Lepas Kahwin, Pindahlah Duduk Rumah Sendiri

Share

Perkahwinan merupakan dunia baru bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga. Dari hari pertama bernikah, korang mula mengenali hati budi dan sikap pasangan yang selama ini hanya diketahui secara luaran.

Namun apabila tinggal bersama, pasangan pengantin berpeluang mengatur kehidupan dengan baik dan menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Bagaimanapun, berpindah selepas berkahwin sering kali menjadi dilema bagi pasangan pengantin baru.

Tidak dapat dinafikan, terdapat beberapa faktor dan halangan sebelum anda boleh berpindah serta memulakan kehidupan yang baru. Antara faktor yang kerap dihadapi ialah masalah kewangan. Ini kerana ekonomi belum mantap dan banyak menggunakan duit masa berkahwin membuatkan anda terpaksa menumpang keluarga.

Kredit foto: Pexels

Ditambah pula dengan kos hidup yang tinggi dan harga rumah sewa yang mahal, jauh dari tempat kerja serta tidak mempunyai kenderaan menjadikan pasangan yang baru berkahwin berhadapan dengan beberapa masalah yang perlu difikirkan sebelum berpindah.

Ada beberapa sebab mengapa pasangan yang sudah berkahwin digalakkan tinggal berasingan dari keluarga dan cuba melayari penghidupan baru.

1. Mengajar pasangan berdikari dan tidak bergantung pada keluarga. Jika selama ini bergantung pada keluarga, bila masuk alam berumah tangga semuanya mesti dibuat sendiri. Ia mengajar anda untuk belajar berdikari serta belajar menyelesaikan masalah.

2. Memberikan peluang merancang kehidupan berumah tangga serta ada privasi. Pasangan akan ada lebih masa bersama dan boleh membuat banyak perkara bersama tanpa ada campur tangan keluarga.

3. Menjaga ekonomi keluarga. Pasangan baru berkahwin boleh belajar menjaga ekonomi dalam rumah tangga. Berbelanja ikut kemampuan diri. Jika dulu tidak ada duit minta keluarga, sekarang bila sudah berkahwin, susah senang anda tanggung bersama.

4. Keluarga tidak masuk campur kalau ada konflik. Jika ada perselisihan faham, hanya pasangan yang tahu. Keluarga tidak boleh masuk campur kerana rumah berasingan. Pasangan juga belajar berkompromi bertolak ansur serta menguruskan konflik keluarga tanpa ada campur tangan orang lain.

Kredit foto: Pexels

5. Bebas mengatur kehidupan berumah tangga dan bertanggungjawab terhadap kehidupan baru yang dibina.

6. Tidak akan menimbulkan konflik sesama ahli keluarga seperti kata pepatah, “jauh bau bunga dekat bau taik” yang membawa maksud jika selalu jumpa dan tinggal sebumbung konflik boleh berlaku bila-bila masa saja, tapi bila dah tinggal berjauhan rindu dan kasih lebih mendalam pada ahli keluarga yang lain.

Namun tidak dinafikan ada juga pasangan baru berkahwin terpaksa tinggal dengan keluarga kerana menjaga kedua orang tua dan telah dipertanggungjawab untuk menjaga rumah pusaka keluarga. Dalam hal ini, pasangan ini tidak mempunyai pilihan selain tinggal bersama keluarga dan menjaga Ibu bapa yang memerlukan perhatian mereka. Biasanya ini terjadi pada anak bongsu atau anak tunggal.

Kredit foto (top image): Pexels

 

Published by
Hasliza