Lewat Datang Haid Sebab Corpus luteum Atau Hamil?

Share

Ini yang biasa berlaku pada golongan yang baru berkahwin, jika terlewat kedatangan haid selama beberapa minggu dan bila menggunakan UPT untuk mengesahkan kehamilan, keputusannya adalah negatif walaupun sudah dicuba beberapa kali.

Tetapi tanda-tanda seperti kehamilan dapat dilihat terjadi, apa yang perlu dilakukan?

Masalah lewat datang haid ini memang selalu berlaku biarpun seseorang wanita itu tidak hamil. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun ia lebih kerap berlaku kepada wanita yang secara sedar atau tidak mengharapkan untuk hamil.

Ada beberapa sebab kenapa haid boleh lambat dan anda mengalami simptom kehamilan.

Kesan psikologi. Apabila wanita mengharapkan untuk hamil, maka berlaku perubahan hormon di dalam tubuh wanita tersebut yang boleh melambatkan ovulasi dan mengganggu kitaran haid. Ini menyebabkan anda lewat datang haid.

Apabila anda lewat datang haid, minda anda akan mula mengharapkan atau beranggapan yang anda hamil. Apabila ini berlaku, maka tanda-tanda kehamilan itu akan muncul.

Satu lagi senario adalah di mana anda mungkin mengalami ovulasi seperti biasa, iaitu pada hari ke 14 kitaran haid, namun ‘corpus luteum’ (yang sepatutnya kecut dalam tempoh 14 hari berikutnya), masih tidak kecut atau hilang. Ini menyebabkan anda terlewat datang haid.

‘Corpus luteum’ ini pula menghasilkan hormon progesteron yang biasa dihasilkan sekiranya wanita tersebut hamil.

Oleh itu, paras hormon progesteron akan tinggi sedikit dari biasa. Apabila ini berlaku, maka wanita tersebut akan merasa kembung, bengkak buah dada dan sedikit loya; tanda-tanda yang hampir sama dengan tanda awal kehamilan.

Anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan. Doktor boleh memberikan ubat untuk memastikan haid anda datang, dan sekiranya terdapat sista atau ‘corpus luteum’ seperti yang dinyatakan, maka terdapat ubat tertentu yang boleh mengecutkan sista atau ‘corpus luteum’ tersebut.

Baca: Kitaran Haid Tidak Teratur

Published by
Ros Nana