Bagi menangani masalah tersebut, pastikan anda menyiapkan diri
dengan beberapa tips yang diberikan. Persediaan diri sebenarnya
bukan hanya bermula selepas sah bergelar isteri, seeloknya sedari
awal pertunangan lagi. Kalau kena gaya dan caranya, tidak mustahil
anda akan jadi menantu kesayangan.

1. Sebaik sahaja anda sah sebagai tunangannya, mulakan berkenal
kenalan dengan keluarga mertua. Andai tinggal berjauhan, hubungilah
mereka melalui telefon sekadar untuk bertanya khabar. Jika duduk berhampiran, cuba sesekali luangkan waktu berkunjung ke rumahnya.

2. Ketika berkunjung, bawalah buah tangan bersama.
Sekurang-kurangnya dengan membawa kuih ataupun buah-buahan. Tetapi
lebih elok jika anda membawa sesuatu yang boleh dibuat cenderahati.
Misalnya dengan memberikan sepasang kain sebagai tanda kenangan.

3. Kenali sikap sebenar mertua anda. Tanya kepada pasangan anda, apa
yang disukai dan dibenci oleh mertua. Jika anda tahu apa yang disukai dan
dibenci, secara tidak langsung ini boleh memberikan persediaan
ketika sudah menjadi ahli keluarganya kelak.

IKLAN

4. Setelah berkahwin, jangan sesekali anda memarahi anaknya
dihadapan mereka. Keadaan ini memberikan gambaran sebenar sikap anda
terhadap anak mereka. Situasi ini mungkin akan menimbulkan kebencian dihati mertua.

5. Setiap kali bertandang, cuba mengambil hatinya dengan bercerita
tentang pengalaman lucu yang boleh menghiburkan hatinya. Jangan lupa
bercerita dengan sepenuh perhatian agar dia tidak rasa jemu. Ingat,
jangan pula anda bercerita sesuatu yang dianggap bodoh dan boleh memalukan diri sendiri.

6. Berkongsi minat dengannya. Kalau dia gemar bercucuk tanam, anda
juga harus belajar bercucuk tanam. Kalau dia gemar memasak, tidak
salah anda cuba belajar memasak daripadanya. Tunjukkan yang diri
anda betul-betul berminat dengan apa yang disukai. Bagaimanapun anda
dinasihatkan jangan belajar sambil lewa kerana mungkin dia beranggapan anda tidak serius.

7. Apabila tiba hari-hari penting seperti ketibaan Hari Ibu, Ulang
tahun Perkahwinan, Hari Bapa dan Hari Lahir, jangan lupa menelefon
mengucapkan sesuatu. Lebih baik jika anda berkunjung ke rumahnya dengan membawa hadiah. Atau anda juga boleh membuat kejutan dengan mengadakan majlis untuk mereka.

8. Paling penting, jaga pertuturan anda. Jika sebelum ini anda
seorang yang 'mulut lepas', anda dinasihatkan agar menjaga pertuturan anda.
Kata orang, kerana mulut, badan binasa. Jadi berhati-hati ketika
menuturkan sesuatu di hadapan mereka. Jangan sampai menyinggung
perasaan keluarga mertua.

9. Setelah selesai majlis kenduri, pastikan anda ringan tulang
membantu mengemaskan apa yang patut. Terutamanya jika kenduri
dilakukan dengan memasak sendiri. Pasti banyak barang yang patut
dibasuh seperti periuk,kuali, gelas atau pinggan mangkuk. Walaupun
anda keletihan,tetapi cuba sibukkan diri dengan menolong apa yang patut. Tetapi jika majlis dilakukan secara katering, cubalah mengemas apa yang patut di dalam atau luar rumah.

10. Akhir sekali, cuba mengasihani keluarga mertua seperti anda
menyayangi keluarga sendiri. Anggaplah mereka sebahagian daripada darah daging sendiri supaya hubungan akan bertambah mesra dan berkekalan hingga ke akhir hayat.Walaupun jika ditakdirkan anda tiada jodoh dengan
anak mereka,pastikan anda sentiasa menghubungi sekadar bertanya khabar

FOTO : TANGKAP PICTURE Azfarina Sulaiman