Assalamualaikum. Apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami? Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Jawapan:
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Pertama: Mazhab Hanafi
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. (Rujuk Al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 3/350) Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami. (Rujuk Al-Mabsuth, 19/120)
Kedua: Mazhab Maliki
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan. Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan. (Rujuk Al-Mudawwanah, 2/131)
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu. (Rujuk Al-Taudhih fi Syarh Mukhtasar Ibn al-Hajib, 4/181)
Ketiga: Mazhab Syafie
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri. (Rujuk Raudhah al-Talibin, 7/265; Tuhfah al-Muhtaj, 7/312 dan 387; Mughni al-Muhtaj, 4/377 dan Al-Ghurar al-Bahiyyah, 4/186)
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah. (Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji, 4/83-83)
Keempat: Mazhab Hanbali
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan. Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie. Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga:
الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Ads
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka.
Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi. Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadith:
Maksudnya: Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya.
Sahih Muslim (1408)
(Rujuk Al-Mughni, 7/93-94)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh. (Rujuk Al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 20/390; dan Imam al-Buhuti, Kasyaf al-Qina’, 5/91)
Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya. Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata:
مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ
Maksudnya: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan. (Rujuk Al-Fatawa al-Kubra, 3/90)
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Ads
Namun demikian, jika isteri itu redha dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh. Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhardalam mazhab Hanbali. (Rujuk Syarh Zad al-Mustaqni’, 20/60-62)
Perbahasan Pandangan Ulama dan Tarjih
Imam Ibn Rusyd sewaktu memberi komentar tentang isu ini menulis:
Para ulama’ berbeza pandangan pada hukum mematuhi syarat seumpama ini, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh membawa isteri pergi berperang atau berpindah dari negerinya. Manakala menurut al-Auza’ie dan Ibn Syubrumah, isteri berhak mengenakan syarat itu dan suami mestilah mematuhinya. Ibn Shihab juga menyatakan para ulama’ berpegang pada pendapat ini. Qaul mereka ini diriwayatkan daripada Ali dan Umar R.A. Adapun faktor perbezaan pandangan mereka ialah kerana percanggahan antara nas umum dan nas khusus. Nas umum ialah hadith daripada ‘Aisyah R.Anha:
Maksudnya: Sesiapa yang mengenakan syarat yang tidak terdapat dalam al-Qur’an maka ia bathil, meskipun dia mengenakan seratus syarat sekalipun. Syarat Allah lebih benar dan dipercayai.
Riwayat al-Bukhari (2155)
Manakala nas khusus pula ialah hadith daripada ‘Uqbah bin Amir:
Maksudnya: Sesungguhnya syarat yang lebih berhak untuk dipatuhi dan ditunaikan ialah syarat yang menghalalkan hubungan kelamin (syarat perkahwinan).
Ads
Riwayat Muslim (1418)
Kedua-dua hadith ini adalah sahih, namun yang lebih masyhur dalam kalangan usuliyyun ialah mendahulukan nas khusus ke atas yang umum, dan dalam kes ini, wajib untuk mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama isteri.” (Rujuk Bidayah al-Mujtahid, 3/81-82)
Kesimpulan
Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif. Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Wallahu a’lam.
Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Istikharah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pilihan yang baik. Biasanya solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi dia tidak pasti apakah perbuatan atau tindakannya itu membawa kebaikan ataupun tidak kepada dirinya.
Maka untuk itu, dituntut baginya supaya melakukan solat sunat istikharah. Perlaksanaannya sama dengan solat-solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah saw. pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk Allah Taala dalam beberapa urusan yang penting. Rasulullah menyatakan;
“Apabila kamu merancang sesuatu perkara, maka dia melakukan solat sunat dua rakaat”.
(Hadis ini direkodkan daripada Bukhari)
Hadis ini hadis umum. Tidak disebutkan hukum wajib melakukan istikharah. Ini terbukti, apabila Rasulullah sendiri, tidak pula melakukan istikharah dalam beberapa hal. Kemudian, tidak pernah direkodkan apabila Rasulullah sudah membuat keputusan, nabi beristikharah lagi.
Istikarah bukan sahaja untuk memilih jodoh
Istikharah ini sebenarnya bukan satu perkara khusus untuk mereka yang mahu berkahwin semata-mata. Bukan ‘alat pencari jodoh’. Bukan juga alat ‘penentu’ siapa yang menjadi pasangan kita. Istikharah ini adalah apa yang terdidik oleh Rasulullah kepada kita dalam membuat apa-apa sahaja keputusan.
Namun, apabila sesetengah pihak mula mengganggap ia ‘alat pencari jodoh sebenar’ yang kononnya tepat 100 peratus, maka istikharah menjadi satu punca kekeliruan hati. Istikharah bukan lagi membantu menenangkan jiwa dan menetapkan hati kita.
Berkait dengan hati
Kita kena faham, bahawa Istikharah itu sangat berkait rapat dengan hati. Kalau hati kotor, mana mungkin akan mendapat petunjuk yang baik. Kalau hati bersih, InsyaAllah ilhamnya nanti juga baik. Ada orang, bersungguh-sungguh solat Istikharah, tetapi maksiat tetap tak tinggal, solat wajib tunggang langgang, maka bagaimana hendak mengharap kepada petunjuk yang baik dan molek ?
Justeru, satu proses yang paling penting dalam bab Istikharah ini adalah membersihkan hati terlebih dahulu. Jika anda sudah benar-benar melaksanakan proses ini, maka barulah anda boleh mengharap datangnya petunjuk yang benar kepada hati anda. Jika tidak, berkemungkinan petunjuk itu hanyalah bayangan daripada Syaitan.
Istisyarah atau mesyuarat
Manusia dianugerahkan akal untuk membuat pertimbangan. Justeru ia perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk berfikir, menganalisa dan mencari jalan. Islam menganjurkan bermesyuarat atau meminta pendapat orang berpengalaman sebagai kembar kepada proses Istikharah itu sendiri. Maknanya, kita tidak boleh seratus peratus bergantung kepada proses Istikharah semata-mata hinggakan ada yang menunggu-nunggu mimpi dan sebagainya.
Sebaliknya, dengan bermesyuarat pun kita akan mendapat kekuatan untuk membuat keputusan. Timbanglah dengan akal yang matang akan kesemua pilihan yang ada di depan mata, dan belajarlah untuk menjadi berani membuat keputusan. Itu kan sunnatullah dalam kehidupan.
Sumber : BaitulMuslim
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita, hatinya setipis kulit bawang. Diciptakan dengan penuh kelembutan, kasih sayang dan mudah mengalirkan air mata jika ada perkara yang memilukan terjadi padanya. Mereka juga mudah sekali mengambil keputusan singkat kerana terdorong dengan sifat emosinya yang ditonjolkan. Umumnya wanita lebih suka menangis kala diri dalam keadaan tertekan.
Wanita cenderung menggunakan perasaannya ketika menyelesaikan masalah yang dihadapinya, Berbeza keadaan dengan lelaki yang banyak menggunakan logik pada setiap masalah yang dihadapinya. Walau sekuat mana hati wanita, kebanyakan wanita tetap akan menitiskan air mata kerana tidak tertanggung oleh perasaan. Lelaki perlu tahu dan prihatin dalam menjaga hati wanita .
Kenapa wanita menangis?
Faktor Hormon
Ketika Pra menstruasi atau PMS, wanita sering bersikap yang tidak biasanya, seperti sering marah-marah, sukar mengatur emosi dan sangat sensitif dengan hal-hal yang boleh menyinggung perasaan. Maka wanita yang sedang mengalami pra menstruasi kadang kala tidak mampu mengawal tingkat emosinya dan seketika meledak dan membuat lelaki bingung menghadapi sikap tersebut.
Menarik simpati
Rasa bersalah atau malu sering kali diungkapkan oleh wanita dengan menangis, hal ini dilakukan semata-mata untuk menarik rasa simpati dan usaha untuk menutupi kesalahan dari lelaki agar tidak marah atau kecewa dengan dirinya. Memang hal ini boleh dikatakan tidak mencerminkan sikap kedewasaan di depan lelaki, namun sebahagian wanita menganggap cara ini cukup efektif untuk mendapatkan maaf atau sekadar menunjukkan rasa ingin dimanja.
Perasaan Emosi
Banyak faktor yang menyebabkan wanita merasa emosi seperti kecewa, sakit hati atau masalah lainnya yang melibatkan perasaan. Ketika perasaan emosi wanita sedang memuncak dan tidak menemukan tempat untuk mencurahkan isi hatinya, biasanya menangis menjadi solusi yang dipilih untuk melepaskan rasa sesak pada perasaannya.
Kehilangan
Ketika wanita merasa kehilangan sesuatu dalam dirinya mahupun dalam hidupnya mereka akan menangis. Hal ini tidak lepas daripada sifat wanita yang selalu menjaga apa pun yang dimilikinya. Wanita yang tegar akan menerima dengan ikhlas namun di sebalik keikhlasan itu kemudian dia menangis kadang-kadang tidak ada orang lain yang melihatnya. Sebahagian lagi ketika merasa kehilangan sesuatu, mereka akan meluahkan perasaannya dengan tangisan.
Dibohongi
Pada ketika wanita merasa dirinya telah dibohongi perasaan kecewa dan sedihlah yang timbul. Pada ketika situasi seperti ini wanita cenderung diam dan menyesali keadaan kenapa sampai dibohongi. Akhirnya kadangkala tanpa disedari dalam lamunannya wanita mengeluarkan air matanya.
Dilupakan
Wanita selalu ingin diperhatikan oleh pasangannya seperti mengingati tarikh ulang tahun contohnya. Ketika pasangannya lupa hari ulang tahunnya maka reaksi yang timbul ialah rasa kecewa dan sedih yang berhujung dengan air mata yang keluar. Wanita selalu ingin dikenang dan tidak mahu dilupakan, maka ketika dia dilupakan wanita jadi sedih dan menangis.
Terharu
Perasaan ini muncul ketika wanita melihat mahupun mendengar hal-hal yang menyentuh perasaan. Kadang perasaan sedih namun hal-hal yang membahagiakan pun mampu membuat wanita terharu. Ketika wanita merasakan sesuatu yang menyentuh perasaannya dan merasa terharu biasanya mereka menangis. Hanya ketika wanita terharu mereka menangis menitiskan air mata tanpa mengeluarkan suara.
Marah
Ketika marah, wanita berteriak atau berkata kasar sampai menangis. Keadaan itu kadang kala membuat orang di sekitarnya dan terutama pasangannya ikut terkena akibat dari amarahnya. Jika sudah dalam situasi demikian, biasanya wanita ingin sekali diperhatikan, didampingi dan didengarkan keluhannya oleh orang yang disayangi. Dengan cara itulah yang boleh menurunkan rasa marahnya kerana wanita merasa memiliki kekuatan dari orang-orang yang boleh mengerti situasinya.
Terkenang Sesuatu
Teringat kenangan masa silam sama ada yang menyenangkan atau menyedihkan tentunya pernah dialami setiap orang. Reaksinya juga berbeza-beza jika mengingat kenangan tersebut. Khususnya bagi wanita, jika teringat kenangan manis, biasanya dia akan tersenyum sambil mencuba kembali ke masa itu, tetapi jika teringat hal yang menyedihkan sikapnya pun boleh berubah secara tidak terduga, entah itu marah atau sedih, bergantung daripada situasi pada ketika itu.
Wanita boleh menitiskan air matanya atas beberapa alasan ini. Maka lelaki jagalah hati wanita agar tidak mudah tersentuh.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perselisihan faham dan pergaduhan sering berlaku dalam perhubungan cinta. Perkara ini menjadi lumrah bagi setiap pasangan yang sedang bercinta mahupun sudah berumah tangga. Ia juga mampu mematangkan lagi sesebuah hubungan dan membuatkan anda lebih sayang pada pasangan.
Namun, tidak ramai yang mengetahui seni meminta maaf atau memberi maaf paling terbaik dan berkesan. Trik ini mampu membuatkan pasangan anda sejuk hati dan boleh memaafkan anda dengan ikhlas. Meminta maaf bukan sahaja untuk hari raya sahaja ya! Ia juga perlu diamalkan sebagai rutin harian supaya hubungan yang dibina lebih utuh dan bahagia.
Jom kita lihat 6 trik paling bijak dan pastinya berkesan untuk memohon maaf buat pasangan anda!
1. BERANI MENGAKU KESALAHAN
Jangan sesekali malu untuk mengakui mengakui kesalahan yang anda lakukan. Rendahkan sedikit ego anda untuk meminta maaf terlebih dahulu. Tidak menjadi kesalahan dan satu dosa besar jika anda meminta maaf walaupun punca pergaduhan itu bukanlah berpunca daripada anda. Sesungguhnya, orang yang berani berdepan dengan kesilapan diri adalah ciri-ciri orang yang berjiwa besar.
2. JUJUR SAAT MENGHADAPI MASALAH
Anda harus bersikap terbuka. Jagan ragu-ragu untuk menjelaskan dasar masalah yang anda hadapi. Jika masalah itu adalah kesilapan, ia pasti difahami. Bawa berbincang bersama pasangan sekiranya anda mengalami masalah. Jangan pendam sebarang perasaan yang boleh menjejaskan hubungan anda berdua. Paling penting, kejujuran amat diperlukan dalam sesebuah hubungan. Kata kuncinya, sila beri penjelasan dan bukannya alasan.
3. ADA RASA MENYESAL
Nyatakan rasa kesal sejujur dan seikhlas hati anda pada pasangan. Ia pasti terbias dengan sikap yang anda tampilkan. Namun, jangan mengulagi lagi kesalahan yang anda lakukan pada pasangan. Kekesalah harus ditunjukkan dengan perbuatan. Bukan sekadar kata-kata yang keluar dari mulut sahaja. Syaratnya, kekesalan tersebut haruslah jujur dan seikhlas hati.
4. GEMBIRAKAN HATINYA
Selepas meminta maaf, lengkapi komunikasi dengan mengerjakan perkara yang dapat menyenangkan hatinya. Sekiranya perlu, berikan perhatian yang lebih daripada biasa. Contohnya, bawa si dia pergi bercuti atau buat kejutan dengan memberikan hadiah kesukaaanya. Mungkin ungkapan maaf itu sudah memadai buat pasangan anda, tapi tidak menjadi kesalahan jika anda sertakan dengan kejutan yang tidak dijangka. Pasti si dia lebih gembira dan rasa dihargai!
5. SEDIA UNTUK BERUBAH
Maaf dan penyesalan harus disusuli dengan perubahan sikap yang dijanjikan. Mengulangi sikap yang sama bermaksud anda mencabuli kemuliaan erti maaf-bermaafan. Ia akan membuatkan pasangan anda sukar untuk mempercayai anda lagi selepas itu. Berubahlah untuk menjadi insan yang lebih baik di mata pasangan anda dan orang sekeliling.
6. SEDIA UNTUK DIKRITIK
Jangan sesekali mengamalkan sikap anda selalu betul. Lapangkan hati menerima kritikan atau pandangan adalah salah satu cara meminimumkan angkara salah faham atau pertengkaran. Jangan cuba tegakkan benang yang basah jika kesalahan tersebut berpunca dari anda. Lapangkan dada untuk menerima kritikan dan nasihat dari pasangan. Sesungguhnya si dia ingin yang terbaik buat anda.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!