Hubungan

Menantu Tak Pandai Siang Ikan, Jangan Dikritik Tapi Cari Kelebihan Lain

Share

Dapat menantu tak pandai siang ikan, itu bukan satu masalah sebenarnya. Ada banyak cara mudah zaman sudah maju ini. Malah di kedai pun ada yang boleh terus siang, jadi kenapa isu ini jadi satu masalah?

Cuba renungkan perkongsian Puan Normaliza Mahadi ini, ada benarnya pendapatnya. Tentang kekurangan pasangan dan kelebihannya, kita boleh bertenang tanpa memburukkan lagi keadaan.

Menantu Tak Pandai Siang Ikan

Dah 3 hari anak lelaki saya kahwin. Saya pun tak tahu menantu ni boleh ke siang ikan ke tidak.

Boleh ke masak.
Pandai ke lipat kain.
Boleh ke kemas rumah.

Boleh ke jaga makan minum anak saya.
Atau boleh ke jaga anak-anak nanti.

Siang ikan?

Kami di rumah ni tak pernah siang ikan. Semua ikan bawak balik rumah dah bersiang. Kadang dah siap masak pun ikan tu. Jadi kemahiran siang ikan ni bukan kritikal.

Masak?

Menantu saya ni bekerja macam anak saya juga. Malah kerja lebih jauh dari rumah. Anak saya kerja dekat.

Lagi sesuai anak lelaki saya yang masak. Atau anak saya beli lauk simple di luar dan masak nasi di rumah sementara tunggu isterinya balik kerja. Tak akan nak tunggu menantu saya balik masak. Dahlah kerja jauh. Kalau tak sempat juga, orderlah lalamove.

Weekend nanti masaklah penuh satu meja sama-sama. Kan?

Lipat kain?

Hish. Orang sekarang pakai dryer. Lepas basuh kain dan keringkan. Sidai aje pakai hanger dalam almari. Tak payah lipat bagai.
Kemas rumah?

Buat Bersama Cepat Siap

Buatlah sama-sama bila ada masa. Sementara tak ada anak ni, apa sangatlah nak kemas.

Esok ada anak kecil nanti kalau ada rezeki, ayahnya kemas rumah. Maknya uruskan anak. Tak ada apa yang susah.

Jaga makan minum anak saya?

Uwais ni dah besar. Jagalah makan minum sendiri. Isterinya membantu. Kalau isteri ada masa dan cuti ke, bolehlah uruskan sungguh-sungguh sementara Uwais uruskan hal lain macam basuh toilet dan mop lantai rumah. Kerja ni berat, lelaki sesuai buat.

Jaga anak-anak?

Dah ada anak nanti pandailah mak dan ayahnya jaga anak. Dok fikir sekarang sampai pening kepala membazir masa aje.

Kelebihannya Mungkin Pandai Cari Duit

Habis tu menantu perempuan buat apa?

Eh! Dia pergi kerja. Bantu suami dalam hal yang mungkin suami tak berapa mampu. Jaga dirinya di tempat kerja. Solat. Menghormati suaminya. Membawa diri sebagai isteri dengan baik. Menguruskan rumah tangga dalam hal lain yang suaminya tak boleh buat.

Dan membuat perancangan kewangan, simpanan, sedekah dan lain-lain lagi.

Begitulah cara nak bahagia dengan pasangan, cari kelebihan bukan gali kekurangan.

Published by
Nadia