Nak Majlis Kahwin Nampak Wow? Caranya, Anda Wajib Guna Bunga Popular Ini!

Share

Bunga semestinya menjadi antara elemen terpenting dalam menceriakan majlis perkahwinan tidak kira sebagai hiasan pelamin, gubahan hantaran, dekorasi meja pengantin ataupun bunga tangan. Tanpa kehadiran bunga pasti sesebuah majlis perkahwinan itu akan hilang serinya.

Adalah penting untuk anda mengetahui jenis-jenis bunga yang popular agar majlis perkahwinan yang bakal berlangsung nanti tampak lebih gemilang, romantis dan penuh berseri.

1. Ros

Bunga ros sememangnya menjadi pilihan dan kegemaran ramai mempelai kerana ia mampu menaikkan aura romantis dalam sesebuah majlis perkahwinan. Apatah lagi variasi warna dan haruman yang dimiliki mencipta aura memukau saat melangsung hari bahagia.

2. Tulip

Tulip yang terkenal di negara Belanda ini sesuai dijadikan bunga tangan hinggalah pada dekorasi meja pengantin. Kepelbagaian warna memberi banyak pilihan untuk anda sesuaikan dengan tema perkahwinan.

3. Lili

Bunga lili bukanlah bunga sembarangan kerana ia termasuk dalam kategori bunga indah yang sesuai diberikan kepada insan teristimewa. Walaupun nampak ringkas namun bunga ini tetap ada kelasnya yang tersendiri. Ia mampu mencipta momen terindah untuk hari bahagia. Gunakan bunga lili daripada rona putih atau krim untuk menghasilkan aura seri yang tiada tara.

4. Hydrangea

Bunga yang berasal dari Jepun ini turut dikenali dengan nama tempatannya sebagai Bunga Tiga Bulan atau Bunga Siti Zubaidah. Ada juga yang menggelarnya sebagai Bigleaf Hydrangea, French Hydrangea, Lacecap Hydrangea, Mophead Hydrangea, Penny Mac dan Hortensia. Seleksi warnanya memberi ilham kelembutan dalam dekorasi yang ditampilkan. Ia juga membawa perlambangan warna yang tersendiri selain popular dijadikan sebagai bunga gubahan hantaran.

5. Peony

Bunga yang agak besar mekarnya ini membuatkan hiasan tampak lebih cantik dan penuh. Ia juga sesuai digandingkan dengan mana-mana bunga kerana memiliki kepelbagaian warna yang boleh menyerikan majlis hari bahagia.

6. Gradenia

Bunga yang mengeluarkan haruman yang agak kuat ini sesuai jika dijadikan sebagai hiasan untuk aksesori rambut mempelai. Tentu sahaja mencipta kelainan pada dandanan si ratu sehari.

7. Orkid

Dengan fizikalnya yang eksotik, sifat bunga orkid menggambarkan sesuatu yang unik. Keindahannya juga tidak dapat disangkal dan sesuai dijadikan bunga hiasan untuk gubahan hantaran.

8. Stephanotis

Bunga yang berbentuk bintang ini merupakan salah satu pilihan yang classy untuk dijadikan sebagai bunga tangan mempelai. Warna putih yang dimiliki oleh bunga ini melahirkan rasa suci.

9. Baby Breath

Bunga klasik yang kebiasaannya dipakai sebagai korsaj ini melambangkan ketulusan dan kebahagiaan. Penggubah bunga sering menggunakan bunga jenis ini bersama bunga ros sebagai simbol cinta yang agung. Ia memiliki dua warna iaitu putih dan merah jambu serta sering digunakan dalam hiasan bunga untuk majlis akad nikah.

10. Carnation

Merupakan bunga yang paling dikenali di seluruh dunia dan melambangkan penghargaan. Ia ada dalam pelbagai warna dan menjadi simbolik kepada tarikan cinta.

11. Gerbera Daisies

Mempunyai pelbagai warna yang menonjol, ia dikenali dengan saiz dan kuntumannya yang menawan. Ia juga menjadi bunga kegemaran bagi menggambarkan perasaan ceria.

12. Kekwa / Chrysanthemum

Disebabkan oleh sifatnya yang tahan lasak dan memiliki variasi warna, bunga ini menjadi pilihan pasangan mempelai untuk mengabadikannya dalam majlis perkahwinan.

Published by
Bella