Bagi anak seni dan usahawan popular, Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta, kehidupannya cukup bermakna pada usia 50 tahun yang disambut pada 9 Mac lalu.
Penantian empat tahun menghuni rumah jenis banglo mewah itu selepas menghadapi beberapa masalah termasuk kontraktor pembinaan menghilangkan diri selepas Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta melabur jutaan ringgit akhirnya ternoktah.
“Tak dapat saya gambarkan perasaan menyambut ulang tahun kali ini. Tambah pula dapat masuk rumah baharu. Bukan sekecil anak jumlah saya laburkan untuk rumah ini.
“Kena tipu dengan beberapa kontraktor pembinaan lagi. Kemudian kita diuji dengan pandemik COVID-19, jadi proses pengubahsuaian rumah itu pun tertangguh.
“Tapi kini, saya bersyukur semuanya berakhir. Nak pula, Ramadan dan Syawal bakal disambut umat Islam tak lama lagi. Dapat masuk rumah baharu ini, kira hadiah paling terindah buat saya,” katanya.
Memilih konsep dekorasi klasik Inggeris, memang Che Ta sukakan gaya yang mewah!
“Zain sendiri terkejut dan tak sangka saya nekad mengajak ibunya tinggal bersama. Tak ketinggalan teman rapat saya pun ada yang berperasaan sama.
“Lagipun mak mentua saya tinggal seorang diri selepas cucunya yang juga anak Sasha Saidin berpindah ke luar negara. Jadi saya fikir tak salah ajaknya duduk sekali di rumah baharu.
“Keadaan kesihatannya kebelakangan ini pun tak bagus selepas menjalani pembedahan. Setidak-tidaknya ada yang melihat dan membantunya apabila tinggal sekali,” katanya.
Pengasas bersama empayar perniagaan Inai Che Ta itu berkata Zain pada awal bimbang ibunya menjadi beban.
“Saya tak pernah berfikir begitu terhadap sesiapapun yang berada di bawah tanggungan ini. Saya percaya kadang-kadang Allah beri rezeki kita melalui orang lain.
“Dia pun tak cerewet dan mudah diurus. Di usianya 76 tahun, dia makan apa saja yang dihidangkan. Orang tua makan banyak mana sangat pun. Malah dia enggan menyusahkan saya termasuk pembantu rumah.
“Selama ini, masa tinggal dengan cucunya (anak Sasha Saidin), dia memang sangat kuat dan kental. Dialah yang memandu kereta menghantar cucu ke sekolah, kelas taekwondo dan membeli barangan harian. Tapi sejak kesihatannya terganggu
selepas terjatuh dan pinggulnya retak hingga terpaksa jalani pembedahan, dia seakan lemah,” katanya.
Che Ta juga mengakui ibunya terbuka dan menyambut baik usaha mengajak ibu mentua tinggal bersama.
“Cuma lucunya, apabila ibu dan ibu mentua bersembang masing-masing macam ayam dan itik. Seorang cakap Melayu, seorang lagi berbahasa Inggeris. Saya pun terhibur melihat gelagat mereka,” katanya.
Dalam pada itu, saban tahun menyambut ulang tahun kelahiran, wanita kelahiran Kedah ini tak ketinggalan menganjurkan majlis.
Tahun ini, genap usia 50 tahun, Che Ta menganjurkan sebuah majlis santai bertemakan menuju ke syurga dihadiri keluarga, teman akrab dan pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat di sebuah premis terkemuka di ibu kota.
Malah entri Instagram (IG) miliknya turut dipenuhi dengan sesi fotografi bertema keemasan (old is gold).
“Tak ada apa lagi yang saya nak kejar. Selagi kuat, insya-Allah saya akan berusaha sehabis baik menjadi isteri, ibu dan anak yang baik. Saya takkan putus membahagiakan mereka yang disayangi.
“Jadi wanita ini kena rajin dan bercita-cita tinggi. Saya pun kena ada keutamaan kepada diri sendiri. Saya kena sedikit berkira untuk diri sendiri, jangan penyegan dan terlalu berserah.
“Cuma kawan akrab bimbang saya kuat bekerja dan tak ada masa berehat. Saya pun bukan makin muda dan bergetah. Jadi kenalah jaga kesihatan di usia emas ini,” katanya.
Mengenai kejutan hadiah hari lahir mengerjakan umrah tajaan teman niaganya, Anas Zahrin, Che Ta belum dapat memberikan kata putus bila nak ke Tanah Suci Makkah.
“Awalnya, saya bercadang nak menunaikan umrah sewaktu sambutan ulang tahun kelahiran tahun ini. Tapi tak menjadi kenyataan atas beberapa sebab.
“Mungkin masa terbaik kalau diizinkan, saya nak ajak suami bersama ke sana pada 10 terakhir Ramadan. Harap niat itu dipermudahkan,” katanya yang turut terbabit mengacarakan program masakan, Rasa tak lama lagi.