Masih ramai lelaki yang kurang peka dengan penjagaan wajah. Mereka perlu sedar dengan penjagaan wajah yang rapi, ketampanan mereka akan lebih terserlah, memukau selain bakal menambat hati si dia. Sebelum bergelar raja sehari, lelaki perlulah mengamalkan beberapa rutin penjagaan wajah agar mereka tampil lebih berseri dan kacak di hari perkahwinan.
Ini ada beberapa tip dan rutin yang boleh lelaki amalkan sebelum menjelangnya hari perkahwinan!
Untuk membantu anda mendapatkan kulit wajah yang bersih, anda haruslah mencuci muka pada waktu malam untuk menghilangkan minyak yang berlebihan selain habuk yang melekat pada permukaan kulit wajah. Ini akan membantu anda mendapatkan wajah yang lebih bersih.
Skrub wajah merupakan cara terbaik untuk anda mendapatkan kulit yang berseri. Proses ini membantu untuk menghilangkan atau membuang sel-sel kulit mati selain bintik-bintik hitam pada wajah. Tambahan lagi terdapat banyak produk skrub khas untuk lelaki yang dijual di pasaran.
Adalah penting untuk melembapkan kulit tetapi pelembap yang berlebihan boleh membawa kepada masalah kulit lain disebabkan oleh liang pori yang tersumbat. Oleh itu gunakan pelembap yang bertekstur ringan selepas anda mencukur dan sebelum masuk tidur.
Elakkan produk yang boleh mengakibatkan jerawat, ikut diet yang seimbang untuk mengurangkan keradangan kulit, kunyah makanan dengan betul dan elakkan makanan yang berminyak, berempah serta pedas. Jangan lupa banyakkan minum air untuk mengatasi masalah jerawat.
Minum air dengan banyak dan gunakan pelembap merupakan langkah-langkah asas untuk anda mengatasi masalah kulit kering. Sekiranya kulit anda kering sehingga bersisik, gunakan pelembap khas yang boleh didapati di farmasi.
Perubahan hormon, tekanan, alam sekitar dan genetik merupakan antara sebab yang boleh mengakibatkan kulit berminyak. Basuh muka anda dengan pembersih kulit yang lembut. Elakkan mengambil makanan yang berminyak dan gunakan sabun yang sesuai untuk kulit wajah.