Setiap perkahwinan pasti mengimpikan kemanisan kasih sayang yang berpanjangan dalam rumah tangga. Membina kebahagiaan itu umpama menanam sepohon pokok kerana ia memerlukan benih, baja, air dan cahaya yang dipupuk dengan kasih sayang, tanggungjawab, konsisten dan kesabaran.
Bagi mengekalkan kasih sayang dan kebahagiaan itu, suami isteri haruslah memainkan peranan bersama. Amalan-amalan ini bukan sahaja boleh dipraktikkan oleh pasangan yang baharu berkahwin tetapi juga boleh diamalkan oleh pasangan lama yang ingin memupukkan kembali rasa cinta dan kasih sayang bak pengantin baru.
1. Luahkan kata cinta terhadap pasangan setiap hari
Amalan meluahkan kata-kata cinta, sayang dan puji-pujian kepada pasangan setiap hari boleh merubah perasaan pasangan yang suram kepada hari yang indah dan penuh bermakna. Kata-kata ini akan membuatkan pasangan akan rasa lebih dihargai dan bertuah kerana memiliki anda sebagai teman hidup. Jangan segan mengungkapkan kata maaf jika anda melakukan kesalahan dan sentiasalah memaafkan pasangan jika dia pula yang bersalah terhadap anda.
2. Perlu saling lengkap-melengkapi
Alam rumah tangga menuntut suami isteri untuk memberikan komitmen sepenuhnya dan berkongsi hidup dalam pelbagai aspek. Tanamkan dalam diri bahawa perkahwinan yang bahagia hanya boleh dicapai jika anda saling melengkapi hidup pasangan anda. Anda berdua haruslah saling membantu jika pasangan mempunyai masalah, selain cuba mengatasi kelemahan-kelemahan yang ada dalam diri pasangan anda dengan sebaiknya.
3. Jauhi sikap suka mengungkit
Untuk mengekalkan kasih sayang, sikap ungkit-mengungkit haruslah dielakkan. Jika sebelum ini anda pernah memberi pasangan anda sesuatu atau membantunya dia, jangan sesekali mengungkit tentang perkara tersebut terutamanya apabila anda berdua bertengkar. Cara ini menunjukkan yang anda tidak ikhlas dalam memberi bantuan atau barangan tersebut kepada pasangan. Jika sikap ini berterusan boleh membuatkan cinta dan kasih sayang pasangan anda menjadi pudar terhadap anda.
4. Isteri tidur beralaskan lengan suami
Para isteri haruslah mengenepikan bantal-bantal anda dan tidurlah beralaskan lengan suami bermula malam ini. Ini kerana hormon bau phero yang dirembeskan dari ketiak suami dikatakan boleh mengaktifkan hormon isteri hingga isteri berasa tenang dan relaks. Malah pelukan suami akan menerbitkan kasih sayang serta hormat pada suami.
5. Cium tangan, kucup dahi dan peluk
Jadikan amalan mencium tangan suami ketika suami hendak keluar dari rumah sebagai tanda bahawa restu suami amatlah berharga. Selepas isteri mencium tangan suami, suami pula haruslah membalasnya dengan mengucup dahi isteri dan memeluk isteri. Tindakan ini akan membuatkan isteri rasa lebih dihargai dan dengan sendirinya akan terbit kasih sayang itu dari hati yang ikhlas, selain mengeratkan lagi kasih sayang anda berdua. Malah kajian membuktikan bahawa sentuhan kulit boleh mewujudkan jalinan yang lebih erat kerana tubuh merembeskan hormon oxytocin.
6. Sentiasa amalkan mandi bersama
Amalan suami isteri yang sering mandi bersama sememangnya cukup bermakna dalam kehidupan suami isteri kerana ia dapat mengukuhkan lagi rasa kasih antara anda berdua, apatah lagi apabila adanya sentuhan saat anda menggosok dan menjirus tubuh badan pasangan. Malah amalan ini juga menjadi amalan Rasulullah SAW dalam memelihara kerukunan rumah tangga.
7. Solat berjemaah bersama
Sememangnya banyak ganjaran pahala yang boleh diperoleh apabila suami isteri solat berjemaah bersama. Ia akan mengeratkan kasih sayang, apatah isteri akan mengaminkan doa suami dan kemudian anda berdua akan saling bersalaman serta memohon maaf.
8. Sering lakukan kerja rumah bersama
Suami tidak boleh mengabaikan urusan kerja rumah dan hanya mengharapkan isteri melakukan urusan kerja rumah seorang diri. Sebaik-baiknya, bantulah meringankan bebanan isteri di rumah. Apabila anda berdua melakukan urusan kerja rumah bersama, bukan sahaja kerja rumah akan lebih cepat selesai malah anda berdua juga boleh gunakan masa ini dengan bergurau senda dan mengeratkan kasih sayang.
9. Sentiasa ada komunikasi dua hala
Sebuah hubungan rumah tangga dikatakan gagal apabila tiada komunikasi dua hala antara suami isteri. Jika masing-masing memendam rasa tentang permasalahan rumah tangga dan tidak meluahkan apa yang terbuku di hati, masalah tidak akan selesai dan tiada penghujungnya. Oleh itu, pentingnya komunikasi dua hala agar anda berdua boleh berbincang dengan tenang.