Nak Bina Perkahwinan Bahagia, Suami Isteri Kena Pastikan 5 Ramuan Cinta Ini Melekat Di Hati!

Share

Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan hubungan yang bahagia dan harmoni. Sikap saling mempercayai perlu ada dalam diri masing-masing dalam memastikan rumah tangga sentiasa dalam keadaan yang baik. Namun, anda juga pasti tidak dapat lari dari perselisihan faham dengan pasangan.

Ia dianggap perkara biasa dalam perhubungan. Perkara tersebut dapat mematangkan lagi hubungan bersama pasangan sekaligus membentuk rumah tangga yang lebih kukuh. Pasangan yang telah menemui kunci kepada kebahagiaan dalam hubungan akan menjadikan cinta mereka sentiasa kuat, lebih menyeronokkan dan setiap hari bagaikan hari baru yang penuh dengan bunga-bunga cinta.

Pesona Pengantin senaraikan 5 ramuan cinta untuk anda miliki hubungan rumah tangga yang bahagia dan harmoni.

1. KEKAL POSITIF

Sikap yang ceria selalu membawa kebahagiaan dan emosi yang positif. Ramai yang inginkan pasangan yang bersikap ceria dan positif dalam kehidupan mereka. Sebaliknya pula dengan sikap tidak puas hati yang berterusan, sentiasa mengadu, kuat berleter akan memberikan emosi negatif dan seterusnya akan merosakkan hubungan dengan pasangan.

Anda mesti kekal positif dan jangan biarkan pasangan anda merasa sedih. Sentiasa optimis kerana anda dan pasangan anda boleh menempuhi apa sahaja asalkan anda mempunyai antara satu sama lain. Anda boleh buat jenaka tentang kegagalan anda, ketawa bersama , buat kesimpulan dan move on!

2. JADI DIRI SENDIRI DAN BERSIKAP JUJUR

Anda mahu menjadi lebih baik daripada diri anda sendiri. Anda sembunyikan kesilapan lama anda dan anda sorokkan cerita yang anda ingin lupakan tetapi sebenarnya anda tidak perlu untuk menjadi sempurna. Jadilah diri anda sendiri. Ramai yang suka bersembunyi di sebalik topeng, takut untuk menunjukkan pada orang lain diri mereka sendiri.

Bersembunyi adalah perbuatan yang meletihkan dan hubungan anda bersama pasangan anda tidak jujur dan akhirnya akan merumitkan. Amat penting sekali untuk anda menjadi ikhlas dan tidak takut untuk menunjukkan kepada pasangan anda apa yang anda rasa. Pasangan anda adalah orang yang paling dekat dengan anda. Jika anda punya masalah, segeralah meluahkannya. Langkah pertama untuk menyelesaikan masalah adalah melalui perbincangan.

3. BERIKAN SI DIA RUANG

Jangan asyik nak berkepit dengan pasangan anda 24 jam. Jangan halang hobi pasangan anda dan jangan sesekali abaikan hobi anda juga. Anda jatuh cinta dengan pasangan anda kerana caranya dan dia juga jatuh cinta dengan cara anda dan terima semua hobi dan tabiat anda. Melakukan pengorbanan adalah sia-sia.

Tiada siapa yang akan menghargainya. Pasangan anda tidak perlukan pengorbanan dan tidak mahu mendengar celaan anda. Anda dan pasangan anda cuma perlu bahagia bersama. Anda dan pasangan anda perlu membawa perkara yang baru dan menarik ke dalam hubungan anda. Jangan rosakkan apa yang anda sudah punyai.

4. SENTIASA MENYOKONG ANTARA SATU SAMA LAIN

Pasti ada di satu hari kita akan mengalami hari yang buruk sehinggakan ia mampu menghilangkan mood. Sekiranya hari itu tiba, berikan pasangan anda sokongan anda. Tunjukkan kepada pasangan anda yang anda ambil berat tentang mereka. Ia tidaklah sukar dan pasangan anda pasti akan merasa lebih baik.

Pastikan anda berikan perhatian kepada kehendak dan keperluan pasangan anda. Anda hendaklah sedar bahawa pasangan anda bukanlah bayangan diri anda mahupun harta anda. Anda perlu menghormati pasangan anda tidak kira jika pasangan anda berbeza dari diri anda.

5. TUNJUKKAN KASIH SAYANG ANDA

Ia amat penting untuk mengingatkan pasangan anda betapa anda menghargai semua tentang dirinya untuk anda. Bersyukurlah walaupun untuk perkara-perkara kecil. Jangan sia-siakan apa yang Allah sudah kurniakan untuk anda. Beritahu pasangan anda betapa anda menghargai setiap perkara dalam perhubungan anda.

Tunjukkan kepada pasangan anda betapa anda memerlukan dia dan jangan teragak-agak untuk menunjukkan kasih sayang anda kerana ia amat penting untuk membina hubungan yang mendalam dan kuat di antara anda berdua. Buat pasangan anda merasa istimewa.

Published by
Fadhli Ismail