Naikkan Seri Wajah Pengantin Dengan 6 Tip Mudah Ini! Paling Penting, Buat Sebelum Nak Kahwin

Share

Hari perkahwinan merupakan momen yang cukup penting dalam seumur hidup. Detik inilah yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap pasangan yang sedang hangat bercinta. Jadi, tidak hairanlah semua pasangan pengantin ingin tampil cantik dan sempurna sehingga ribuan mata tetamu terpegun melihatnya!

Sebagai bakal pengantin, ada beberapa petua perkahwinan yang perlu anda praktikkan jika mahu naikkan seri dan tampil penuh berkeyakinan di hari istimewa itu nanti. Jom lihat rahsia dan tip mudah ini.

1. PENJAGAAN WAJAH

Supaya wajah kelihatan lebih segar, sebaiknya lakukan perawatan wajah seperti facial sebulan atau tiga minggu sebelum majlis perkahwinan. Sebelum melakukanya, dapatkan nasihat daripada pakar terlebih dahulu. Apatah lagi, jika muka ada mempunyai masalah seperti jerawat, berminyak dan sebagainya. Kehadiran jerawat bukan sahaja boleh merosakkan penampilan, bahkan membuatkan anda hilang keyakinan diri pada hari perkahwinan. Walaupun boleh disembunyikan dengan mekap atau solekan, namun tidak sepenuhnya. Jika jerawat anda dalam keadaan parah, selain menjaga pemakanan anda juga perlu mendapatkan nasihat daripada pakar kulit. Dengan nasihat, ubat-ubatan serta produk yang bertepatan, anda akan berjaya menyingkirkan jerawat sebelum hari perkahwinan anda.

2. MANTAPKAN HATI

Hindari stres dan jangan terlalu banyak berfikir. Stres akan mempengaruhi keadaan kulit, rambut dan juga suasana hati anda. Anda telah memilih si dia sebagai teman sehidup semati, jadi cuba mantapkan hati dengan sebaiknya. Ikhlaskan diri anda untuk terikat dalam sebuah perkahwinan. Jika anda masih ragu-ragu dengan perkahwinan ini, ia akan mempengaruhi aura anda di hari pernikahan nanti. Kecantikan anda tidak akan terpancar sepenuhnya walaupun anda telah didandan cantik.

3. MASALAH RAMBUT

Agar rambut lebih sihat dan bersinar, terutama pada hari persandingan, gunakan syampu yang sesuai dengan jenis rambut anda. Elakkan daripada memakai pengering rambut terlalu kerap dan tahan diri daripada menggunakan produk-produk styling

rambut seperti gel rambut, pewarna rambut, pelurus rambut dan sebagainya. Cubalah potong rambut anda setiap enam bulan untuk mencegah rambut daripada bercabang atau ‘pecah-pecah’. Kelemumur kerap terjadi di kulit kepala yang kering dan berminyak. Ini boleh menyebabkan kegatalan di kepala. Anda tentunya tidak ingin penampilan di hari perkahwinan itu menjadi rosak dengn adanya serpihan yang memutih di pakaian pengantin anda. Situasi ini cukup memalukan dan sebelum ia terjadi, lebih baik anda rawat dengan segera.

4. PEMERIKSAAN GIGI

Salah satu bahagian tubuh yang perlu diperiksa menjelang hari perkahwinan adalah gigi. Pada hari istimewa itu anda pasti akan banyak tersenyum serta membalas ucapan tahniah yang diberikan oleh tetamu. Untuk mendapatkan senyuman yang menawan, setakat menggosok gigi dua kali sehari masih tidak mencukupi. Anda perlu berjumpa doktor gigi bagi memperbaiki semua masalah gigi seperti gigi berlubang atau karang gigi yang boleh membuatkan mulut anda berbau busuk.

5. PEDICURE & MANICURE

Kebanyakan wanita mengabaikan perawatan ini sedangkan tangan dan kaki penting kerana ia boleh merosakkan penampilan anda di hari bahagia. Sebelum hari perkahwinan, lakukan rawatan pedicure dan manicure agar kaki serta tangan anda kelihatan bersih, cantik dan rapi.

6. TUBUH FIT

Bersenam sangat penting jika anda mahu tampil dengan tubuh ideal di hari bahagia. Aktiviti sihat ini juga akan membantu anda mengurangkan rasa stres. Anda boleh pergi ke gim untuk bersenam dan mendapatkan bentuk badan yang menjadi idaman anda. Jika tidak pun, lakukan senaman di rumah seperti naik tangga, skipping, menari dan sebagainya. Dengan melakukan senaman, badan akan mantap dan tidak gelebeh apabila menyarungkan pakaian kahwin nanti.

Published by
Fadhli Ismail