Setiap manusia di dunia pasti inginkan kehidupan yang gembira dan senang lenang bersama keluarga sama ada dari segi kewangan dan kasih sayang. Tetapi bagaimana jika kita ingin menjadi kaya dengan cepat? Apakah rahsia dan amalan murah rezeki?
Persoalan ini pasti ada dalam fikiran setiap orang yang masih tertanya-tanya bagaimana cara nak cepat kaya atau apakah formula yang betul untuk menjadi jutawan dengan segera tanpa melanggar hukum dan syariat Islam. Apakah amalan murah rezeki yang paling mustajab?
Sebenarnya, ramai orang-orang Islam yang menjadi kaya raya selain dimurahkan rezeki iaitu dengan berusaha bersungguh-sungguh disamping mengamalkan amalan-amalan yang amat dituntut dalam Islam dan sememangnya amat disukai Allah SWT sepertimana yang kami kongsikan antara amalan murah rezeki yang mustajab di bawah :
Amalan Murah Rezeki dan Cepat Kaya
.
1. Menyempatkan Diri Beribadah
Allah tidak akan sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah)
2. Memperbanyakkan Istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di hadapan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya, lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi SAW :
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas)
3. Tinggalkan Semua Perbuatan Dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuatkan hati resah dan gelisah malah akan menutup pintu rezeki. Sabda Nabi SAW :
“.. dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa Ingat Pada Allah
Memperbanyakkan ingat Allah membuatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah berikan kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)
.
5. Berbakti dan Mendoakan Ibu Bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW berpesan agar sesiapa yang ingin panjang umur dan ditambahkan rezekinya, hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambungkan tali kekeluargaan. Baginda SAW juga bersabda :
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi SAW :
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat Baik dan Membantu Orang Yang Memerlukan
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi SAW :
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Menunaikan Hajat Orang Lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah melapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi SAW :
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya.” (Riwayat Muslim)
8. Banyakkan Berselawat
Ada hadis yang menggalakkan berselawat jika hajat, niat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, kesulitan dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahualam.
9. Membuat Kebajikan Dengan Banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang amat berkat.
11. Menjalinkan Silaturrahim
Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi Kekal Berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah SAW dan meminta pendapat mengenai beberapa perkara termasuk ingin dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda SAW bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah membuka pintu rezeki. Nabi SAW bersabda kepada Zubair bin al-Awwam :
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah Azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang memperbanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah memperbanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)
.
14. Mengamalkan Solat Tahajjud
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan mendapat rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan oleh Allah.
15. Mengamalkan Solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian) juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi :
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur Kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah dan lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman Allah lagi: “..dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan Zikir dan Bacaan Ayat Al-Quran
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadhilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali selepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa :
“Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.”
Ada juga hadis menyebut, siapa mengamalkan bacaan surah Al-Waqiah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu alam.
SUMBER : ILMU ALAM
GAMBAR HIASAN : TANGKAP PICTURES