Nak Cari Pasangan Yang Sempurna, Sampai Bila Pun Tak Akan Jumpa

Share

Dalam mencari pasangan hidup, kita memang tidak akan jumpa yang sempurna. Kehidupan sebagai suami isteri banyak cabarannya.

Ada kala suka, ada kala duka, namun kebijaksanaan kedua-duanya sangat diperlukan dalam mengatasi dugaan yang datang sekali gus mengekalkan kemanisan berumah tangga.

Usah impikan kehidupan yang sempurna kerana tiada yang sempurna di dunia ini. Pasti akan ada kekurangan di sana, sini. Oleh itu masing-masing bekerjasamalah dalam memperbaiki hubungan dalam rumah tangga.

Kredit foto: Pexels

Berikut perkongsian Dr. Kamilin Jamilin tentang realiti hubungan suami isteri dan juga kehidupan berumah tangga yang sebenarnya.

Antara masalah rumah tangga zaman ini, bila ramai yang terpengaruh dengan drama yang menggambarkan pasangan hidup yang kononnya sempurna.

Kaya, rupawan, romantis berbunga-bunga dan kentut pun wangi. Maka ramailah yang mengimpikan ‘kesempurnaan’ itu pada pasangannya sampai akhirnya ada saja yang dilihat kurang dan tidak mencukupi.

Isteri nampak kurang cantik.
Suami nampak kurang romantik.
Ada saja serba-serbi kurang menarik.
Mata dan hati pun mula jeling-jeling apa yang orang lain punya milik.

Kredit foto: Pexels

Mencari-cari kesempurnaan pada pasangan itu hanyalah khayalan. Kesempurnaan itu milik Allah dan anugerah-Nya di syurga. Setiap kita baik suami atau isteri tetap memiliki kekurangan.

Jangan mengharapkan kesempurnaan.

Perbaiki kelemahan.

Perelok pergaulan.

Itu kunci kejayaan rumah tangga dan insya-Allah indah kelihatan pasangan.

Dalam sebuah hadis:

قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ، وَرُزِقَ كَفَافًا، وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

“Sesungguhnya berjayalah orang yang Islam, dikurniakan rezeki yang cukup dan diberi rasa kecukupan oleh Allah dengan apa yang dikurniakan kepadanya” [hadis riwayat Muslim].

Sumber: Dr. Kamilin Jamilin Kredit foto (top image): Pexels

 

IKLAN