Men-Ila Isteri, Apa Hukumnya?

Share

Jika pasangan suami isteri tidak bersetubuh selama 5 bulan dan suami tidak pernah bersumpah untuk meng-ila’  isteri, adakah situasi tidak bersetubuh selama 5 bulan itu tetap dihukum sebagai ila’? Perlukah si suami membayar kafarah ila’ jika dia menyetubuhi isteri selepas 5 bulan?

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Ila’ (الإيلاء) adalah termasuk dalam perkara-perkara yang menyerupai talak dalam perhubungan suami isteri. Dari segi bahasa, ila’ dimaksudkan sebagai sumpah. Manakala dari segi istilah pula bermaksud suami yang mempunyai hak bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya tanpa menyebut tempoh tertentu atau dalam tempoh yang melebihi empat bulan. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)

Dalil hukum bagi ila’ itu sendiri telah ada dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

لِّلَّذِينَ يُؤْلُونَ مِن نِّسَائِهِمْ تَرَبُّصُ أَرْبَعَةِ أَشْهُرٍ ۖ فَإِن فَاءُوا فَإِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٢٢٦﴾ وَإِنْ عَزَمُوا الطَّلَاقَ فَإِنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Kepada orang-orang yang meng-ila’ isterinya, diberi tangguh empat bulan (lamanya). Kemudian, jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan jika mereka berazam (bertetap hati untuk) talaq, maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Baqarah : 226-227)

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Ali R.A, katanya:

إِذَا آلَى الرَّجُلُ مِنِ امْرَأَتِهِ لَمْ يَقَعْ عَلَيْهِ طَلاَقٌ وَإِنْ مَضَتِ الأَرْبَعَةُ الأَشْهُرِ حَتَّى يُوقَفَ فَإِمَّا أَنْ يُطَلِّقَ وَإِمَّا أَنْ يَفِيءَ

Maksudnya“Apabila suami melakukan ila’ kepada isterinya, tidak jatuh walaupun telah berlalu empat bulam sehinggalah suami membuat keputusan sama ada menceraikannya ataupun menggauli isterinya semula.”

Riwayat Malik dalam kitabnya al-Muwatta’ (2/556)

Sememangnya sumpah untuk meng-ila’ para isteri adalah termasuk dalam dosa-dosa besar yang perlu dijauhi oleh semua suami. Sekiranya si suami telah bersumpah ila’ terhadap isterinya, suami itu perlu membayar kafarah bagi menebus semula sumpah yang telah dilafazkannya. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT berikut:

فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ

Maksudnya“Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah.”

(Surah al-Maidah : 89)

Berbalik kepada persoalan di atas, ila’ tidak jatuh kepada isteri. Ini kerana syarat untuk jatuh ila’ itu sendiri adalah apabila suami melafazkan lafaz  ila’ kepada isterinya, dimana tidak berlaku dalam situasi di atas. Namun begitu si suami dikira berdosa sekiranya dengan sengaja tidak menyetubuhi isterinya tanpa sebab syar’i yang membenarkan kepada perbuatan tersebut.  Suami juga tidak perlu untuk membayar kafarah ila’ kerana hukum ila’ tidak jatuh ke atas isterinya.

 

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada persoalan di atas, kami berpandangan bahawa tidak jatuh hukum  ila’ ke atas isteri dalam situasi di atas. Hal ini kerana, ila’ tidak berlaku semata-mata kerana ketiadaan hubungan seksual suami isteri selama tempoh tertentu. Namun, lafaz  ila’ perlu dilafazkan terlebih dahulu oleh suami bagi menjatuhkan hukum ila’ ke atas isteri.

Dalam isu nafkah pula, si suami wajib untuk memberi nafkah zahir yang merangkumi makan, minum, pakaian dan selainnya yang diperlukan oleh isteri, manakala dari sudut nafkah batin, seorang suami perlu untuk melayan isterinya dengan baik dari segi percakapan, pergaulan yang baik serta melakukan hubungan suami isteri sebagaimana yang telah di syarakkan oleh agama Islam itu sendiri. Sekiranya, suami tidak memberi nafkah zahir dan batin itu dengan sengaja, maka suami tersebut adalah berdosa.

Kami akhiri jawapan ini dengan satu kisah yang berlaku antara Saidina Umar R.A yang bertanyakan kepada Hafsah sejauh mana wanita boleh bersabar dengan suaminya lantas dijawab empat bulan.

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma berkata:

خَرَجَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ مِنَ اللَّيْلِ فَسَمِعَ امْرَأَةً تَقُولُ : تَطَاوَلَ هَذَا اللَّيْلُ وَاسْوَدَّ جَانِبُهُ وَأَرَّقَنِى أَنْ لاَ حَبِيبٌ أُلاَعِبُهُ فَوَاللَّهِ لَوْلاَ اللَّهُ إِنِّى أُرَاقِبُهُ تَحَرَّكَ مِنْ هَذَا السَّرِيرِ جَوَانِبُهُ فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ لِحَفْصَةَ بِنْتِ عُمَرَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُمَا : كَمْ أَكْثَرُ مَا تَصْبِرُ الْمَرْأَةُ عَنْ زَوْجِهَا؟ فَقَالَتْ : سِتَّةَ أَوْ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ.

فَقَالَ عُمَرُ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ : لاَ أَحْبِسُ الْجَيْشَ أَكْثَرَ مِنْ هَذَا.

Maksudnya: “Umar ibn al-Khattab telah keluar pada suatu malam (untuk melihat keadaan rakyatnya). Tiba-tiba dia terdengar seorang perempuan mengeluh: “Rasa panjang malam ini,dan gelaplah di sisinya tetapi aku tidak dapat tidur kerana tiada kekasih untuk bersamanya. Demi Allah, kalaulah bukan kerana Allah nescaya aku akan melakukan sesuatu sehingga bergeraklah tiang katil ini.” Kemudian Umar R.A telah bertanya kepada Hafsah, anaknya sendiri: “Perempuan boleh bersabar terhadap suaminya berapa lama?” Jawabnya: “Enam bulan atau empat bulan.” Lantas berkatalah Umar R.A: “Aku tidak akan menyekat tentera lebih daripada ini.”

Riwayat al-Baihaqi (18307)

Published by
Kim