Nasi Daging Air Asam, Gerenti Suami Tambah Dua Pinggan

Share

Masa Penyediaan: 30 minit, Masa Memasak:20 minit, Jumlah Hidangan:6 orang

Resepi Nasi Daging Air Asam ni sangat terkenal di sebelah utara tanah air. Selalunya dihidangkan di hari perayaan atau kenduri-kendara. Jika menggunakan bahagian daging yang banyak urat, haruslah direbus lebih lama dalam anggaran masa 2-3 jam. Kelebihan masak menggunakan daging yang banyak urat ialah rasa daging tu lagi menarik dan sedap, cuma agak leceh nak rebus dalam masa yang lama. Masa dapat dijimatkan jika anda ada pressure cooker.

Bahan-Bahan:

4 cawan beras basmathi, rendam selama 30 minit dan tos
500 gram daging, potong kiub besar anggaran 3"x4"
5 cawan air rebusan daging
1 cawan sudu cair
1 helai daun pandan, carik dan simpul
2 1/2 sudu besar rempah kurma
1 batang serai, dititik
3 sudu besar minyak sapi
1 -2 sudu besar minyak sayuran
1/2 cawan tomato sup ATAU 1/4 cawan tomato puri
Sedikit kismis hitam
Bahan untuk rebusan daging:
1 sudu besar rempah kurma
2 inci halia, hiris nipis
Air dalam anggaran 7 cawan lebih
Bahan untuk ditumis:
1 biji bawang besar, hiris nipis
5 ulas bawang putih, hiris nipis
3 kuntum bunga lawang
2 batang kayu manis
4 kuntum bunga cengkih
6 biji buah pelaga
Bahan untuk air asam:
1 biji bawang besar, hiris nipis
2 biji tomato, potong kecil
6 biji cili merah, potong kecil
1 inci belacan, dibakar di atas api sehingga wangi
1 mangkuk kecil air perahan asam jawa yang pekat
2 sudu besar sos ikan Thai
3 sudu besar gula
1-2 sudu kecil garam
1 sudu besar kerisik
Sedikit perahan jus limau nipis

Cara Penyediaan, cara untuk memasak:

-Rebus daging bersama air, halia dan rempah kurma sehingga empuk. Angkat dan ketepikan.
-Panaskan minyak sapi dan minyak sayuran di dalam periuk. Tumis bahan tumis bersama 3 sudu besar serbuk kurma, serai dan daun pandan. Kacau sehingga naik bau dan kemudian masukkan beras yang telah ditos. -Kacau lagi beras selama 1-2 minit.
-Masukkan air rebusan daging bersama susu cair, tomato sup, kismis, daging yang direbus tadi dan juga garam secukup rasa. Kacau sedikit supaya sebati dan tutup. Masak di atas api sederhana. Kaedah yang sama jika anda menggunakan periuk nasi. Pindah ke tapak periuk elektrik pada tahap ini dan biarkan nasi masak.
-Setelah masak, gemburkan nasi dengan lembit supaya tidak berketul.
-Cara untuk air asam:
-Gaulkan kesemua bahan air asam. Biarkan seketika supaya semua bahan air asam sebati.

Tips:

Kalau nak dapatkan nasi yang cantik, gunalah beras basmathi yang panjang.

Resepi Oleh: Che' Nom

Published by
webadmin