
Masa merubah. Tuhan tidak pernah membiarkan usaha hambaNya sia-sia.
Setelah tabungan stabil, kewangan kukuh, tahun ke-10 perkahwinan kami, kali pertama aku heret tangan isteri aku masuk kedai emas buat pertama kali. Menangis dia.
Tahun ke-10 perkahwinan kami, aku bawa isteri, anak-anak, mak mertua dan adik ipar sekali pergi melancong naik flight. Semua aku support penuh.
Semoga tahun ini dan tahun-tahun mendatang, rezeki aku Allah terus murahkan. Amin.
Itulah dia sedikit pengkisahannya tentang seorang aku.
Aku tak tahu ada ke tak orang baca tulisan ini hingga ke noktah terakhir. Namun jika ada kalian yang membacanya hingga ke perenggan ini, dan kalian masih dalam situasi struggle, kesempitan dan masih banyak beban kewangan, ingatlah;
Usaha dan usaha saja. Cari Big Why kenapa perlu aku usaha. Kenapa perlu aku ubah diri. Kenapa perlu aku gigih dan tidak berhenti.
Satu ketika yang tepat, dengan usaha yang hebat, satu demi satu Tuhan buka lorong rezeki. Satu demi satu masalah itu akan berlalu pergi.
Bila sudah ada jodoh di depan mata, tentulah kita teruja untuk melangsungkan perkahwinan. Tetapi bakal pengantin selalu silap dalam soal membuat simpanan. Kebanyakkan bakal pengantin akan menyimpan untuk majlis perkahwinan dan bukannya untuk kehidupan selepas berkahwin. Betul tak?
Cuba bayangkan, anda dan pasangan beriya-iya mengumpul wang dan semuanya habis digunakan untuk sebuah majlis perkahwinan. Selepas majlis, apa pula yang tinggal untuk meneruskan kehidupan berkeluarga? Sebenarnya, PKP ini juga boleh dilihat dari sisi positif. Selain mengelakkan penularan wabak, majlis perkahwinan yang hanya terhad kepada beberapa orang tetamu ini boleh menjimatkan wang.
Ini antara cara untuk anda mengumpul duit:
Tetapkan matlamat
Sebelum mula menabung, fikirkan apakah matlamat anda. Dengan matlamat itu, anda akan mendapat motivasi untuk meneruskan niat membuat tabungan. Tanya diri sendiri berapa yang anda boleh buat tabungan setiap bulan atau atau setiap hari. Pastikan ia cukup untuk mencapai matlamat yang diperlukan.
2. Menabung bersama
Kehidupan berkahwin melibatkan dua individu iaitu anda dan pasangan. Jadi, pilihlah untuk mempunyai tabungan bersama. Maksudnya di sini, masing-masing mempunyai tabung untuk mengumpul duit. Tak perlulah untuk memiliki akaun bank bersama. Cukup sekadar anda dan pasangan tahu bagaimana menguruskan duit dan membuat simpanan untuk hari bahagia anda.
Sekiranya anda memilih untuk majlis yang memorable, bolehlah ‘laburkan’ sedikit wang untuk merealisasikan impian itu. tetapi jangan ‘kacau’ tabungan yang sudah dibuat.
3. Penjimatan
Kalau dilihat semula, perbelanjaan bulanan kita biasanya lebih kepada kehendak. Kita selalu menggunakan alasan ‘self reward’ untuk mendapatkan barangan yang mahal-mahal. Dan ada banyak kehendak lain bila kita mula nampak ada jualan murah. Alasannya, ‘bila lagi akan ada sale’.
Demi mengumpul duit, anda perlu bijak untuk tahu apa yang penting dan apa yang tidak. Kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu terutamanya untuk membeli baju. Fesyen sentiasa berubah dan anda akan sentiasa ‘terikat’ untuk berada dalam trend. Lebih baik berjimat supaya satu hari nanti anda boleh gunakan untuk memiliki apa yang anda mahu. Atau, tetapkan bajet bulanan untuk baju. Mungkin RM50 sebulan?
4. Jangan buat pinjaman
Adalah satu kesalahan besar sekiranya anda membuat pinjaman untuk perkahwinan. Memang mudah untuk mendapat kelulusan tetapi anda akan terikat untuk membuat bayaran balik untuk jangka masa panjang. Ikutlah kemampuan diri dan jangan membazir. Tak ada salahnya membuat majlis kecil-kecilan. Bukan orang luar akan bantu anda untuk bayar balik pinjaman itu nanti.
Untuk barang hantaran, beli barangan yang tak berjenama pun tak apa. Sekarang kan trend gubahan hantaran di dalam kotak. Tak ada siapa pun yang akan sibuk-sibuk untuk melihat isi kandungan barang hantaran itu nanti.
5. Simpanan ‘terpaksa’
Pastikan anda membuat tabungan 20% daripada gaji diterima. Bukan apa, tabungan paksaan ini nanti boleh menjadi kesenangan buat anda di masa hadapan. Simpanan paksa ini juga boleh menyekat anda daripada membuat pembaziran dalam perkara-perkara yang tidak penting. jika anda boleh membuat simpanan paksa lebih daripada 20%, itu lebih baik!
Jadi, segalanya ada di tangan anda. Tak perlu turutkan sangat kata hati dan bimbang apa kata orang lain. majlis kecil-kecilan pun sudah cukup bermakna apatah lagi dikelilingi sahabat dan keluarga terdekat.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perhubungan jarak jauh atau PJJ ni bukan mudah. Yang melaluinya sahaja yang tahu macam mana sakitnya menyimpan rindu. Isteri yang terpaksa berjauhan dengan suami pula begitu sibuk sekali menguruskan diri dan anak-anak sendirian.
Pada waktu pandemik ini, kesukaran untuk bertemu di antara satu sama lain membuatkan ramai yang semakin ‘sakit’ menanggung rindu. Mujur boleh buat panggilan video. Namun, di sebalik ksiah sedih PJJ, ada satu sudut positif yang boleh anda lihat.
Ketika PJJ ini, bolehlah anda membuat simpanan untuk membeli rumah atau membuat pelaburan lain yang boleh memberikan pulangan lebih lumayan di kemudian hari. Letakkan target dan matlamat serta cuba laksanakan yang terbaik.
Jom kita baca cadangan dari Dr Azizul Azli Ahmad untuk pasangan PJJ melakukan pelaburan yang baik dan menguntungkan.
1. Jika kita suami isteri lepas kahwin tinggal berjauhan dan berasingan, jangan ambil masa lama untuk beli rumah pertama.
2. Dilema kita, bilalah nak dapat duduk bersama menjadikan kita tak tahu nak beli rumah dimana.
3. Jangan ragu ragu nak tinggal dimana atau rumah pertama dimana, pertimbangkan maklumat ini ;
4. Jangan ambil masa terlalu lama, sebaiknya sebelum 5 tahun mesti ada rumah pertama.
5. Sebaiknya kediaman dibeli yang dekat dengan kerja isteri.
6. Tempat kerja siapa yang ada potensi pelaburan hartanah yang baik, dekat dengan kemudahan awam.
7. Pekerjaan siapa paling stabil dan boleh bertahan lama dan belilah disana.
8. Jangan beli ‘ditengah’ antara tempat kerja suami & isteri. Bila dah anak anak sekolah nanti pasti ada barang tertinggal. Jika ada yang dekat sekolah itu lebih mudah.
9. Mulakan dengan kediaman kecil dan sederhana, jangan yang banyak bilik jika hidup masih berdua.
10. Utamakan rumah pelaburan dari rumah impian, tangguhkan dulu kemahuan.
Jangan bersedih bila berjauhan dengan pasangan anda, rancang cepat cepat rumah pertama dimana.
Manfaatkan berjauhan untuk bina harta bukannya main mata dengan gegadis yang tumpang kereta
Solat istikharah ni biasanya dilakukan apabila kita nak buat pilihan dalam hidup. Sama ada untuk perkahwinan mahupun soal kerjaya dan sebagainya. Buat pasangan yang hendak mendirikan rumahtangga pula, solat istikharah ini menjadi amalan untuk membuat pilihan pasangan yang terbaik.
Tapi kebiasaannya, kita selalu ‘berat sebelah’ dalam mencari kepastian. Berat sebelah macam mana pula? Jom baca perkongsian dari Rahsia Kahwin Muda ni…
TENTANG ISTIKHARAH
Istikharah itu adalah soal hati dan perasaan. Tentang pilihan demi pilihan yang kita sendiri pun tak pasti. Tak tahu nak pilih yang mana satu. Dan belum tentu orang yang kita pilih itu adalah jodoh dari Allah untuk kita.
Kerana ada perkara yang kita tak tahu sama ada ianya baik untuk kita atau pun tidak. Dan ada perkara yang kita sangka ianya baik untuk kita tapi sebenarnya dia tak baik untuk kita. Maka kita perlu kepada pertolongan Allah.
Dan istikharah adalah jawapan kepada tiap ketidakpastian kita.
Tapi?
Baca dengan hati yang terbuka
Bila kita nak buat solat istikharah buatlah kerana kita nak dapatkan redha Allah, bukankah matlamat hidup kita di dunia ini kerana nak dapat redha Allah? Maka ikhlaslah kerana Allah semata. Buat sampai kita dah betul-betul yakin dengan jawapan yang kita ada. Tapi at the same time biar jawapan itu dia datang dengan keikhlasan bukan dengan cara paksaan.
Jangan paksa hati kita untuk terima pilihan yang kedua. Sedang pilihan yang pertama tadi kita tak ambil peduli.
Saya nak kongsikan dengan kalian tentang satu tips istikharah…
Bila kita nak buat istikharah jangan letakkan ‘pilihan kita’ pada istikharah yang kita lakukan. You know what i meant? Kita dah set dalam hati kita yang kita akan pilih dia lebih daripada pilihan kita yang kedua tadi. Dan akhirnya jawapan yang kita akan dapat adalah hasil dari apa yang kita dah cenderungkan dalam hati kita.
“Kita pilih dia melebihi dia.”
Sebenarnya istikharah ini bukan hanya soal kita cenderung ataupun tidak. Bukan juga sebab kita buntu. Sampai kita tak tahu nak pilih yang mana satu. Tapi istikharah ini adalah tentang kita dengan Allah, tentang kebergantungan kita kepada Allah, sejauh mana kita yakin dan percaya bahawa tiap apa yang Allah dah takdirkan untuk kita itu adalah jauh lebih baik daripada pilihan kita sendiri.
Istikharah ini bukan tentang dia yang belum pasti milik kita. Sepatutnya bila kita istikharah kita serahkan hati kita bulat-bulat hanya kepada Allah, biar Allah yang pegang hati kita dan kita hanya perlu terima dengan hati yang ikhlas, redha atas apa yang Allah dah rencanakan untuk kita.
Again.
Jangan cenderungkan hati kita pada dia bila kita nak istikharah. Percayalah, jawapan istikharah itu akan hadir dengan sendirinya. Tak perlu kita nak paksa hati kita untuk menghadirkan jawapan daripada istikharah yang kita dah lakukan.
Last but not least,
“Apa tanda jawapan dari istikharah kita?”
Antara tanda atau jawapan kepada istikharah yang kita dah lakukan ialah, bila kita terfikirkan soal dia hati kita menjadi tenang. Ketenangan yang kita tak pernah rasa saat kita belum melakukan istikharah. Hati kita jauh lebih yakin untuk menerima dia dalam hidup kita. Dan antara tanda jawapan istikharah juga ialah,
Dia datang daripada redha mak ayah. Mak ayah yang bersungguh nak kita berkahwin dengan dia.
Maka binalah hubungan rumahtangga kita di dunia ini dengan redha mak ayah. Kerana redha mak ayah adalah redha Allah, sejauh mana mak ayah redha dengan kita maka sejauh itu jugalah Allah redha kepada kita. Jadi buat mereka yang mak ayah masih lagi tak redha dengan hubungan kalian.
Jangan berputus asa. Selagi kalian boleh usaha teruskan usaha. Selagi kalian boleh bertahan maka teruskanlah bertahan. Tapi jangan tinggalkan Allah dalam urusan kalian.
Mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat, seperti kata Allah dalam Al-Quran…
“Dan mintalah pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” – Surah Al-Baqarah, Ayat 45
Ingatlah kita nak bina rumahtangga bukan hanya untuk di dunia saja. Tapi kalau boleh biar kekal berpanjangan sampai ke Syurga Allah. Insya Allah
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!