Pelakon Lelaki, Hafeez Mikail Bertunang, Pesan Bakal Isteri Bersedia ‘Cabaran’ Kahwin Dengan Artis

Share

Pelakon lelaki, Hafeez Mikail telah selamat bertunang dengan pilihan hatinya, Noor Azira Azman pada 24 Disember baru-baru ini. Bertempat di kediaman keluarga tunangnya di Beranang Selangor, majlis mengikat tali pertunangan antara keduanya dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

SETAHUN JALIN HUBUNGAN CINTA

Memetik laporan dari Mstar, Hafeez memaklumkan selepas setahun menjalinkan hubungan cinta, sudah tiba masanya dia membawa hubungan itu ke fasa yang lebih serius memandangkan usianya sudahpun menjangkau 30 tahun.

“Alhamdulillah Allah permudahkan urusan saya dan bakal isteri saya. Terima kasih kepada tuan rumah, menyambut kami sekeluarga. Terima kasih juga kepada keluarga saya dan kawan-kawan saya yang hadir pada majlis saya dan bakal saya,” tulisnya di ruangan kapsyen dilaman Instagram.

Mereka bermula sebagai kawan dan kemudian barulah bercinta. Malah akui Hafeez, tunangannya bukanlah orang dalam industri seni.

“Rasanya sudah tiba masa untuk saya berkahwin. Umur pun semakin meningkat. Keluarga juga sudah merestui jadi eloklah saya cepatkan untuk jadikan hubungan ini halal,” katanya.

Jelas Hafeez lagi, dia sedang berusaha mempersiapkan diri untuk menjadi seorang suami yang baik agar dapat memikul tanggungjawab baru tidak lama lagi.

“Kalau nak cakap persediaan menjadi suami orang tu dah lama sedia. Tetapi apabila sudah bertunang ini saya haruslah lebih kerja keras dan memperbaiki diri untuk jaga anak orang.

“Tarikh perkahwinan sudah ditetapkan. Nanti saya akan umumkan,” ujarnya.

Bercerita tentang serba sedikit tentang tunangannya yang berusia 26 tahun, jelas pelakon yang pernah muncul dalam drama ‘Kerana Terpaksa Aku Relakan’ ini memaklumkan yang tunangannya sangat memahami serta sentiasa memberi dorongan kepadanya lebih-lebih lagi dalam urusan kerjaya.

Dalam masa sama juga pemilik nama sebenar Muhd Hafiz Muhd Zaki ini juga sempat mengingatkan bakal isterinya itu supaya bersedia dengan komen-komen negatif netizen. Hal ini kerana menjalinkan hubungan dengan seorang artis banyak cabarannya.

“Dia sangat memahami kerjaya saya dan tidak pernah menyusahkan. Malah keluarga juga dapat menerima saya dengan baik.

“Saya sudah pesan kepada dia supaya bersedia dari segi mental kerana selepas ini pasti akan terdedah dengan netizen. Ada sahaja yang tidak kena nanti akan mendapat kritikan. Ia juga mungkin melibatkan keluarga saya dan dia nanti,” jelasnya.

Hafeez Mikail merupakan antara pelakon yang kerap membintangi drama di televisyen. Dia juga pernah menceburi bidang penerbangan selama dua tahun pada 2010 hingga 2012.

Sumber: Mstar Instagram Hafeez Mikail dan Instagram Cameykaelfim

 

Published by
Hasliza