Antara yang kerap dipaparkan sama ada dalam drama mahupun media sosial adalah kes seorang ibu menyuruh anaknya supaya menceraikan isteri masing-masing. Ramai yang memberikan pandangan tentang kewajaran tindakan si ibu. Tidak kurang juga yang meminta si suami supaya tidak tunduk dengan desakan ibunya itu. Perlukah seorang lelaki itu taat kepada perintah ibunya supaya menceraikan isterinya walaupun dia tidak mahu berbuat demikian? Apakah pandangan Islam tentang perkara ini?
Sekiranya seorang anak itu berkahwin dengan orang yang disukainya walaupun isterinya itu tidak solehah dan disuruh ibu bapanya untuk bercerai, tegas pendakwah berkenaan, hukumnya tidak berdosa jika anak tadi tidak mematuhi perintah berkenaan.
Dalam kitab Az-Zawajir menyatakan: “Dan atasnya juga andai anaknya berkahwin dengan seseorang perempuan yang dia sukai, lalu disuruh anaknya menceraikannya sekalipun isterinya ketiadaan solehah, lalu anak itu tidak taatkan suruhannya itu, nescaya tidaklah anak itu berdosa sebagaimana akan datang sebutnya pada kisah Abu Zarr RA.
“Akan tetapi, mengisyaratkan kepada yang afdal adalah mentaati suruhan bapanya itu kerana menjunjung perintah orang tua. Dan atasnyalah ditanggungkan hadis Umar RA menyuruh anaknya menceraikan isterinya, lalu ia enggan dan bertanyakan kepada Nabi Muhammad SAW dan baginda menyuruhnya menceraikan.”
Mudah kata, andai ibu bapa menyuruh anak lelakinya menceraikan isterinya dan isterinya itu memang seorang wanita yang jahat perangainya, maka hendaklah ditaati suruhan berkenaan, terang Ustaz Azhar Idrus.
“Adapun jika isterinya bukan perempuan yang jahat, maka suami tidak wajib taat suruhan ibu bapa untuk menceraikannya dan mintalah ‘keuzuran’ kepada ibu bapa dengan perkataan yang baik dan beradab.
“Ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan menantu hendaklah bersabar dan selesaikan dengan jalan yang baik kerana menyuruh cerai adalah memberatkan akan hidup anaknya,” nasihat beliau.
Bukan mudah untuk membuat keputusan andai kita berada dalam persimpangan ini. Mohonlah petunjuk ALLAH SWT.
Sumber: Instagram uiaoriginal