Memang sebagai tuan rumah, tentu sekali apa yang diharapkan ialah kemeriahan pada hari besar itu. Tetapi ada ketikanya hendak terlalu meriah dan ‘happening’ majlis boleh jadi huru-hara.
Tambahan pula, pilihan seleksi hiburan perlu dibincangkan dengan pasangan dan keluarga. Bukan itu sahaja, lagu dan irama yang dipilih haruslah sesuai dengan tema majlis ataupun lagu tersebut merupakan pilihan anda berdua.
Selalunya pilihan yang dimainkan adalah lagu kesukaan kedua pasangan, jadi dapat bangkitkan cinta antara anda berdua.
Ikuti perkongsian dari Dr Syahr Musafir tentang pandangnya terhadap pemilihan lagu yang salah di majlis perkahwinan.
Singgah di sebuah majlis perkahwinan, macam biasa ada muzik dipasang memeriahkan majlis dan saya bertegur-sapa mengucap tahniah kepada pengantin dan keluarganya.
Saya bergerak untuk ambil makanan, satu lagu ‘berkumandang’ dengan lirik, lebih kurang, “Dibiarkan begitu saja terikat namun tak bertali la la la la, terputus jua… Tergantung sepiiiii..”
Saya duduk makan, sembang-sembang dengan orang sebelah. Tanya khabar, kerja mana, bla bla bla walaupun tak kenal.
Habis lagu ‘sepi’ tadi dan sebuah lagu suara penyanyi perempuan, saya bangun pergi buang pinggan kertas, cuci tangan, ambil gelas nak minum air – mula lagu baru, “Ku tertawa kau menangis, engkau tertawa aku menangis….” Ini lagu saya pernah dengar.
Saya duduk nak minum, lagu pun makin berkumandang hebat, “Ku ingin ku dibenci olehmu, agar kenangan manis, terus terpadam selamanya…”
Saya terus bangun dari kerusi, jumpa tuan rumah dan beredar. The End. Habis kisah saya.
Nak pasang muzik dalam majlis pernikahan, siapalah saya untuk bantah atau hentikan. Tetapi satu perkara seboleh-bolehnya, muzik atau lagu, biarlah berSESUAIan.
Majlis pernikahan adalah majlis menyambut kebahagiaan, kegembiraan dan penyatuan antara dua hati – dua orang pengantin disatukan dengan ikatan pernikahan dan perkahwinan, seharusnya diraikan dengan kegirangan.
Gembira!
Jadi, kenapa pula ada lagu putus cinta, kasih tak kesampaian, sedih kerana pasangan curang, nak padam sejarah kita, jiwa kacau tak berkesudahan?
Saya faham saja tak semua orang nak pasang lagu selawat ke, nasyid ke, bacaan al-Qur’an ke. Nak pasang lagu-lagu kontemporari pun, tiada silapnya jika tidak melampau.
Tetapi agak-agak jugalah. Dah namanya kahwin, pasanglah lagu berkonsep kebahagiaan pernikahan, seronoknya bercinta, yang bersesuaian.
Saya pernah dengar lagu “Anugerah Terindah” nyanyian Black untuk isteri, sedap didengar, sesuai dengan tema majlis kahwin.
Kalau betul nak lagu komersial sebegini, pilihlah yang sesuai dengan majlis kahwin. Boleh juga pasang lagu saya minat tajuknya “Bidadari Syurga” nyanyi Ustaz Jefri al Buchory dari Indonesia – sesuai dengan tema nikahnya. Eh, macam promoter pula saya ni.
Tak payahlah lagu muzik berputus cinta bagai pula masa dua orang pengantin tu baru nikah beberapa hari – lagu jiwa kacau begini macam mendoakan depa bercerai-berai pula?
Kalaulah lagu-lagu tu dipilih oleh si wedding planner, bolehlah pecat si wedding planner tu.
Tak layak jadi wedding planner tu, sekalipun pelamin yang dia design sangat cantik, murah, mampu menukar keadaan rumah tak cantik jadi pelamin angan-angan yang indah megah. Kerana lagu, takut nanti jadi Pelamin Anganku Musnah pula nanti. Hoho.
Sumber: Dr Syahr Musafir