Kalau dah jodoh tu, memang tak jauh perginya. Mungkin kerana seringkali berjumpa, akhirnya jodoh Fareed dari kumpulan K-Clique bertemu jodoh dengan kakak MK, yang juga dari K-Clique. Dah selamat pun Fareed dan MK menjadi ipar!
Perkhabaran gembira ini dikongsi penyanyi Sabhi Sadhi yang juga merupakan abang kepada Fareed. Majlis perkahwinan Fareed, 28, dan Siti Hawa Hamdan, 30, yang diadakan di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu pada Isnin lalu.
Yang manisnya, pernikahan berwakil walikan MK sendiri. Dengan sekali lafaz, Fareed dan Hawa sah bergelar suami isteri. Mas kahwin mereka berdua berupa seutas gelang tangan emas manakala lima dulang hantaran berbalas tujuh dari pihak perempuan.
Menurut sumber MH, majlis persandingan pasangan ini bakal diadakan pada bulan Disember.