Pelukan ternyata memiliki khasiat yang luar biasa dalam hubungan perkahwinan. Tidak hanya akan ada cinta yang tumbuh lebih kuat, anda juga akan semakin kuat dan lebih bersemangat apabila berpelukan dengan pasangan yang dicintai. Suami isteri diibaratkan sebagai pakaian yang saling melengkapi, saling menutupi dan saling memerlukan.
Pelukan suami isteri memiliki bahasa komunikasi yang ternyata cukup luar biasa. Ada berpendapat, satu pelukan dapat membantu komunikasi non-verbal untuk menggambarkan rasa sayang, terharu, terima kasih, kekesalan dan kemarahan. Malah dengan satu pelukan sehari juga boleh ‘memanaskan’ kasih sayang dan cinta suami isteri.
Jika ingin menunjukkan bahawa suami peduli, maka peluklah isteri kerana ada ketikanya isteri lebih merasa bimbang akan suaminya. Sentuhan yang penuh dengan kasih sayang dan kehangatan akan meningkatkan lagi ghairah dan emosi positif pada pasangan. Cara suami memberikan sentuhan membuatkan isteri merasai makna yang tersendiri dalam setiap sentuhan suami. Bagi suami yang sedang membaca artikel ini, anda disarankan untuk memeluk isteri sekurang-kurangnya satu kali sehari.
Di sini ada lima keadaan yang dikatakan sesuai untuk suami memeluk isteri agar isteri rasa dirinya lebih dihargai.
1. Sebelum ke tempat kerja
Setiap hari sebelum suami melangkah ke tempat kerja, peluklah isteri erat-erat selama 10 saat. Lagi lama, lagi baik! Khabarnya, ia boleh memanjangkan usia. Tapi jangan lama sangat, takut tak jadi pergi kerja pula. Isteri yang tinggal di rumah akan rasa lebih dihargai apabila suami memeluknya.
2. Ketika menonton televisyen
Tidak perlu rasa malu sekiranya pelukan boleh membarakan kasih sayang suami isteri. Dalam kelekaaan menonton televisyen, lebih mesra jika suami datang dan mendakap isteri. Kebetulan pula menonton cerita romantik bersama, pastinya pelukan itu akan menjadi lebih mesra. Sebaliknya jika cerita seram yang ditonton, pastinya pelukan itu akan menenangkan ketakutan isteri.
3. Ketika isteri sibuk di dapur
Ketika isteri sedang leka memasak atau membasuh pinggan mangkuk, rangkullah pinggang isteri dari belakang dan peluklah dirinya dengan mesra. Isteri akan rasa bahagia, malah kepenatannya menguruskan rumah tangga tidak akan terasa apabila suami memeluknya. Elemen kejutan seperti ini akan membuatkan isteri rasa dihargai, malah ia sememangnya diinginkan oleh isteri. Biarpun suami tidak membantu isteri memasak, sentuhan mesra seperti ini sudah cukup membahagiakan.
4. Ketika tidur
Tidur di atas lengan suami ternyata satu nikmat yang paling indah bagi seorang isteri. Tidur berpelukan dapat meredakan stres kerja, menurunkan tekanan dan meningkatkan memori. Perkara positif seperti ini hanya berlaku jika anda memeluk pasangan yang disayangi. Pasangan suami isteri yang sering berpelukan ketika tidur akan membuat mereka lebih awet muda. Hal ini terjadi kerana pasangan rasa bahagia dan saling mencintai sehingga hormon oksitosin (hormon bahagia) terlepas bebas dalam tubuh masing-masing.
5. Ketika isteri sedang merajuk
Cara yang terbaik untuk memujuk isteri yang sedang merajuk adalah dengan memeluk isteri. Hati yang panas terus jadi luluh apabila suami memeluknya erat. Orang perempuan ini bukanlah nakkan duit atau harta benda. Kalau isteri merajuk, kata-kata mesra dan pelukan manja pun boleh memujuk hati yang panas.
Tidak sukar menawan hati wanita, hanya dengan pelukan yang berbaur kasih sayang ia mampu mencairkan hati wanita.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI