Kalau boleh, semua orang nak cepat jodoh. Mahu ada pasangan dan hidup bahagia dengan insan tersayang membina mahligai namun jika masih hidup solo, itu bukan satu masalah. Raikan!
Tetapi bercakap tentang jodoh ini, tidak bermaksud anda hanya perlu menunggu sehingga jodoh itu datang sendiri tanpa berusaha. Kalau duduk saja pun, jodoh tak datang bergolek.
Jadi anda kena teruskan usaha untuk mendapatkan jodoh yang baik.
Tentu sahaja ada kepercayaan dan tradisi dari seluruh dunia untuk mendapatkan jodoh ini. Kedengaran seperti pelik dan lucu, tetapi petua melumurkan serbuk kulit kayu manis pada seluruh badan adalah salah satu tradisi unik masyarakat di Denmark untuk mendapatkan jodoh dengan cepat.
Sebenarnya amalan ini sudah lama dipraktikkan iaitu sejak abad ke-16 lagi dan masih diamalkan sehingga ke hari ini.
Serbuk kayu manis akan dimandikan kepada mana-mana individu yang sudah mencecah usia 25 tahun, tetapi masih belum berkahwin. Amalan ini dipanggil sebagai ‘pebersvend’ atau lebih dikenali sebagai ‘paper dude’.
Menurut salah seorang penduduk di sana, Oliver, aktiviti tersebut diamalkan bagi memperingati golongan pedagang rempah-ratus pada zaman dahulu. Pada ketika itu, pedagang kerap mengembara ke seluruh dunia untuk menjual hasil dagangan mereka.
Oleh sebab itu, golongan ini selalu terlupa tentang masa depan mereka terutamanya dalam mencari pasangan dan mendirikan rumah tangga. Jadi untuk mengelakkan golongan muda terlupa tentang perkara yang sama, amalan mandi serbuk kulit kayu manis dicipta.
Upacara mandi serbuk kayu manis kebiasaannya akan dilakukan ketika seseorang individu itu menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-25.
Amalan ini akan dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat yang akan membantu memandikan mereka yang diraikan.
Untuk rekod, selain daripada serbuk kayu manis, ada sesetengah amalan menggunakan bahan-bahan lain seperti bunga, lada hitam, kek dan sebagainya untuk memandikan seseorang.
Namun ini hanyalahsalah satu ikhtiar untuk seseorang bertemu jodoh. Tak perlu risau kerana soal jodoh, maut dan rezeki itu sudah tersusun cantik Allah aturkan. Tinggal usaha dan doa sahaja.
Sumber : Kosmo