Jika diperhatikan kebanyakan filem-filem dan program televisyen yang kita tonton mempunyai naratif penceritaan yang bersifat thought pleasing dan romanticize.
Maksudnya ialah, kita sering kali dipaparkan dengan kemanisan, romantis dan segala yang indah tentang cinta.
Maka secara tidak langsung, jiwa kita juga meronta inginkan perasaan jatuh cinta lantas mencari-cari prospek yang dirasakan sesuai dengan cita rasa peribadi.
Saya teringat pada sebuah buku yang pernah dibaca satu ketika dahulu bertajuk Aku Terima Nikahnya tulisan Hasrizal Abdul Jamil. Terdapat satu ayat yang menjentik pemikiran saya pada ketika itu iaitu;
“Usah diangankan indahnya pelamin tanpa mempertimbangkan urusan lampin.”
Jatuh cinta bukanlah indah semata-mata. Malah, cinta itu sendiri adalah tindakan.
Bukanlah kata-kata indah “saya cintakan awak” semata-mata. Cinta adalah apabila kita bersedia mempunyai komitmen terhadap kata-kata yang dilemparkan.
Kita begitu termakan dengan detik-detik indah tanpa melihat gambaran keseluruhannya. Bukanlah saya ingin katakan jatuh cinta itu perkara yang salah, tetapi apabila terlalu mudah tewas dengan memberikan emosi kepada sembarangan orang, dikhuatiri cinta itu singgah sementara sahaja yang akan menyakitkan perasaan diri kita.
Saya terjumpa satu kata-kata Inggeris daripada Barat yang mengatakan;
“Be unselective about who you meet, but be very selective about who you invest emotion in”
Masyarakat kini, terutamanya anak muda begitu sinonim dengan mempunyai pasangan sebelum bernikah. Sehinggakan apabila seseorang itu tidak mempunyai pasangan, akan dianggap pelik dan lain berbanding orang lain.
Sedangkan yang sepatutnya kita berasa pelik ialah apabila mereka bertahun-tahun menjalin hubungan tetapi tidak nampak pun sebarang tujuan ke arah pernikahan.
Apabila seseorang tiada pasangan, mereka akan menerima victim blaming. Maksudnya, masyarakat menganggap sebagai ‘mangsa’ dan ‘pesalah’ dalam situasi yang sama ini.
Contohnya akan dilabel beberapa sifat seperti terlalu memilih, tidak cantik, tidak menarik, tidak pandai memikat dan beberapa lagi perkataan yang bersifat derogatory (merendahkan).
Perkataan infatuation diambil daripada bahasa Inggeris yang bermaksud satu perasaan tertarik atau jatuh cinta pada seseorang tanpa sebarang asas yang baik dan biasanya singgah sementara sahaja.
Jika hendak disimpulkan dalam bahasa yang mudah, infatuation ialah kita tertarik pada seseorang tanpa kenal pun si dia. Kita tidak tahu latar belakang, hati budi, sikap, cara fikir, dan sudut pandang si dia tetapi begitu tertarik dan mudah sekali jatuh cinta.
Dalam kebanyakan kes, adalah disebabkan ciri fizikal luaran seseorang yang kemas, cantik dan wangi yang membuatkan kita jatuh hati terhadapnya. Inilah yang dinamakan perangkap infatuation.
Perkara ini mungkin pada kita hanyalah serpihan daripada kehidupan kompleks, namun beberapa laporan daripada pihak berkuasa berkenaan perceraian di Malaysia, perkara remeh seperti inilah yang menyebabkan banyak berlaku perceraian dalam masyarakat.
Petikan surat khabar Kosmo daripada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor menyatakan terdapat kes seperti berebut rancangan televisyen, tidak suka cara pasangan membasuh baju, pasangan terlupa pam tandas, gaji pasangan rendah dan pasangan bangun lewat, yang pada kita itu adalah perkara remeh untuk dijadikan alasan bercerai. Namun, itulah hakikat yang perlu kita ambil iktibar.
Perkara itu berlaku kerana perangkap infatuation. Kita tidak betul-betul cintakan seseorang sebagaimana diri mereka sendiri (just the way they are).
Kita hanya jatuh cinta pada tanggapan kita terhadap mereka. Disebabkan itulah apabila kita sudah mengenali si dia, perasaan tarikan itu mula luntur dan timbul alasan-alasan tidak munasabah untuk bercerai.
Begitulah sebabnya mengapa Rasulullah menyuruh kita mengenali bakal pasangan kita terlebih dahulu sebelum menikahinya.
حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي عُمَرَ، حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ يَزِيدَ بْنِ كَيْسَانَ، عَنْ أَبِي حَازِمٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الْأَنْصَارِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا؟»، قَالَ: لَا، قَالَ: «فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا، فَإِنَّ فِي أَعْيُنِ الْأَنْصَارِ شَيْئًا
Abu Hurairah berkata: “Ketika aku bersama dengan Rasulullah SAW, datanglah seorang lelaki dan mengkhabarkan bahawa dia akan menikahi perempuan dari kaum Anṣar, maka Rasulullah SAW bertanya: ‘Apakah kamu sudah melihat dia?’. Lelaki itu menjawab: ‘Tidak’. Rasulullah SAW bersabda: ‘Pergilah dan lihatlah dia, sesungguhnya di dalam mata orang-orang Anṣar terdapat sesuatu’.” Riwayat Muslim
Walaupun hadis ini menyarankan untuk melihat, namun jika dikaji konteks pada peredaran zaman dahulu dan sekarang ini dapat disimpulkan untuk anjuran mengenali bakal pasangan adalah sangat perlu dari sekadar melihat.
Ini adalah sebagaimana suruhan Rasulullah untuk memilih wanita yang punyai latar belakang agama yang baik dalam hadis yang lain. Tanpa mengenali diri seseorang, bagaimana mungkin mengetahui seseorang itu mempunyai agama yang baik atau tidak.
Cenderung untuk jatuh cinta dengan mudah apabila kita cemburu melihat hubungan cinta orang lain yang kelihatan bahagia. Lebih-lebih lagi dalam masa yang sama kita tercari-cari orang yang mungkin pasangan jodoh kita.
Buka sahaja televisyen, dipaparkan dengan drama cinta dan rancangan Mahligai Cinta yang begitu megah majlis perkahwinannya.
Melihat di media sosial, rakan-rakan berkongsi gambar di Instagram dan Facebook bersama pasangan masing-masing bercuti dan meluangkan masa bersama dan baru-baru ini kita disiarkan paparan langsung majlis perkahwinan diraja, Putera Harry dan Menghan Markle.
Sedikit sebanyak memberikan perasaan ingin turut sama merasai saat-saat manis bersama pasangan sendiri. Inilah yang menyebabkan terlalu mudah jatuh cinta apabila kita mencari-cari perasaan untuk jatuh cinta.
سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا حَسَدَ إِلَّا عَلَى اثْنَتَيْنِ رَجُلٌ آتَاهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَقَامَ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَرَجُلٌ أَعْطَاهُ اللَّهُ مَالًا فَهُوَ يَتَصَدَّقُ بِهِ آنَاءَ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ
Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibolehkan hasad (cemburu) kecuali pada dua hal, Seorang yang diberi kurnia Al-Quran oleh Allah sehingga dia membacanya di pertengahan malam dan siang. Dan seseorang yang diberi kurnia harta sehingga dia menginfakkannya pada malam dan siang hari.”Riwayat Bukhari
Dalam Islam kita tidak dilarang untuk jatuh cinta, malah dianjurkan untuk bernikah apabila telah menjumpai insan yang sesuai. Namun, kita dianjurkan untuk betul-betul memilih.
Ini disebabkan begitu banyak berlaku keruntuhan institusi rumah tangga dalam masyarakat dan hal ini adalah serius. Mungkin ada yang tidak dapat memahami mengapa dengan runtuhnya institusi rumah tangga, boleh menjadi serius.
Jika kita amati dan meluaskan pembacaan, kebanyakan gejala sosial yang berlaku adalah disebabkan latar belakang keluarga yang bercerai-berai. Golongan yang paling terkesan adalah pada anak-anak kecil yang mencari-cari kasih sayang ibu bapa.
Rebound love ialah perasaan cinta pada seseorang sejurus selepas hubungan cintanya bersama orang lain putus, dalam masa sama kekecewaannya belum pulih sepenuhnya.
Mudah jatuh cinta adalah antaranya disebabkan cinta rebound. Dalam usaha cuba untuk melupakan orang lain, dengan cara jatuh cinta pada orang lain.
Namun perkara ini akan mendatangkan akibat yang tidak diingini kebiasaannya. Ini disebabkan kerana kita tidak betul-betul mencintai orang tersebut.
Hati kita yang masih terluka cuba diubati dengan kasih dan perhatian yang tidak kena pada tempatnya. Saya teringat satu buku bertajuk The Things You Can See Only When You Slow Down tulisan seorang sami (monk) bernama Haemin Sunim.
Beliau memberi perumpamaan sebuah periuk yang punyai saki baki makanan. Untuk membersihkannya dengan cepat, kita terpaksa menyental dan gosok dengan kasar. Untuk membersihkannya dengan baik, kita rendamkan di dalam air dan sabun yang sesuai kemudian basuh dengan baik.
Begitulah perasaan manusia, perlukan masa yang sesuai untuk memberi peluang kepada hati supaya benar-benar jatuh cinta dan terhadap orang yang betul.
Kadangkala tersilap dalam menafsirkan perasaan sendiri mahupun perasaan orang lain. Namun begitulah di dunia ini untuk merasai pengalaman cinta.
Sebagaimana hidup yang serba persinggahan di dunia, mudah-mudahan kita lebih mengenali diri kita dan melayan diri kita dengan lebih baik supaya dapat memberi kebaikan-kebaikan kepada orang lain.
Usah disibukkan diri dengan mencari pasangan yang terbaik dan sempurna, kerana dalam keadaan yang kita tak sangka akan muncul seseorang yang Allah jadikan jodoh buat kita.
SUMBER : Bahauddin Hamizan