Nak Menyimpan Untuk Kahwin. Apakata Cuba Cara Ni

Share

Perihal perkahwinan tentunya memerlukan modal atau jumlah yang yang besar untuk perbelanjaan majlis, hantaran, tempahan busana, kad jemputan dan lain-lain lagi.

Oleh itu, setiap pasangan perlu lebih bersedia daripada segi mental, fizikal serta sudut kewangan khususnya. Anda perlu tahu mengenai bajet kahwin dan bagaimana untuk menguruskan wang tersebut supaya tidak berdepan dengan konflik kewangan selepas berkahwin.

Edisi kali ini berkongsikan tip untuk menjimatkan bajet kahwin.

1. Jangan Mementingkan Standard Anda
Berhutang memberi bebanan kepada anda sehingga menyebabkan anda dan pasangan tidak bahagia. Ramai pasangan yang hidup tersepit dengan hutang terlalu banyak hanya kerana menginginkan majlis perkahwinan yang mewah dan tampak gah.

2. Jumlah Tetamu
Tetapkan jumlah tetamu yang bakal dijemput supaya anda dapat merancang bajet perkahwinan dengan baik. Apabila anda sudah tetapkan bilangan tetamu, anda dapat mengira bajet untuk makanan, cenderamata, kad kahwin dan sebagainya.

3. Menyewa Busana Perkahwinan
Elakkan menempah pakaian yang baru kerana khidmat menyewa pakaian lebih murah. Terdapat juga perkhidmatan dimana anda boleh menempah pakaian perkahwinan yang baru tetapi cuma sewa sahaja. Ini bermakna selepas memakai busana tersebut, anda perlu memulangkan semula kepada butik perkahwinan dan harganya jauh lebih rendah daripada membeli terus pakaian perkahwinan itu.

4. Awasi Perbelanjaan Anda Setiap Bulan
Perbelanjaan pada setiap bulan amat mempengaruhi simpanan kewangan anda. Jika anda berbelanja lebih, segala bajet yang telah anda tetapkan akan berubah dan akan menyusahkan anda kelak.

5. Elak Berhutang Kad Kredit
Kad kredit ada baiknya dan ada buruknya. Tetapi bagi sesiapa yang tidak tahu untuk menggunakan kad kredit secara berhemat anda dinasihatkan untuk tidak memakainya. Berbelanja dengan hanya ‘swipe’ menyebabkan anda yang pening kepala untuk membayar hutang tersebut.

6.  Adakan Majlis Gotong Royong


Majlis yang diadakan secara gotong royong adalah lebih jimat berbanding perkhidmatan katering. Ia dapat menjimatkan kos kerana anda hanya perlu mengeluarkan wang membeli bahan basah selain dapat mengeratkan tali silaturahim bersama saudara dan jiran anda.

7. Jangan Merokok
Bagi kaum lelaki merokok bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan tetapi ia membazirkan wang anda. Jika anda campur tolak wang yang telah anda belanjakan untuk membeli rokok pasti anda akan terkejut dengan jumlahnya.

8. Membuka Akaun Khas
Salah satu cara untuk menjimatkan kos perkahwinan adalah dengan membuka akaun khas untuk perkahwinan anda. Ini dapat memastikan supaya anda tidak menggunakan kesemua wang simpanan anda dan seterusnya berhutang. Elakkan membeli barang perkahwinan dengan menggunakan kad kredit.

9. Kurangkan Membeli Gajet Elektronik
Jika anda seorang penggemar gajet elektronik, anda dinasihatkan untuk menyimpan dahulu hasrat anda untuk membeli gajet terbaru. Hal ini adalah kerana wang itu anda boleh gunakan untuk majlis perkahwinan anda kelak.

10. Tempahan Fotografi
Buat tempatan perkhidmatan fotografi, katering dan kad jemputan semasa promosi atau di pameran perkahwinan. Selalunya diskaun hebat akan diberikan.

11. Berbalas Hantaran
Elakkan berbalas hantaran dengan jumlah yang tinggi. Ada juga antara anda yang tidak mahu kalah dengan saudara mara atau kawan-kawan. Hal ini yang sering terjadi di kalangan pengantin zaman sekarang. Tidak perlulah untuk berlumba-lumba kerana kelak anda yang tanggung kesannya.

12. Membeli Belah Ketika Ada Potongan Harga Sahaja
Harga barangan pada ketika itu mungkin mendapat potongan harga jauh lebih murah daripada sebelumnya. Jangan terlalu mengikut hawa nafsu ketika membeli belah kelak anda juga yang akan merana.

 

***JOM SERTAI CHANEL TELEGRAM PESONA PENGANTIN DAN DAPATKAN LEBIH BANYAK INFO BERSAMA KAMI. KLIK SAHAJA DI SINI.

Published by
Anis Nor