Jika anda dan pasangan sedang mencari-cari lokasi untuk berbulan madu, apa kata anda kunjungi Kuak Hill Resort yang terletak di Lenggong, Perak Darul Ridzuan. Lenggong adalah salah satu destinasi yang menghidangkan keindahan dan lokasi istirehat anda wajib pergi.
Lokasi percutian yang berkonsepkan kembali pada alam semula jadi ini sesuai sangat untuk anda dan pasangan merehatkan minda.
Lenggong terletak di Hulu Perak telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai lokasi bersejarah yang banyak menyimpan sejarah awal penempatan dan tamadun manusia.
Kuak Hill Resort, Lenggong terletak kurang 100 kilometer dari utara, Ipoh. Ia juga terletak berdekatan dengan Grik, Empangan Temenggor dan Tasik Banding.
Melalui perkongsian seorang pengguna Facebook yang dikenali dengan nama Ameera, Kuak Hill Resort menjanjikan percutian yang tenang dan tiada gangguan. Hanya bunyi kicauan burung dan bunyi alunan air bukit yang mengalir kedengaran.
“Nah inilah tempatnya, sangat tenang, sejuk dan mendamaikan. Jauh dari kesibukan kota, terletak di atas bukit perkampungan Melayu di Lenggong. Alhamdullillah dapat juga menikmati keindahan di atas sini, sebab sebelum ini hanya tengok sahaja,” kata Ameera.
Catatan pengalaman Ameera sepanjang bercuti di Kuak Hill Resort, Lenggong:
1. Dari perkarangan tempat letak kereta, anda perlu naik ke atas. Perjalanan mengambil masa selama 15 minit. Kereta perlu diletakkan di bawah memandangkan lokasi agak tinggi.
2.Apabila sudah sampai ke atas, anda akan disajikan dengan panorama keindahan alam yang ‘mewah’ dengan hamparan ‘karpet hijau.’
3. Ada zoo kecil juga di sini. Jangan lepaskan peluang untuk bergambar kerana banyak tempat menarik untuk merakamkan kenangan percutian. Rakamkan seberapa banyak momen indah bersama pasangan.
4.Tersedia juga kafe di sini. Hati-hati ketika berjalan kerana laluan utama untuk naik dan turun agak curam. Tidak terasa penat berjalan bila melihat suasana hijau dan menyegarkan.
5.Tersedia juga kenderaan pacuan empat roda untuk kemudahan bergerak ke sana sini.
6. Buat penggemar kopi, boleh minum kopi sambil menikmati keindahan alam semula jadi.
7. Di luar bilik boleh lepak santai sambil minum kopi cicah biskut.
8. Boleh mandi-manda di kolam mandi yang turut tersedia di sini. Air dari kolam mandi datangnya dari air bukit. Sejuknya sampai ketulang.
9. Pada waktu malam pula boleh buat barbeku.
10. Wajib bila ke mana-mana bawa pulang cenderamata. Di sini juga ada disediakan pelbagai pilihan cenderamata yang terletak berhampiran meja pendaftaran.
Sumber: Ameera