Pahala Dapat, Isteri Pun Makin Sayang. Ini Antara Perkara Sunnah Yang Suami Boleh Lakukan!
Februari 7, 2021
Share
Perkahwinan bukan sekadar membuka rezeki buat kedua-dua pasangan tetapi ia juga memberi peluang kepada kita untuk mengejar pahala dengan lebih banyak lagi. Sebenarnya, pahala lebih mudah untuk kita miliki selepas berkahwin. Walaupun sekadar membuat pasangan kita tersenyum, itu sudah boleh menambah pahala kita.
Banyak perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW yang boleh kita jadikan contoh. Baginda merupakan seorang suami yang sentiasa menjaga hati isterinya. Terlalu banyak hadis yang menceritakan tentang kebaikan baginda sebagai seorang suami.
Ini antara perkara yang dilakukan oleh Rasulullah yang boleh dijadikan contoh kepada para suami di luar sana. Semoga bermanfaat!
Baginda berlumba lari dengan Aisyah. Adakalanya Baginda menang dan ada masanya Aisyah menang. (HR Ahmad, Abu Dawud & al-Nasaiiy)
Membuat kerja-kerja rumah (sudah tentu seperti membasuh baju, menjemur baju, sapu sampah, basuh pinggan) ketika baginda berada di rumah. (HR Bukhari)
Menzahirkan kecintaan kepada isteri. Apabila ditanya siapakah wanita paling disayangi, baginda menjawab “Aisyah”. Kalau lelaki? Jawab baginda, “Bapanya”. (HR Bukhari)
Tidak pernah memukul wanita (isteri) dan khadamnya. (HR Muslim)
Melayani isteri ketika sakit malah baginda mengelap air mata Safiyyah ketika dia menangis. (HR Nasaa’iyy) Adakalanya baginda meniup isteri-isterinya yang sakit dengan bacaan surah 3 qul -al-mu’awwizat. (HR Muslim)
Tetap mengingati kebaikan isteri telah meninggal dan amat menghargai kebaikan, kecantikan dan sumbangan mereka. Nabi tidak pernah melupakan Khadijah malah sering menyebut namanya sehingga Aisyah rasa cemburu. (HR Bukhari)
Amat romantik sehingga berkongsi gelas dengan isteri. Malah, baginda minum ikut tempat yang ada kesan mulut isterinya tanpa rasa jijik. (HR Muslim)