Bila ada masalah mak tak suka isteri atau dengan kata lain, pasangan kita itu tak termasuk golongan menantu pilihan, apa tindakan patut buat?
Ini contohnya yang berlaku dan ayat yang ada dalam kepada seorang suami yang berdepan dengan masalah ini:
“Kalau isteri saya tak suka ibu saya dan adik beradik saya, perlu tak saya menceraikan isteri saya?”
Mak Tak Suka Isteri
Kenapa asal isteri tak suka ibu kita, adik beradik kita, dia pula yang kena tanggung akibatnya? Dia pula yang kena mula hidup sendiri, buat pengorbanan sehingga perlu ditinggalkan, sedangkan dia dengan kita, tak ada apa-apa masalah pun.
Tapi kita kena ceraikan dia sebab ibu kita, adik beradik kita. Pernah dengar tak?
“Tak semua mentua baik, tak semua menantu jahat”
Tak semestinya kalau isteri kita tak boleh masuk dengan keluarga kita, maka dia jahat Tak kan apa yang keluarga kita komplen terhadap isteri kita, semuanya betul?
Tak nak dengar daripada pihak isteri pula tentang keluarga kita atau kita sendiri tak boleh terima isteri komplen tentang keluarga kita?
Orang tak akan tak suka saja-saja, orang tak akan membenci macam itu saja, orang tak akan terasa hati kalau tak ada yang berbunyi. Pasti dan mesti ada sesuatu diantara mereka, boleh jadi ada kata-kata yang menyakitkan hati daripada keluarga kita terhadap isteri kita.
Boleh jadi dia diperli, disindir dibelakang kita. Boleh jadi dia tidak dilayan dengan sewajarnya oleh ahli keluarga kita.
Jangan Menilai Dengan Mudah
Kita bukan tahu semua, bukan dengar semua, bukan nampak semua. Keluarga kita akan nampak berbeza depan kita. Jadi, mindset kita tertumpu pada isteri kita sahaja sebab bagi kita, keluarga kita itu ok, baik yang tak ok dan tak baik adalah isteri, hanyalah isteri.
Banyak suami gagal menilai situasi ini bagi suami sebegini, kalau isteri tak suka keluarganya, maka isteri itu patut ditinggalkan, diceraikan tanpa mengambil kira pendapat dan pandangan isteri serta apa yang isteri lalui dengan keluarga kita.
Kita tak nak duduk tengah-tengah, jadi hakim untuk berfikir guna akal dengan bijaksana. Kalau keluarga salah, kita kata keluarga kita yang salah. Kalau isteri salah, kita kata isteri kita yang salah. Tapi keputusan itu dibuat setelah diselidik, diperiksa melalui cerita dari kedua-dua belah pihak.
Kita kebiasaannya akan BERAT SEBELAH, ingatlah, keluarga kita tak selalunya betul dan isteri tak selamanya salah. Kebijaksaan kita diperlukan untuk mereka tidak bersengketa dan bermasam muka.
Kredit: Saitunah
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pertama Kali Raya Di Rumah Mentua? Ini Adab-Adab Yang Anda Perlu Jaga
Kepada pasangan yang baru berkahwin dan pertama kali berhari raya di rumah mertua, pasti teruja untuk mengalami suasana baru dengan keluarga pasangan. Ketika itu pelbagai perasaan dan tanda tanya bermain di fikiran.
Maklumlah jika selama ini berhari raya dengan keluarga sendiri, pada kali ini di tempat orang lain akan memberi suatu pengalaman baru dan secara tidak langsung menimba pengalaman mempelajari budaya dan adat istiadat pasangan.
Walaupun tidak dinafikan perasaan sedih tetap ada kerana tidak berhari raya dengan keluarga sendiri dan sanak saudara di kampung halaman, namun saat pertama berhari raya dengan keluarga mertua adalah momen penting dalam sejarah perkahwinan. Lelaki ini kongsi, adab beraya di rumah mertua.
ADAB BERAYA DI RUMAH MEnTUA
Setiap tahun, pasti banyak keluarga yang akan beraya di kampung. Sama ada di kampung suami atau isteri, sudah semestinya salah seorang akan menjadi menantu.
Perkara ini nampak mudah. Takkan beraya pun nak kena ada garis panduan? Untuk orang yang biasa, betul. Tak perlu baca pun mereka sudah pandai bawa diri di rumah mertua apabila beraya di sana.
Tetapi, penulisan ini saya tujukan kepada kita semua yang masih keliru bagaimana nak bawa diri atau mainkan peranan di rumah mertua pada musim perayaan.
Penulisan ini ditujukan untuk pihak suami dan pihak isteri. Ya, jangan kita ingat suami sahaja yang perlu ilmu ini, ramai juga para isteri yang masih terlepas pandang tanggungjawab mereka semasa di rumah mertua.
Adab Semasa Beraya di Rumah Mentua
1. Bantu mentua di dapur
Nampak seperti mudah, tapi ramai yang tak endahkan. Ramai yang mengelat. Tak kurang juga yang duduk berkurung dalam bilik. Ada juga yang buat-buat sibuk jaga anak walaupun anak tu dah besar dan tak perlu penjagaan 24 jam pun.
Yang mana tak begitu pandai masak, jangan jadikan tu sebagai alasan. Proses memasak tu bukan hanya campak benda dalam kuali je. Penyediaan bahan-bahan masakan tu pun penting.
Potong bawang, blender cili, potong ayam, daging, basuh pinggan, siapkan tempat makan, tolong kacau lauk dan macam-macam lagi boleh dibuat untuk membantu. Pokok pangkalnya nak dengan tak nak je.
Jadikan diri tu berguna. Percayalah yang banyak mata memerhati setiap gerak geri anda. Nanti tak pasal-pasal jadi bahan umpatan.
2. Mengemas
Perkara paling utama ialah mengemas tempat tidur selepas bangkit dari tidur. Di kampung, selalunya akan ramai tidur di ruang tamu. Jadi, selepas bangun tidur tu, kemaslah tempat tidur korang sekeluarga. Takkan nak tunggu Tuan Rumah kemaskan kot? Tak manis la macam tu. Nampak rumah bersepah, tolong la kemas sekali, atau tolong sapu ke. Kita balik kampung ni umpama kita menumpang rumah orang. Orang berbudi, kita berbahasa la. Tak gitu?
3. Tolong jagakan anak
Para suami, bila isteri sedang membantu mertua atau ipar mereka di dapur, tolong la jagakan anak tu. Jangan la sibuk sangat dengan urusan lain sehingga mengganggu isteri. Bagi ruang untuk dia jalankan peranan dia.
Memang la ada ketika perlu panggil mamanya untuk menyusu, tapi kalau bab salinkan pampers dan basuh kencing dan berak anak tu, rasanya sepatutnya takde masalah kot kalau nak buat sendiri?
4. Tolong bawa keperluan asas sendiri
Berus gigi, ubat gigi, sabun, syampu, pencukur dan lain-lain tu tolong bawa sendiri punya. Takkan la nak habiskan semua yang tuan rumah punya? Kalau satu keluarga tak mengapalah. Tapi kalau dah yang baliknya 4-5 keluarga? Botak kepala mertua nak topup tu semua.
Benda yang selalu orang tak terfikir nak bawa ialah extension plug. Benda ni sangat-sangat penting. Nak pulak kalau satu keluarga tu ada 4-5 telefon. Sebut pasal telefon, charger pun bawa la sekali. Orang lain nak cas telefon diorang sendiri. Kan dah menyusahkan je kalau asyik nak pinjam charger orang lain?
5. Bermesralah dengan mertua dan ipar
Masa inilah masa yang patut kita manfaatkan untuk merapatkan silaturrahim. Bukan selalu jumpa pun. Tanyalah khabar, berboraklah, cerita la pasal apa pun. Asalkan jangan terlebih-lebih cerita pasal politik. Memang akan menjadi satu perkara yang teramat bosan. Walaupun satu keluarga tu sokong satu pihak sahaja, tapi pasti akan penuh dengan kecaman dan lain-lain sedangkan masa itu sepatutnya digunakan untuk cerita pasal keluarga, bukannya ahli politik itu ini.
6. Tinggalkan kerja di rumah
Kepada yang kaki bisnes tu, tinggalkanlah kerja di rumah. Jangan datang rumah mertua, asyik sibuk dengan kerja. Memanjang bergayut, telefon orang itu, orang ini. Cakap pulak kuat-kuat. Semabang kencang semacam. Orang lain pulak yang jadi tak selesa dengan kita.
7. Berhenti membanding-banding
Tolong la, berhentilah membanding-banding sesama keluarga. Nak muntah rasanya dengar anak orang tu degree sini, anak orang ni diploma sana, anak orang ni Doktor sini, anak orang tu Peguam kat sana.
Stop it ! Berhenti riak, berhenti berbangga-bangga, menunjuk-nunjuk dan berlagak. Tak semua orang mampu, tak semua orang ditakdirkan berjaya dan tak semestinya kita perlu menilai orang dari segi tahap pembelajaran, pekerjaan dan duit semata-mata. Hargailah orang di hadapan kita tu sebagai saudara kita. Susah sangat ke?
8. Tolong jaga aurat
Aurat sendiri wajib jaga. Wajib bertudung dan pakai baju lengan panjang. Tak boleh la pakai baju lengan pendek je. Lengan tu aurat jugak. Banyak sangat mata bukan mahram yang nampak.
Bapa dan mak saudara sebelah pasangan bukan mahram ye. Tak perlu salam cium tangan. Sepupu bukan mahram, tak perlu laga-laga pipi la. Buat dosa je. Orang tua yang berlainan jantina pun bukan mahram kecuali mak, bapa saudara atau nenek dan datuk sendiri. Mertua tu sendiri memang mahram. Rasanya tak perlu bagitau.
Cara nak elak mudah je, senyum dan letak tangan kat dada. Yang penting tu senyum, supaya orang tu tahu yang anda hormat dia cuma anda tak boleh salam je.
Satu lagi benda yang sangat-sangat penting tapi orang tak endahkan atau pandang ringan. Aurat anak kecil. Terlalu ramai orang yang salin pampers anak depan orang lain. Walaupun baby, itu tidak memberi lesen untuk anda pamerkan kemaluan anak kepada orang lain. Lagipun, kita di zaman yang tenat sekarang, banyak kes pedofilia yang bernafsu terhadap budak kecil. Bayangkanlah, anda jamu nafsu dia dengan anak sendiri macam tu je.
Situasi mandi juga perlu diambil perhatian. Jangan la pergi berkemban depan ipar duai, mertua, sanak saudara. Perempuan satu hal, lelaki pun sama. Selamba pakai seluar pendek, nampak pusat depan isteri abang atau adik. Tutup la sikit. Anak-anak lepas mandi pun, janganlah dibiarkan mereka berbogel dari bilik air sampai ke bilik. Memang tak patut macam tu.
9. Membuli mertua
Ada yang dah hantar anak awal-awal kerana cuti raya kali ini didahulukan dengan cuti sekolah. Kononnya untuk bagi anak bergembira main dengan sepupu-sepapat. Lepas hantar anak, mak ayahnya pun balik. Tinggalkan anak dengan baju seluar je. Yang lain tak peduli pun. Anak nanti nak makan ape, anak nanti nak mandi, nak berak. Semua siapa yang nak buat? Dah sah-sah la mertua yang kena buatkan semua. Ingat mertua dah takde keje lain nak basuh berak cucu je setiap hari? Fikirlah sikit. Mertua pun kebanyakannya dah tua. Bukan tugas diorang nak jaga anak kita.
Anak tu pulak kalau yang dah besar darjah 1 ke atas kira ok la jugak, reti mandi berak sendiri. Ini dengan anak umur 3 – 4 tahun pun ditinggalkan macam tu je. Dah jadi keje mertua nak masakkan anak-anak yang tak puasa ni, bagi makan pagi, tengahari, malam. Bagus sangat jadikan mertua sebagai orang gaji. Kalau bayar gaji betul pun belum tentu diorang larat nak buat. Memang pentingkan diri betul. Fikir sikit, kita nak seronok berjalan pergi beli belah baju raya, anak ditinggalkan macam tu je.
10. Jangan memalukan pasangan
Manusia tak lepas dari perbalahan atau salah faham. Bila terjadinya kat rumah mertua, tolong la simpan masalah tu. Jangan ditunjuk depan orang ramai. Kalau malam tadi bergaduh dengan suami kat dalam bilik, jangan esoknya dok hempas itu ini depan suami. Kalau tadinya bergaduh dengan isteri, janganlah marah dia tengking dia depan mak ayah atau adik beradik dia. Jagalah air muka pasangan. Diorang mesti malu kalau dibuat begitu.
Bila bersama dengan keluarga lain, amat penting untuk jaga air muka atau aib keluarga dan pasangan. Jangan sekali-kali buat hal dalam rumah orang. Itu tandanya anda tak hormat kat pasangan dan tak hormat kat mertua yang juga tuan rumah.
11. Jaga harta benda mertua
Tolong awasi anak-anak anda. Janganlah merosakkan harta benda mertua. Memang kalau terjadi apa-apa mereka akan cakap, “tidak apa” atau “biasalah budak-budak”, tapi siapa yang tak marah kalau barang berharga kita orang rosakkan?
Lepas tu, nak guna atau nak pakai apa-apa milik mertua tolong la minta kebenaran dulu. Jangan gatal tangan guna set pinggan Corell atau set Tupperware mertua dengan selamba je. Kita tak tahu benda tu dibeli untuk pakai je atau perhiasan dan koleksi. Jadi, jangan memandai-mandai sebelum meminta kebenaran.
12. Basuh, sidai dan lipat baju sendiri
Yang mana balik beberapa hari tu dah tentu ada yang basuh baju sendiri. Jangan la dilonggok je mengharapkan mertua yang basuhkan. Dah la orang tua tu tolong basuh, dia jugak yang kena sidai dan lipat. Kalau balik nak menyusahkan, baik jangan balik. Tak kesian langsung kat mertua.
Paling penting, bawa plastik untuk buang pampers anak. Jangan selamba je buang tepi toilet atau dalam tong sampah biasa. Bau tu menyengat, bila campur jumlah 5 6 orang budak, memang busuk. Bila dah penuh pulak, rajin-rajinkanlah diri buang. Kesian mertua nak kena buangkan pulak taik anak kita.
13. Peka dengan barang dapur mertua
Jangan balik tangan kosong. Bawa sekali barang dapur atau beli kat sana. Tolong bantu dan topupkan barang dapur tu. Bukan murah-murah bahan mentah sekarang. Bayangkan memasak untuk 5 keluarga, ayam je dah berapa ekor habis sekali masak tu. Kalau duduknya pun 3, 4 hari dah berapa banyak habis tu?
Konsepnya mudah je. Permudahkan urusan mereka, jangan menyusahkan. Tak semua orang mampu untuk tanggung makan minum 5 keluarga sekaligus. Mertua di kampung bukannya kerja gaji ribu-ribu. Ada yang menoreh lepas sahur lagi. Kita sedap-sedapnya perabihkan duit diorang.
Buka mata, tanya mertua atau tanya isteri apa yang tak cukup. Lepas tu pergi beli. Tak perlu tunggu sampai mertua sendiri terpaksa pergi sendiri.
14. Jangan bangun lambat
Kat kampung tu ramai orang. Melainkan ada bilik khas sendiri, kalau tidur kat ruang tamu tu, bangun la awal. Jangan dah pukul 10, dah terang- benderang, budak-budak dah berlari sana sini, orang pun dah mula menyapu rumah semua, masih lagi terbongkang kat tengah rumah tu. Karang dengan yang tidur tu sekali orang sapu, baru ada akal.
15. Bonus. Khas untuk anak-anak mertua tu (ipar)
Jangan ambil kesempatan, bila ipar duai dah balik, jangan nak rasa macam tuan rumah sangat. Tak boleh la semua nak mengharapkan diorang je buat. Anda sebagai anak pun kena sama bantu dan list ini juga untuk anda baca dan amalkan.
16. Adab melayan baby
Bila berkumpul tu selalunya akan ada ipar atau biras yang baru melahirkan. Jadi, ada la baby comel yang ramai geram nak pegang, dukung, cium. Kena tahu yang baby ni antibodi dia tak kuat mana. Pakcik yang baru lepas merokok tu tak payah la nak pegang cium baby. Yang mak saudara pulak, kalau baru lepas potong ayam ke, sapu rumah ke, tak perlu la nak gomol baby orang. Habis semua kekotoran, bakteria tu kena kat baby. Bahaya.
Lepas tu, kalau anak tu baru umur 6, 10 tahun, tak perlu la bagi diorang pegang baby. Keselamatan baby tu sangat penting. Kalau jatuh sapa yang susah? Nak marah budak tu ke mak budak?
17. Bil elektrik dan bil air
Kipas on 24 jam. Aircond kalau ada pun on selalu. Tv jarang tutup. Lampu pun sentiasa banyak yang bukak. Belum masuk lampu lip lap lagi. Air pun banyak guna. Berbelas, berpuluh orang mandi setiap pagi.
Sebelum pulang tu, hulurlah sedikit buat bantu bayar bil elektrik dan air. Lega sikit hati mertua. Takde la mereka rasa terbeban dengan kehadiran kita sekeluarga.
*****
Sebagai menantu ni, walaupun anda dah berkahwin dengan suami atau isteri, tak semestinya anda tak perlu lagi ambil hati mertua. Mertua ni sama sahaja dengan mak ayah kita, layan mereka dengan sebaiknya. Mereka yang melahirkan pasangan kita. Itu jasa yang kita takkan mampu balas sepenuhnya. Tapi kita boleh berusaha untuk meringankan beban mereka.
Semoga dengan penulisan ini dapat membuka mata kita semua. Janganlah terlepas pandang lagi.
Tolong SHARE supaya satu Malaysia lebih peka tentang adab beraya di rumah mertua.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nak Sayur & Bahan Basah Kekal Segar, Cuba Simpan Ikut Cara Ini
Sejak pelaksanaan PKP, kita digalakkan untuk membeli barang keperluan rumah yang boleh digunakan dalam satu tempoh yang agak lama. Keadaan ini bertujuan untuk memastikan ketua keluarga tidak keluar rumah secara kerap bagi mengelakkan jangkitan wabak Covid-19 yang menular di negara kita.
Untuk mengelakkan pembaziran, anda perlu tahu cara yang berkesan untuk menyimpan bahan dapur agar tahan lama dan kekal segar. Ia termasuklah barang basah seperti daging, ayam, ikan dan sayur-sayuran.
Seorang pengguna Twitter @anasulianna telah berkongsi cara penyimpanan barang basah yang betul supaya tak cepat rosak. Setakat artikel ini ditulis, perkongsian ini telah meraih 9.9K retweet. Ayuh kita baca perkongsian wanita ini.
Balik beli groceries, rehat kejap, pastu bukak lagu duduk dapur sorang-sorang cuci ayam, cuci ikan, packing sayur sayur. My kind of me time.
2-3 jam penat berbaloi sebab urusan masak jadi mudah, duit pun jimat sebab cara simpan betul tak cepat rosak.
Ayam ana pack 2-3 ketul satu pack untuk sekali masak. Sebelum ni buat 4 ketul tapi kalini size ayam besar. Makan jimat jimat sikit pasni. So kecikkan size. Ana dengan suami je makan laukz Anakanak biasa makan isi-isi ayam buat sup,pasta or telur. Sekali beli 3 ekor dapat 13 packs.
- Sayur berdaun tak basuh terus potong-potong. Lapik tisu dapur dalam ziplock bag, masuk sayur-sayur.
- Cili-cili basuh, buang tangkai, lapik tisu dapur, letak cili & bawang putih.
- Halia Lengkuas Cekur Carrot simpan dalam bekas/balang isi air.
- Daun-daun herbs: Daun limau, daun kari, daun sup, daun ketumbar, daun kunyit semua dalam ziplock/bekas simpan dalam freezer
- Labu tu ana simpan terus dalam ziplock dah seminggu masih tak berubah rupa.
- Sayur-sayur belakang labu tu semua dah seminggu tapi masih elok cantik.
- Kobis potong size kecik sikit untuk sekali masak pastu wrap pakai plastik wrap. Ana tak buat sbb plastik wrap habis pulekkk.
- Tomato simpan tempat terbuka lapik tisu dapur.
- Timun jepun ana try simpan dlm ziplock sekali sayur-sayur tu minggu lepas. Masih cantik sampai now.
- Bawang2 kentang dalam bakul ajaaa. Biar suhu bilik and kering.
Label Sebab Senang Nak Cari Bahan Masakan
1. Because to some woman this is their self enjoyment to write & label their stocks.
2. Easier for me & husband to pick from the fridge. Sebab bila dah masuk dlm drawer fridge semua nampak sama Smiling face with open mouth and cold sweat.
3. Jimat masa tak perlu belek what you gonna cook that day. Plan menu, pick, and cook.
Sumber: Twitter @anasulianna
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Siapa Patut Sediakan Lebih Duit Raya, Suami Atau Isteri?
Tidak dinafikan bahawa Hari Raya mempunyai rohnya yang tersendiri bagi masyarakat beragama Islam. Di antara roh paling utama bagi perayaan ini adalah menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah: “Menzahirkan perasaan bergembira pada hari-hari perayaan adalah di antara syiar Islam”. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/514).
Di dalam nas-nas syarak terdapat beberapa dalil yang menunjukkan kepada hal ini. Di antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:
دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثٍ فَاضْطَجَعَ عَلَى الْفِرَاشِ وَحَوَّلَ وَجْهَهُ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ فَانْتَهَرَنِي وَقَالَ مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَقْبَلَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ” دَعْهُمَا فَلَمَّا غَفَلَ غَمَزْتُهُمَا فَخَرَجَتَا
Maksudnya: Rasulullah S.A.W masuk ke dalam rumahku dan di sisiku terdapat dua orang perempuan sedang menyanyi dengan nyanyian peperangan bu’ath. Lalu baginda S.A.W berbaring di atas katil dan memalingkan wajahnya. Kemudian Abu Bakr Al-Siddiq R.A masuk lalu memarahiku. Dia berkata: Seruling syaitan di sisi Rasulullah S.A.W ? Maka Rasulullah S.A.W pun menghadap ke arah Abu Bakar lalu berkata: Biarkanlah keduanya. Apabila Rasulullah tidak perasan maka aku pun memberi isyarat kepada kedua perempuan tersebut lalu keduanya pun keluar.
Riwayat Muslim (892)
Imam Al-Nawawi Rahimahullah meletakkan hadis dengan lafaz yang hampir sama dengan hadis di atas, di bawah tajuk ; Bab Pada Menyatakan Kelonggaran Untuk Bermain Permainan Yang Tidak Ada Maksiat Padanya Pada Hari-Hari Perayaan.
Ini kerana, peristiwa tersebut berlaku pada hari raya yang merupakan hari kegembiraan dan keseronokan. Kerana itulah Rasulullah S.A.W mengarahkan kepada Abu Bakr Al-Siddiq R.A supaya membiarkan kedua perempuan tersebut untuk menyanyi pada hari tersebut. Kesimpulan fekah yang boleh kita ambil adalah, selama mana sesuatu perbuatan yang dapat menzahirkan kegembiraan pada hari perayaan itu tidak bercanggah dengan syariat, selain tidak terdapat dosa padanya maka perkara ini adalah dibolehkan.
Budaya Memberi Duit Raya
Kami berpandangan, konsep memberi duit raya kepada ibubapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam. Bahkan perbuatan sedekah kepada ibubapa termasuk di antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibubapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah itu sendiri.
Demikianlah juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ
Maksudnya : Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.
Riwayat Al-Bukhari (56)
Isu Tasyabbuh
Berkaitan dengan isu tasyabbuh (penyerupaan) di antara duit raya dengan ang pow yang diberikan semasa perayaan kaum Cina, kami melihat bahawa tidak terdapat sebarang unsur tasyabbuh di antara keduanya. Ini kerana pemberian duit raya ada asasnya di sisi Islam iaitu termasuk dalam kategori sedekah yang sunat hukumnya. Justeru, tidak timbul isu tasyabbuh di sini. Adapun berkenaan penggunaan sampul raya, maka ia kembali kepada hukum asal sesuatu sebagaimana yang dinyatakan dalam kaedah fekah ;
الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَة
Maksudnya: Hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus.
Kesimpulan
Setelah kami mengemukakan beberapa nas dan hujahan berkaitan isu ini, maka kami menyatakan bahawa pemberian duit raya kepada kaum keluarga, serta jiran tetangga yang hadir berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah HARUS hukumnya. Ini bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim, serta budaya kunjung mengunjung.
Begitu juga kami cadangkan beberapa dhawabit seperti berikut:
- Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.
- Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit. Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.
- Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.
Akhir kalam, semoga penulisan ini memberikan pencerahan secukupnya kepada sesiapa yang membacanya. Ameen.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI