Tujuan utama nikah gantung adalah bagi mengelakkan berlakunya zina dan lahirnya anak luar nikah. Walaupun mereka berkahwin secara nikah gantung, tetapi mereka sebenarnya bebas melakukan sebarang aktiviti berdua.
Nikah gantung boleh didefinisikan sebagai pernikahan yang melalui kaedah yang sama dengan prosedur pernikahan biasa. Namun setelah berkahwin, pasangan tersebut tidak tinggal bersama dan tidak terikat kepada tanggungjawab sebagai suami isteri.
Tujuan Nikah Gantung
Islam adalah agama yang penuh dengan rahmat dan berkat. Ia diutuskan oleh Allah S.W.T. yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwat dan sebagainya. Malah, Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu dan orang-orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah S.W.T. Maha Luas Rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.”
(Surah An-Nur : Ayat 32)
Tujuan utama nikah gantung adalah bagi mengelakkan berlakunya zina dan lahirnya anak luar nikah. Walaupun mereka berkahwin secara nikah gantung, tetapi mereka sebenarnya bebas melakukan sebarang aktiviti berdua. Jika si isteri mengandung dan melahirkan anak, maka anak itu adalah daripada hubungan yang sah. Ia tidak haram kerana mereka adalah pasangan suami isteri di sisi agama Islam dan undang-undang kerajaan Malaysia.
Pasangan yang berkahwin secara nikah gantung ini tidak tinggal bersama. Justeru ada pendapat lain yang menyatakan bahawa jika persetubuhan berlaku dalam tempoh yang dipersetujui, maka terbatalah tempoh nikah khitbah. Mereka telah menjadi pasangan suami isteri dan memikul tanggungjawab sebagai suami isteri yang normal.
Kelebihan Nikah Gantung
Kelebihan nikah gantung ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, ‘dating’, ‘study’ bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun ia tidak salah dan tidak haram.
Andai berlaku kehamilan, maka pasangan tersebut tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga. Keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah.
Ini berbeza dengan situasi jika berlaku kehamilan di luar pernikahan, ia boleh menyebabkan kes penguguran bayi secara paksa atau pembuangan bayi.
Nikah Gantung Menurut Perbahasan Hukum Islam
Salah satu dalil yang biasa digunakan oleh sebahagian alim ulamak ialah perkahwinan antara Rasulullah S.A.W. dengan Saidatina Aishah R.A. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah S.A.W. telah mengahwini Saidatina Aishah R.A. ketika berumur 6 tahun. Kemudian mereka hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun.
Hadis ini menjadi dalil berlakunya akad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah. Malah jika atas persetujuan kedua-dua belah pihak untuk beberapa tempoh tertentu, ianya dibenarkan.
Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (bersetubuh). Cuma yang mungkin menjadi persoalan ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material). Ada dua pandangan mengenai isu nafkah zahir ini:
a) Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya akad. Maka selepas sahaja akad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.
b) Pandangan jumhur ulamak (majoriti ulamak) iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu. Syarat tersebut adalah seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta’ (mengambil keseronokan), jimak (bersetubuh) , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.
Sumber : Baitulmuslim
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI