Nak Cantik 6 Bulan Sebelum Kahwin, Amalkan Pengambilan Cuka Epal

Share

Bila nak kahwin, pelbagai persiapan yang perlu dilakukan oleh bakal pengantin. Kalau dah namanya perempuan, semua perkara perlu nampak cantik dan sempurna.

Salah satu perkara yang utama adalah untuk tampil cantik di hari bahagia. Pastinya pelbagai petua yang akan dicuba untuk kelihatan cantik dan berseri di atas pelamin nanti.

Antara petua yang boleh dicuba adalah dengan mengamalkan pengambilan cuka epal. Ada banyak manfaat cuka epal buat bakal pengantin dan boleh diamalkan 6 bulan sebelum kahwin.

1) Rambut Sihat Bersinar

Cuka epal boleh berfungsi sebagai pelembut rambut anda. Menurut seorang arkitek bernama Cheryl Cheko, beliau sering dipuji oleh pekerja salun kerana rambutnya yang cantik. Beliau menyatakan bahawa beliau menggunakan soda bikarbonat sebagai shampu, dan menggunakan cuka epal ketika membilas rambut.

Selain mencantikkan rambut, cuka epal juga boleh membantu menghilangkan gatal kulit kepala. Ini kerana, cuka epal bersifat asid, dan kebanyakan masalah rambut disebabkan rambut anda terlalu beralkali. Oleh itu, cuka epal membantu meneutralkan rambut dan kulit kepala anda.

Namun begitu, pastikan cuka epal tersebut DILARUTKAN dengan air terlebih dahulu sebelum digunakan pada rambut. Sekiranya tidak dilarutkan, bimbang ia bukan mencantikkan rambut anda, tetapi menyebabkan rambut menjadi lebih rosak.

2) Membantu Menurunkan Berat

Cuka epal sering dijadikan petua untuk menurunkan berat badan. Namun begitu, perkara ini masih belum dibuktikan secara klinikal.

Menurut Dr. Elizabeth Trattner, Pakar Perubatan Integratif dan Ahli Akupuntur, beliau sering meneliti meta-analisis klinikal di PubMed untuk melihat cadangan makanan tambahan yang sering diberikan kepada pesakit. Cuka epal antara makanan tambahan yang dikatakan baik untuk kesihatan.

Namun hanya sedikit sahaja data klinikal yang membuktikan manfaat tersebut. Walaupun terdapat dapatan yang menyatakan cuka epal membantu mengurangkan lemak, tetapi ia tidak kuat untuk mengesahkan dakwaan itu.

Dalam kajian 2013 yang diterbitkan dalam International Journal of Obesity, penyelidik mendapati bahawa cuka epal dapat menyekat selera makan. Jadi, perkara ini dapat membantu anda mengawal nafsu makan sewaktu dalam proses menurunkan berat badan. Namun ia juga boleh menyebabkan anda terasa mual. Jadi, sebelum anda memulakan apa-apa diet turunkan berat badan, pastikan anda rujuk kepada ahli dietetik atau doktor untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

3) Menurunkan Paras Kolesterol Dalam Darah

Dalam kajian 2012 yang diterbitkan dalam Life Science Journal, didapati cuka epal dapat membantu menurunkan paras kolesterol dan trigliserida bagi pesakit yang mempunyai kadar kolesterol yang tinggi. Namun begitu, jumlah kajian ini terlalu kecil. Jadi, dakwaan dapatan ini masih belum kuat untuk membuktikan bahawa cuka epal dapat mengurangkan kolesterol dalam darah. Masih banyak penyelidikan perlu dijalankan untuk membuktikan hal ini.

4) Kebaikan Cuka Epal Untuk Muka (Menghilangkan Jerawat)

Walaupun ramai membantah penggunaan cuka epal untuk mengecutkan jerawat kerana bimbang kulit muka menjadi semakin rosak. Tetapi, Dr. Marie Jhin, seorang ahli dermatologi menyatakan, sekiranya cuka epal tersebut dilarutkan sehingga benar-benar cair, ia boleh berfungsi seperti toner kepada wajah. Ia juga boleh mengeringkan jerawat dan menghilangkan bintik hitam pada muka.

Sekiranya anda ingin mencuba kaedah ini, anda dinasihatkan mencairkan larutan cuka epal terlebih dahulu sebelum menggunakannya. Selain itu, cuba sapukan pada pergelangan tangan untuk memastikan sama ada kulit anda sesuai atau tidak, menggunakan larutan cuka epal tersebut. Sekiranya kulit di pergelangan tangan anda tidak mengalami rengsa, maka ia selamat digunakan pada kulit muka anda.

5) Menurunkan Kandungan Gula Dalam Darah

Satu kajian pada 2005 yang diterbitkan dalam Journal of the Academy of Nutrition and Dietetics mendapati apabila cuka epal ditambah dalam makanan yang tinggi glisemik (yang tinggi karbohidrat) ia dapat mencegah bacaan gula naik mendadak selepas makan.

Selain itu, kajian lain pada 2004 yang dijalankan oleh beberapa penyelidik Arizona State University turut mendapati bahawa cuka epal yang dilarutkan sebelum makan makanan yang berkanji boleh mencegah perubahan bacaan gula yang drastik dalam darah selepas makan.

Terdapat juga kajian yang dijalankan oleh University of Tokyo mendapati bahawa asid asetik yang terkandung dalam cuka epal mampu merencatkan aktiviti-aktiviti enzim pencernaan karbohidrat. Kesannya, tidak banyak karbohidrat dapat diserap oleh usus. Perkara ini dapat menghindarkan peningkatan gula dalam darah selepas makan.

Namun diingatkan, sekiranya anda ingin menjadikan cuka epal sebagai rawatan alternatif dalam diet diabetes anda, pastikan cuka epal tersebut dilarutkan dengan air terlebih dahulu untuk mencairkannya.

Published by
Naqiyatul Uzma