Pengambilan makanan di bulan puasa tidak seharusnya berbeza daripada bulan-bulan yang lain. Pemakanan kita sepatutnya dapat membekalkan tenaga, vitamin dan mineral yang sepatutnya agar dapat menjalankan tugas-tugas harian seperti biasa.
Ramadhan merupakan satu peluang untuk mengurangkan berat badan bagi mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan. Amalan pemakanan sihat yang disarankan bagi mengurangkan berat badan ialah:
- Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula, minyak serta lemak. Makanan ini mengandungi tinggi kalori. Jika anda tidak dapat menahan diri daripada mengambil makanan ini, ambillah dalam kuantiti yang sedikit.
- Hadkan pengambilan air manis seperti air sirap atau kordial. Utamakan pengambilan air kosong dan jus buah-buahan yang tidak ditambah gula. Susu rendah lemak juga merupakan pilihan minuman yang baik.
- Beri perhatian pada saiz hidangan anda. Kebiasaannya, kita akan makan dengan banyak apabila terlalu lapar. Oleh itu sentiasa ingat untuk mengekalkan saiz hidangan yang kecil, walaupun mengambil makanan yang rendah lemak.
- Lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan ini bukan sahaja mengenyangkan, malah boleh meningkatkan pengambilan serat harian anda.
- Jangan lupa untuk melakukan senaman ringkas. Berpuasa bukan alasan untuk anda tidak melakukan senaman.
Sumber : myhealth.gov
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Nampak Kekurangan Menantu, Duduk Berbincang. Jangan Canang Pada Orang Luar!
Kalau nak rumah tangga anak menantu aman bahagia, jangan cari salah menantu. Cuba terima kekurangan dan kalau ada salah, duduk berdua bercincang dengan elok.
Nampak Kekurangan Menantu
Ada pasangan muda yang duduk bersama mentua. Mungkin untuk tempoh awal perkahwinan tidak menjadi masalah. Elok juga mentua memberi petua bagaimana nak menjaga anaknya. Tapi apabila sudah terlalu lama, maka akan berisiko untuk timbul hal-hal lain.
Ada mentua yang seperti juruaudit yang selalu membuat pemeriksaan mengejut cara menantu menguruskan anak dan cucunya. Memang niatnya tulus suci mahukan yang terbaik. Tetapi terus-terang cakap, siapa yang suka setiap hari diaudit?
Lebih mencabar apabila suami pula terpaksa menyebelahi ibunya. Oleh itu, elok jika disebut begini. Cukuplah sekadar enam bulan dan selepas itu berdirilah di atas kaki sendiri. Betul, banyak faktor penjimatan tetapi jangan lupa cabarannya juga besar.
Ini sebab lain timbulnya konflik:
Cemburu
Tanpa mengikut urutan keutamaan, saya melihat faktor cemburu kepada rakan pasangan, sering menjadi isu perbalahan antara suami dan isteri. Suami cemburu kepada rakan isteri dan isteri pula sakit mata dengan rakan suami.
Mengikut satu kajian, konflik yang berpunca daripada rakan pasangan merangkumi 7% pada pihak suami dan 8% pada pihak isteri.
Suka atau tidak suka, media sosial memang menyumbang kepada perkara ini. Bekas kekasih lama bertemu semula. Mungkin tidak secara berdepan dan sekadar dalam laman sosial tetapi sudah cukup menggetarkan hati pasangan.
Walaupun masing-masing menyedari status yang sudah berubah tetapi itu memang kerap menjadi penguji tegar kepada keyakinan pasangan sendiri. Oleh itu, pilihan keutamaan ada di tangan anda.
Hubungan Intim
Bertengkar tentang hal dalam bilik tidur juga kerap menjadi isu. Ada isu pasal terlebih dan ada juga isu terkurang. Isu begini jarang berlaku pada pasangan muda tetapi lebih kerap berlaku pada pasangan yang boleh dianggap sudah berpengalaman lima hingga 10 tahun perkahwinan.
Perubahan hormon, kekuatan fizikal dan ayunan emosi yang berbeza menjadikan aktiviti di bilik tidur tidak seringkas seperti waktu berbulan madu dahulu. Waktu itu pantang tersentuh terus ‘menjadi’, tetapi sekarang tidak lagi begitu. Lelaki perlukan layanan fizikal tetapi isteri mahukan lebih perhatian emosi. Memang berlaga!
Isteri Lebih Berduit
Masa bercinta semua nampak cantik dan elok. Setelah habis tempoh bulan madu barulah dunia sebenar rumah tangga bermula.
Cinta memang indah tetapi komitmen dalam rumah tangga itu perlu dibuktikan.
Hari ini ramai pasangan yang isterinya mempunyai pendapatan jauh lebih tinggi daripada suami. Ini adalah asid pekat yang pasti menguji kesabaran dan keikhlasan anda.
Tidak salah anda ikhlas membayar lebih kos pengurusan rumah tangga tetapi anda perlu lebih kebijaksanaan untuk berbincang tentang hal tanggungjawab suami. Suka atau tidak realiti ramai pasangan muda hari ini bercerai kerana faktor komitmen kewangan ini.
Cara Didik Anak Berbeza
Jangan lupa yang terakhir ialah faktor cara mendidik anak-anak terutama apabila kedua-dua suami isteri berpendidikan tinggi. Ada pertengkaran disebabkan kelakuan anak-anak yang dianggap berpunca daripada sikap atau cara didikan sama ada si suami atau isteri di rumah. Suami salahkan isteri dan isteri menunding jari kepada suami kerana tidak peduli pasal anak-anak.
Keadaan menjadi lebih runcing apabila pasangan itu dikurniakan anak istimewa. Percayalah, hanya pasangan yang ada anak istimewa sahaja yang tahu betapa hebat cabarannya. Berat mata memandang maka berat lagi bahu memikul. Masalah besar timbul apabila hanya ada satu bahu sahaja yang memikul dan yang satu lagi berlepas tangan. Oleh itu bersedialah!
Sumber: Mingguan Wanita
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Baca Perkongsian Gadis Berusia 11 Tahun Yang Disahkan Mempunyai Dermoid Cyst Sebesar Limau Gedang (Grapefruit)
Tiba-tiba perut terasa buncit, tidak selesa dan cepat kenyang ini antara tanda-tanda cyst yang mungkin tidak anda ketahui. Malah ada sesetengah individu mengalami muntah dan rasa loya. Andai mempunyai simtom sedemikian segeralah membuat rawatan lanjut supaya penyakit yang dialami dapat dibendung dengan segera.
Ikuti kisah gadis berusia 11 tahun yang mengalami dermoid cyst dan diharapkan ia menjadi panduan buat anda semua agar lebih prihatin terhadap kesihatan anda.
……………………………………………………………………………………………………………….
Gadis M berusia 11 tahun dan sering aktif di dalam setiap aktiviti yang disertai sama ada di sekolah mahupun bersama keluarga. Namun sejak kebelakangan ini, M sering mengadu sakit perut. Mungkin salah makan atau masuk angin adalah sesuatu yang biasa difikirkan oleh ibu yang prihatin tentang anak gadisnya. Tetapi yang lebih merisaukan si ibu saiz perut M turut dirasakan besar daripada saiz yang normal.
Kesakitan yang dialami M menjadi lebih teruk dan tidak dapat dibendung membuatkan ibunya menjadi semakin runsing lalu membawa M untuk berjumpa doktor di hospital. Setibanya di hospital dan pemeriksaan awal mendapati terdapat ketumbuhan di bahagian pelvis. Mujur M mempunyai tanda kesakitan, jika tidak ianya mungkin dikategorikan sebagai “Asymptomatic”.
M telah diusulkan untuk membuat pemeriksaan lanjut bersama doktor pakar sakit puan iaitu Dr Pravin Peraba. Hasil pemeriksaan mengesahkan bahawa ianya adalah berpunca daripada ovari dan ketumbuhan telah membesar dalam lingkungan 10cm x 10cm jadi laparoscopy tidak dapat dilakukan. Sebaliknya, pembedahan yang dikenali sebagai laparotomy dilakukan kerana saiz cyst yang besar.
Ternyata cyst tersebut mengandungi rambut, gigi dan juga tulang setelah ianya berjaya dikeluarkan. Pembedahan berjaya membendung cyst daripada terus membesar dan mampu mengelak daripada menghadapi komplikasi yang lain.
Apakah itu cyst dan adakah ianya merbahaya?
Ovarian cyst adalah kantung yang berisi lendir/air yang berada di dalam kilang telur ovari, diameternya melebihi 3 cm. Ia bukan sesuatu yang diwarisi dan hanya dermoid cyst berlaku sejak lahir manakala cyst yang lain hadir ketika usia reproduktif iaitu 15-45 tahun. Ovarian cyst jenis kanser atau barah pula biasanya dalam lingkungan 45 tahun ke atas.
Sebagai contoh, semasa proses pengovulan, cyst terbentuk apabila telur cuba dikeluarkan. Proses tersebut mengambil masa antara 4 – 6 minggu. Sista ini jarang merembeskan hormon. Sista folikel dan korpus luteum – sista folikel terbentuk apabila folikel yang menghasilkan telur dalam ovari membesar dan dipenuhi cecair. Sista korpus luteum merupakan jisim tisu berwarna kuning yang terbentuk daripada folikel selepas proses pengovulan. Sista jenis ini timbul dan hilang setiap bulan. Ia dikaitkan dengan fungsi normal ovari. Sista yang abnormal atau sista neoplasma – Ia terjadi kesan dari pertumbuhan sel dan kebanyakannya merupakan ketumbuhan benigna. Dalam beberapa kes tertentu, ianya boleh menjadi kanser. Sista yang abnormal ini memerlukan rawatan perubatan dari doktor. Ini termasuklah:
Dermoid cyst – mengandungi pelbagai jenis tisu seperti bahan-bahan lemak, rambut, gigi, serpihan tulang dan tisu rawan.
Ovari polisistik – disebabkan oleh timbunan sista-sista kecil yang berganda menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan hormon. Ini akan menyebabkan berlakunya haid yang tidak teratur, timbulnya bulu-bulu roma di badan dan ketidaksuburan.
Rawatan
Ianya bergantung kepada saiz dan jenis cyst bergantung kepada umur iaitu samada anda dalam usia reproduktif atau menopause.
Adakalanya, cyst akan hilang begitu sahaja tanpa dirawat. Sekiranya gejala kesakitan dikesan oleh pesakit, rawatan awal dapat dilakukan seperti pembedahan kecil seperti laparoscopy dapat dilakukan. Harus diingat bahawa kadangkala ianya tidak mempunyai sebarang simtom iaitu keadaan yang dikenali sebagai asimptomatik sehingga pesakit menjalani ujian perubatan (ultra sound atau penyiasatan pemeriksaan yang lain).
Ada beberapa kes di mana ovari perlu dibuang yang membabitkan tiub fallopian dan juga rahim. Ianya bergantung kepada tahap cyst tersebut dan hasil analisa daripada pemeriksaan lanjut, doktor dapat merumuskan rawatan yang bersesuaian dengan tahap kritikal sesuatu kes cyst tersebut.
Tanda-tanda cyst
Lazimnya tidak memberikan sebarang gejala. Ada beberapa kes di mana pesakit mempunyai salah satu atau beberapa gejala termasuklah :
- Muntah dan loya
- Sakit perut
- Perut terasa buncit, tidak selesa dan cepat kenyang
- Sukar atau kerap kencing
- Rasa berat pada ari-ari
- Sakit semasa hubungan kelamin (wanita yang telah berkahwin)
Tetapi sekiranya ia terlalu besar anda mungkin perasan perut sedikit buncit dan terdapat ketulan pada bahagian bawah perut.
Segera berjumpa doktor andai anda tidak pasti samada anda atau ahli keluarga mempunyai cyst. Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati tetapi jika dikesan lebih awal ianya dapat mengelak daripada keadaan menjadi lebih parah dan bahaya seperti kanser kerana ianya tidak memilih usia. Lakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin agar kesihatan anda atau ahli keluarga sentiasa berada dalam keadaan optimum.
Kredit: Dr Pravin Peraba, Metro IVF
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ketahui Adab-Adab Bercinta Dalam Islam, Khas Untuk Pasangan Yang Belum Berkahwin!
Menjadi fitrah manusia untuk hidup berpasangan dan menjalin kasih agar hidup menjadi lebih sempurna. Namun, adab-adab ketika bercinta perlu dijaga supaya tidak membawa perkara yang dilarang dalam islam. Sebab itulah ada sesetengah ulama mengatakan bahawa bercinta itu adalah haram.
Pentingnya adab dalam menjaga hubungan bercinta tidak boleh dipandang remeh. Setiap pasangan yang sedang hanagt bercinta mahupunyang sedang belajar untuk bercinta perlu tahu mengenai adab-adab bercinta dalam islam.
Oleh itu, Pesona Pengantin kongsikan adab-adab yang harus dipraktikkan dalam hubungan percintaan khusus buat mereka yang belum berkahwin agar hubungan yang dijalin terjaga dan dijauhi dari perbuatan yang dikeji oleh Allah.
MENGHORMATI DAN MENGHARGAI DIRI MASING-MASING
Jagalah diri dan maruah agar tidak memburukkan nama baik keluarga dan agama. Dalam kata erti lain, tidak membenarkan diri berduan-duaan dengan kekasih kerana wujudnya orang ketiga iaitu syaitan. Di samping itu, tidak perlu berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat pasangan. Sebaiknya, sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa yang mengawasi tingkah laku anda.
MENJAGA BATAS PERGAULAN
Menjaga batas pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan pergaulan anda seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan. Anda harus sedar dan berasa malu kerana masih belum mempunyai sebarang hak ke atas satu sama lain.
SENTIASA BERDOA
Berdoa dan menunaikan hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredhai dan diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.
RESTU KELUARGA
Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta itu. Ibu bapa memainkan peranan denagn memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak dan ajaran agama semasa bercinta.
MELAKUKAN SOLAT ISTIKHARAH
Sentiasa melakukan solat istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya, tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaanya itu untuk mendirikan rumah tangga yang terpelihara.
Sekiranya anda bercinta tanpa niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan kea rah itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah. Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, dating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI