Baru-baru ini tular mengenai rakan-rakan pengantin yang memebrikan “hadiah perkahwinan” yang dianggap ‘keterlaluan” dan tidak sesuai dipertonontonkan di khalayak umum apatah lagi ketika majlis persandingan sedang berlangsung. Kerap mendapat jemputan ke majlis kahwin? Hah! Jangan tak tahu ada adab yang sewajarnya diikuti tetamu jika berhasrat meraikan pasangan pengantin baharu.
Gambar Sekadar Hiasan.
Pesona Pengantin kongsikan beberapa adab ketika menghadiri majlis perkahwinan. Mudah-mudahan dapat sama-sama diamalkan, insyaAllah. Perkongsian ini dipetik dari Facebook Asma’ binti Harun.
Gambar Sekadar Hiasan.
1. Wajib Hadir Apabila Dijemput
Apabila sesuatu jemputan diterima, maka hendaklah hadir melainkan sekiranya ada halangan yang menghalang untuk hadir.
Daripada Abdullah bin Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda:
أَجِيبُوا هَذِهِ الدَّعْوَةَ إِذَا دُعِيتُمْ لَهَا
Maksudnya: “Datanglah menunaikan jemputan apabila kamu dijemput kepadanya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
2. Niat
Niatkan kehadiran kita sebagai ibadah dan memenuhi hak sesama Muslim kerana setiap perbuatan yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah, pasti ada ganjaran pahala yang sentiasa mengalir termasuk dalam setiap langkah kita ke majlis tersebut.
Daripada Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkan. Siapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
(HR Muttafaqun ‘alaih, hadis sahih)
3. Menutup Aurat
Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan sama ada lelaki atau wanita, kerana pakaian yang tidak sopan menyebabkan orang sekeliling terganggu dan mendatangkan dosa jika tidak menutup aurat.
Daripada Saidatina Aisyah r.a., beliau menceritakan:
أَنَّ أَسْمَاءَ بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ دَخَلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَيْهَا ثِيَابٌ رِقَاقٌ فَأَعْرَضَ عَنْهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتْ الْمَحِيضَ لَمْ تَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا وَأَشَارَ إِلَى وَجْهِهِ وَكَفَّيْهِ
Maksudnya: “Saidatina Asma’ binti Abu Bakar masuk menemui Rasulullah SAW dengan mengenakan kain yang tipis, maka Rasulullah menegur, “Wahai Asma, sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah baligh, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini” – sambil menunjukkan muka dan dua tapak tangannya”
(HR Abu Daud, hadis sahih)
4. Menjaga Adab-adab Makan
Islam agama yang sangat indah, banyak panduan yang diberikan termasuk adab ketika makan. Daripada Umar bin Abu Salamah, beliau menceritakan ketika kecil, Rasulullah pernah bersabda kepada beliau:
يَا غُلَامُ سَمِّ اللَّهَ وَكُلْ بِيَمِينِكَ وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ فَمَا زَالَتْ تِلْكَ طِعْمَتِي بَعْدُ
Maksudnya: “Wahai anak, sebutlah nama Allah (Bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah hidangan yang dekat denganmu.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau menceritakan:
مَا عَابَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ كَانَ إِذَا اشْتَهَى شَيْئًا أَكَلَهُ وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ
Maksudnya: “Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Sekiranya beliau suka, Baginda memakannya. Sekiranya tidak, Baginda meninggalkannya.”
(HR Muslim, hadis sahih)
5. Memberi Hadiah
Hadiah adalah satu bentuk atau tanda kasih sayang daripada seseorang kepada seseorang, ia dituntut dalam Islam dan merupakan sunnah baginda Nabi SAW kerana memberi hadiah dapat menghilangkan dendam dan eratkan silaturrahim dengan lebih mendalam.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
تَهَادُوا تَحَابُوا
Maksudnya : “Salinglah memberi hadiah, maka kalian akan saling mencintai”
(HR Bukhari, hadis sahih)
6. Mendoakan Kebahagiaan Pengantin
Mungkin kebiasaan apabila kita hadir majlis kenduri adalah untuk makan dan bergambar bersama pengantin, namun mari kita contohi tindakan Rasulullah SAW ketika menghadiri majlis perkahwinan, Baginda akan mendoakan pengantin tersebut.
Daripada Abu Hurairah r.a., beliau menceritakan:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَفَّأَ الْإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرٍ
Maksudnya: “Apabila Rasulullah SAW memberi ucapan selamat kepada orang yang sudah menikah, Baginda akan berdoa, “Semoga Allah memberi keberkatan kepadamu, semoga Allah memberi keberkatan ke atasmu dan semoga Allah himpunkan kalian dalam kebaikan.”
(HR Tirmizi, hadis hasan sahih)
7. Mendoakan Tuan Rumah Kerana Memberi Makan
Selain mendoakan pengantin, panjangkan juga doa kita kepada tuan rumah yang telah bersusah payah untuk hidangkan makanan buat semua tetamu yang hadir, mudah-mudahan mereka mendapat keberkatan dan kebaikan.
Daripada Hisyam bin Yusuf, beliau menceritakan:
سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ بُسْرٍ يُحَدِّثُ أَنَّ أَبَاهُ صَنَعَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا فَدَعَاهُ فَأَجَابَهُ فَلَمَّا فَرَغَ مِنْ طَعَامِهِ قَالَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ وَبَارِكْ لَهُمْ فِيمَا رَزَقْتَهُمْ
Maksudnya: “Saya pernah terdengar Abdullah bin Busr menceritakan bahawa bapanya pernah menyediakan makanan untuk Nabi SAW kemudian menjemput Baginda makan. Rasulullah memenuhi undangan beliau dan selesai makan, lalu Rasulullah SAW berdoa: “Ya Allah, ampunilah mereka, sayangilah mereka dan berikanlah keberkatan pada makanan yang Engkau anugerahkan untuk mereka.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Semoga bermanfaat buat sahabat semua, silakan share ya.
Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan
#UAHSahabatDuniaAkhirat