Bagai dikata jika sudah berkenan, eloklah menghantar tanda bahawa anda pihak lelaki benar-benar serius dengan wanita yang jadi pilihan itu. Islam tidak menghalang seseorang untuk merisik calon pilihannya. Bahkan ianya disarankan oleh agama Islam.
Merisik atau ‘menyiasat’ merupakan adat dan amalan tradisi yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu. Merisik bakal calon adalah suatu proses yang sangat disarankan sebelum seseorang itu berumahtangga. Ia bertujuan untuk mengetahui bakal calon sama ada telah berpunya ataupun tidak di samping mengenali calon pilihan itu dengan lebih dekat.
Proses risikan oleh masyarakat dahulu, biasanya akan dilakukan oleh kaum lelaki dengan diwakili ahli keluarganya yang akan berkunjung ke rumah calon perempuan. Namun masyarakat sekarang lebih terbuka dengan isu ini. Ada antara mereka yang merisik secara ‘direct’ kepada calon pilihannya mahupun menggunakan orang tengah seperti sahabat ataupun wakil yang dilantik untuk menyatakan hajat mereka.
Islam tidak menghalang seseorang untuk merisik calon pilihannya. Bahkan ianya disarankan oleh agama Islam. Merisik juga adalah termasuk menyiasat tentang hal keperibadian bakal calon dan rupa fizikal calon. Dalam suatu hadis daripada Abu Hurairah R.A, beliau menceritakan bahawa ada seseorang telah menyampaikan kepada Rasulullah S.A.W. bahawa dirinya telah berkahwin dengan seorang wanita Ansar. Rasulullah S.A.W. kemudian bertanya:
“Adakah kamu telah melihatnya?”
Jawab pemuda itu, “Belum.”
Kemudian Rasulullah S.A.W. menyarankan, “Lihatlah calon isterimu, kerana di bahagian mata orang Ansar ada sesuatu.”
(Hadis Riwayat Muslim : 3550)
Daripada hadis di atas, jelaslah kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W. sangat menyarankan kepada pasangan yang ingin berkahwin untuk merisik dan melihat wajah bakal isterinya. Tujuan risikan tersebut adalah supaya diberi rasa ketenangan dan kedamaian jiwa untuk meneruskan perkahwinan.
Jika anda tidak merisik secara ‘direct’ kepada calon pilihan, maka anda harus memilih wakil yang sesuai untuk menyatakan hasrat hati anda itu. Wakil yang sesuai ialah seperti ahli keluarga anda sendiri. Ibu bapa mahupun adik-beradik anda boleh menjadi wakil untuk merisik calon pilihan anda. Selain itu, wakil juga boleh dilantik di kalangan sahabat-sahabat yang anda ‘thiqah’ (percaya) dan boleh memegang amanah.
Selain itu juga, ketika dalam proses merisik anda perlu menjaga batas dan kelakuan. Mengajak keluar berdua-duaan atas nama merisik dan melakukan perbuatan yang tidak selari dengan Islam adalah dilarang. Islam memberi kebenaran untuk merisik namun tetap ada hadnya. Jika mahu bertanyakan soalan adalah lebih baik bertanyakan kepada ahli keluarganya dahulu atau sahabat-sahabat terdekat calon.
Jika terpaksa menanyakan secara ‘direct’ kepada calon, maka jagalah adab dan kelakuan. Elakkan bertanya soalan-soalan yang tidak perlu dan tidak penting.
Merisik merupakan proses yang anda tidak pasti sama ada calon pilihan anda itu akan menerima ataupun menolak risikan anda. Oleh sebab itu, jangan terlalu berharap. Jika terlalu berharap, anda akan kecewa apabila ditolak. Ia mungkin akan menjadi pengalaman pahit buat anda untuk merisik calon pilihan yang lain nanti. Ingat pepatah Melayu, ‘Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor’.
Jika hasil risikan anda tidak berjaya dan ditolak, maka hormatilah keputusan yang dibuat oleh calon tersebut. Jangan memaksa orang untuk suka dan menerima kita. Mungkin ada sebab anda dan si dia tidak bersama. Terimalah keputusan tersebut dengan hati yang terbuka dan positif. Insya-Allah ada calon yang lebih baik menanti anda.
Sumber: https://baitulmuslim.com/