Malam Sebelum Majlis Perkahwinan
Sediakan pakaian pengantin dan baju nikah anda, pastikan telah diseterika. Pada malam yang sama juga, anda boleh mengadakan sesi berinai.
Dapatkan rehat yang secukupnya. Pastikan anda memakan makanan dan minuman yang sihat supaya tiada masalah di esok hari. Jangan ambil ringan, banyak belanja dah dikeluarkan untuk majlis gilang-gemilang ni.
Di hari majlis, berikan info kepada jurugambar/juruvideo tentang orang-orang yang penting untuk dirakamkan dan diambil gambar. Supaya tidaklah nanti anda kecewa dengan hasil foto atau video yang diterima.
Pastikan kesemua perkara penting tidak tertinggal, antaranya adalah seperti mas kahwin, kad pengenalan dan juga cincin pernikahan.
Untuk pengetahuan anda, semasa akad nikah nanti, tok kadi akan mengeluarkan surat nikah sementara. Di sini, pasangan perlu menyemak semua maklumat yang terkandung di dalamnya seperti info kad pengenalan. Maklumat ini akan digunakan untuk membuat sijil nikah.
Selepas Selesai Majlis Perkahwinan
Ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pernikahan dan perkahwinan anda. Tanpa mereka, majlis sebesar ini mustahil untuk diuruskan.
Selesaikan pembayaran kepada pihak-pihak terlibat, pulangkan semua yang disewa
Ada lagi bayaran yang tidak selesai? Semak balik resit-resit atau fail belanja kahwin anda, ada tak yang terlepas pandang?
Jangan lupa untuk mengembalikan semua yang disewa seperti busana pengantin, pelamin atau sebagainya.
Kekal berhubung dengan jurugambar dan juruvideo anda supaya mereka mengantar semua foto dan video yang telah dirakamkan. Takut ada yang buat-buat lupa pula nanti.
Bila dah berjaya mendapatkan sijil nikah, anda boleh membuat kad kahwin dengan caj hanya RM40 untuk kedua-kedua pasangan. Untuk membuat kad kahwin, ada beberapa dokumen yang perlu disertakan. Anda boleh mendapatkan checklist dokumen ini daripada Pejabat Agama.
Dengan ini, selesailah sudah semua perkara yang memeningkan ramai. Diharapkan dengan adanya checklist kahwin ini, urusan majlis pernikahan dan perkahwinan anda dapat diselesaikan dengan lancar dan dengan jiwa yang tenang.
KREDIT GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES