Dalam bab mencari jodoh, wanita dilihat lebih berisiko jika mendapat jodoh yang lambat berbanding lelaki. Bagi seorang lelaki, kebiasaannya mereka tidak kisah memperolehi jodoh yang lambat kerana mereka merasakan ‘tarikh luput’ mereka adalah lebih lama berbanding dengan wanita.
Wanita yang terlebih dahulu memulakan langkah perkenalan adalah wanita yang berani. Tidak semua wanita boleh melakukannya. Ketika mahu memulakan langkah perkenalan, ada beberapa hal yang perlu anda ketahui supaya anda tidak dilihat terlalu murah di hadapan lelaki yang anda suka.
Langkah pertama, dapatkan maklumat mengenai si dia sama ada sudah berpunya ataupun tidak. Jika boleh, elakkan untuk menyukai suami, tunang atau kekasih orang lain jika anda tidak mahu berdepan dengan pelbagai masalah kelak. Pastikan si dia juga betul-betul ‘single’ sama seperti anda. Anda mungkin boleh mendapatkan maklumat tersebut melalui rakan-rakan yang rapat dengan lelaki tersebut. Malah di zaman teknologi sekarang, info perhubungan seseorang juga kadang-kala boleh diketahui hanya melalui akaun media sosial.
Langkah kedua, mulakan komunikasi dengan si dia secara sederhana. Ini bermaksud komunikasi anda dengan si dia adalah sekadar teguran biasa. Mungkin anda boleh bermula dengan sebagai seorang kawan sahaja. Kawal perasaan anda agar anda tidak nampak macam ‘terhegeh-hegeh’
dekat si dia.Langkah ketiga pula, perhatikan si dia sama ada si dia selesa atau tidak berkawan dengan anda. Sabar dan ambil masa seberapa banyak yang mungkin untuk berkenalan. Pada masa ini, anda mungkin dapat melihat dan membaca reaksi daripada sikap si dia kepada anda sama ada si dia sukakan anda ataupun sebaliknya.
Langkah keempat dan yang terakhir, perhubungan anda dan si dia mungkin sudah mula rapat. Namun si dia tetap juga tidak meluahkan perasaan kepada anda terlebih dahulu, jadi andalah yang harus meluahkan perasaan suka itu. Saat ini mungkin merupakan saat yang paling mendebarkan dalam hidup, namun anda harus cuba. Anda juga harus bersedia dengan segala jawapan yang akan diberikan oleh si dia sama ada menerima atau menolak anda.
Jika si dia menerima anda, Alhamdulillah ternyata usaha anda selama ini berhasil. Namun jika ditolak, jangan terlalu bersedih. Semua orang diberi hak untuk memilih pasangan masing-masing. Ingat pepatah ini, ‘bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor.’ Insya-Allah mungkin ada jodoh yang lebih baik menanti anda pada masa hadapan. Siapa tahu?
Sumber : baitulmuslim