Apakah hukumnya bagi lelaki memakai inai? Kita lihat ketika majlis perkahwinan, selalunya pengantin lelaki akan diinaikan jarinya.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Inai adalah perhiasan bagi wanita bukannya untuk lelaki. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha:
أَوْمَتِ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَبَضَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ: مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ. قَالَتْ بَلِ امْرَأَةٌ . قَالَ: لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ. يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ.
Maksudnya:Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir bagi menunjukkan pada tangannya ada surat untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam menutup tangannya lalu berkata: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Perempuan”. Lalu Baginda berkata: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya akan lakukan perubahan pada kuku-kuku kamu (iaitu dengan inai)”.
Riwayat Abu Daud (4166), al-Nasa’ie di dalam al-Kubra (9311) & Ahmad di dalam Musnadnya (26258). Al-Albaani menilainya Hasan.
Di dalam ‘Aun al-Ma’bud disebutkan bahawa hadith di atas menunjukkan kepada tersangat digalakkan bagi wanita untuk mengenakan inai. Al-Sanadi mula menyebutkan bahawa yang disebutkan dengan (لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً) itu membawa makna: “Sekiranya kamu meraikan syiar bagi wanita, nescaya kamu akan mengenakan inai pada tanganmu”.
Setelah mengetahui bahawa inai itu adalah perhiasan bagi wanita, maka dalam sebuah hadith yang lain terdapat larangan bagi menyerupai wanita. Sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya:Rasulullah SAW telah melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki.
Riwayat Al-Bukhari (5885)
Al-Imam Ibn Battal Rahimahullah menyebutkan bahawa al-Tabari Rahimahullah mengatakan bahawa pada hadith di atas terdapat fiqhnya iaitu tidak boleh bagi lelaki menyerupai wanita pada sudut pakaian, perhiasan yang dikhususkan buat wanita.[2]
Dalam sebuah hadith yang lain, Rasulullah SAW pernah membuang daerah lelaki mukhannas yang mengenakan inai pada kedua tangan dan kakinya. Daripada Abu Hurairah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أُتِيَ بِمُخَنَّثٍ قَدْ خَضَبَ يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ بِالْحِنَّاءِ فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم: مَا بَالُ هَذَا. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ. فَأُمِرَ بِهِ فَنُفِيَ إِلَى النَّقِيعِ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلاَ نَقْتُلُهُ فَقَالَ: إِنِّي نُهِيتُ عَنْ قَتْلِ الْمُصَلِّينَ.
Maksudnya:Sesungguhnya Nabi SAW telah didatangkan kepada Baginda seorang mukhannas yang mana telah menginai kedua tangan dan kakinya. Maka berkata Nabi SAW: “Apa halnya dengan lelaki ini?”. Maka dikatakan: “Ya Rasulullah, lelaki ini menyerupai wanita”. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan agar lelaki tersebut di buang daerah ke al-Naqii’. Maka mereka berkata: “Ya Rasulullah, mengapa kita tidak membunuhnya?”. Maka jawab Baginda: “Sesungguhnya aku dilarang untuk membunuh orang yang solat”.
Riwayat Abu Daud (4928). Al-Arnout mengatakan sanadnya dhoif (lemah).
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan di dalam al-Majmu’:
Maksudnya:Adapun mewarnakan kedua tangan dan kaki dengan inai, maka digalakkan bagi yang berkahwin dikalangan perempuan berdasarkan hadith-hadith masyhur padanya dan haram ke atas lelaki-lelaki (memakai inai) kecuali untuk berubat.
[Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr, 1/294]
Begitu juga al-Imam al-Syarwani Rahimahullah di dalam hasyiahnya bagi kitab Tuhfah al-Muhtaj karangan Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menyatakan perkara yang sama iaitu digalakkan bagi wanita yang telah berkahwin untuk berinai dan haram ke atas lelaki.
Kesimpulan
Berdasarkan kenyataan di atas. Kami cenderung mengatakan bahawa tidak dibenarkan bagi lelaki untuk mengenakan inai pada kedua tangan atau kaki mereka dan digalakkan bagi perempuan yang telah berkahwin untuk berinai bagi tujuan berhias. Ini kerana berinai itu termasuk di dalam perhiasan wanita.
Oleh itu, tidak boleh bagi lelaki untuk berinai samaada bagi tujuan perkahwinan ataupun selainnya atas dasar berhias, agar nampak cantik dan sebagainya melainkan untuk tujuan berubat yang mana dengan berinai boleh membantu menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu.
Adapaun bagi lelaki untuk mengenakan inai pada rambut, maka hal yang demikian itu tiada masalah. Ini kerana terdapat hadith yang membenarkannya. Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ramai yang mengeluh kesukaran hidup selepas pandemik ni. Pada golongan biasa-biasa, nak buat simpanan setiap bulan pun sangat susah. Sedangkan perbelanjaan pun tak cukup, inikan pula untuk menyimpan. Lebih menambah tekanan apabila ada yang dah merancang untuk melangsungkan perkahwinan.
Selagi ada idea untuk dikongsi, selagi itu berusahalah untuk mencuba. Tak cuba tak tahu kan? Tip ini diharap dapat membantu bakal pengantin untuk lebih berjimat dan dapat melangsungkan perkahwinan tanpa rasa bimbang terbeban hutang.
Rancang tarikh kahwin
Sudah tentulah ini poin paling penting. kerana apabila sudah ada tarikh, baharulah kita ada objektif yang ingin dikejar. Objektif ini yang akan menggerakkan dan mengingatkan kita tujuan penjimatan itu dilakukan. Macam alarm clock la. Dan kita akan rasa terkejar dengan dateline.
Tetapkan jumlah tetamu
Pada waktu PKP atau PKPB dan sebagainya, kita terpaksa kurangkan tetamu untuk majlis. Walaupun majlis boleh diadakan seperti biasa, majlis kecil-kecilan dah cukup. Jadi, ambillah peluang ini untuk memilih tetamu kita. Utamakan keluarga yang terdekat dan kemudian teman paling rapat. Memang kita bimbang mereka berkecil hati tetapi ini adalah untuk kebaikan semua. Kita sendiri ingin kurangkan risiko jangkitan.
Ads
Tempah makanan
Tetapkan harga makan untuk satu kepala. Selagi boleh berjimat, kita berjimat. Jika ada ahli keluarga yang sudi untuk memasak sendiri atau buat rewang, pun lebih baik. Anda hanya beli barang basah dan sedikit pemanis mulut sebagai pelengkap.
Kiriman kad
Zaman sekarang ni e-card sudah mencukupi. Gunakan sahaja aplikasi Canva untuk membuat rekaan kad jemputan dan hantarkan kepada tetamu.
Ads
Cenderahati
Disebabkan tetamu untuk majlis anda terhad, jadi cenderahati pun bolehlah dikurangkan bajetnya. Terlalu banyak barangan yang cantik dan memorable untuk anda pilih di kedai borong. Ataupun anda juga boleh membuat pesanan lebih awal dari laman web seperti Lazada dan Shopee sebelum tibanya majlis perkahwinan.
Tidak terpengaruh
Jangan sesekali membandingkan majlis anda dengan orang lain. Duit kita bukan duit mereka dan begitu juga sebaliknya. Kalau boleh, janganlah berangan-angan untuk menggunakan waktu PKP ini untuk membazir di tempat lain pula. Ikut segala strategi penjimatan yang ada.
Hantaran
Sekarang ini trend barang hantaran sorok dah kembali. Pilih sahaja barang hantaran dari jenama biasa untuk hantaran kepada pasangan. Orang takt ahu pun jenama apa yang anda gunakan sebagai hantaran. Bila ekonomi dah stabil, hadiahkanlah yang best sikit untuk mereka.
Ads
Busana pengantin
Anda boleh pilih untuk membuat tempahan atau beli yang sudah siap. Awal-awal lagi anda perlu letakkan bajet yang anda mampu. Banyak juga pilihan busana pengantin untuk lelaki dan wanita dengan harga sangat berpatutan.
Memori
Kahwin ni sekali seumur hidup. Pasti anda mahu abadikan foto perkahwinan menggunakan jurugambar professional. Sila tanya pada kawan-kawan atau orang yang pernah menggunakan khidmat jurugambar professional. Dapatkan info dari mereka. Bukan tak boleh pilih dari Instagram atau Facebook tetapi takut kalau-kalau anda terkena dengan jurugambar yang tak bertauliah. Rugi duit!
Simpanan
Sentiasa ingat bahawa kehidupan selepas kahwin memerlukan wang yang banyak lebih dari sewaktu melangsungkan perkahwinan. Majlis kahwin ini sekali sahaja tetapi lepas kahwin yang kita perlukan lebih banyak duit. Elakkan dari berhutan, baik hutang dengan kad kredit atau berhutang dengan orang. Susah nak bayar balik nanti.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Apabila perkahwinan anda berada dalam kesusahan dan menjadi semakin parah, maka anda perlu keluar dan mendapatkan bantuan. Anda tentu sekali tidak boleh memperbaiki keadaan anda sendiri jika keadaan semakin tidak terkawal.
Dapatkan nasihat dan bantuan daripada orang yang berpengalaman secepat mungkin. Jangan biarkan perkahwinan anda terus dibuai keresahan.
Jadi persoalannya sekarang, di mana atau dengan siapa anda boleh dapatkan bantuan untuk perkahwinan anda? Jawapannya, di mana-mana atau sesiapa sahaja! Apa yang anda perlu lakukan adalah bersikap terbuka dengan semua kritikan atau nasihat yang anda terima dan aplikasikannya ke dalam perkahwinan anda. Cubalah!
Berikut adalah beberapa tempat bagi mencari bantuan untuk perkahwinan anda:
Rakan-rakan
Kadang-kala kita sukar untuk berkongsi masalah dengan kawan kita kerana sebab-sebab tertentu. Tapi kawan-kawan juga sebenarnya boleh membantu anda untuk menyelesaikan masalah perkahwinan anda. Namun, bukan semua rakan atau kawan anda sesuai untuk diberitahu tentang masalah anda.
Carilah kawan-kawan yang benar-benar anda percaya dan seeloknya kawan-kawan anda yang berpengalaman dalam hal-hal sebegini. Hal ini kerana, mereka yang berpengalaman dan telah melalui detik-detik masalah dalam perkahwinan bakal membantu anda dalam menyelesaikan masalah anda.
Hubungan Forum
Jika anda terlalu takut untuk bercakap dengan orang yang anda kenali, maka anda mungkin mahu berbincang dengan sekumpulan orang yang tidak dikenali. Mengapa anda akan berbuat demikian? Kerana mereka akan bersikap terbuka dan jujur dengan anda dalam hal semua.
Mereka akan memberitahu anda apa sahaja kesalahan yang anda lakukan tanpa bimbang tentang menyakiti perasaan anda, dan mereka akan memberi pendapat mereka sejelas-jelasnya dan tanpa berselindung. Itulah keindahan internet – tidak ada wajah di sebalik nasihat itu dan mereka boleh mengatakan apa yang mereka mahu katakan.
Anda akan mendapat pendapat dan nasihat berdasarkan pelbagai jenis pengalaman dan kepercayaan. Ini boleh membantu anda membuat keputusan yang lebih bermaklumat berbanding jika anda mendasarkan pada satu sudut pandangan sahaja.
Kaunseling
Bantuan kaunseling bukanlah suatu perkara yang teruk! Ia tidak seharusnya menjadi pilihan terakhir. Ia adalah cara untuk setiap pasangan tahu dan sedar masalah sebenar dalam perkahwinan mereka.
Antara kelemahan kaunseling ialah bayaran untuk khidmat kaunseling biasanya memerlukan perbelanjaan yang tinggi bergantung kepada tahap kepakaran kaunselor tersebut dan kaunseling juga bukan penentu atau penjamin kepada penyelesaian kepada masalah yang anda hadapi dalam perkahwinan.
Satu lagi masalah ialah anda mungkin mendapati pasangan anda tidak mahu untuk menghadiri khidmat kaunseling. Ia boleh menjadi sukar untuk mendapatkan seseorang yang enggan untuk bekerjasama dengan kaunseling.
Kesimpulannya, perkara penting yang perlu diingat apabila anda mempunyai masalah perkahwinan adalah untuk mendapatkan beberapa jenis bantuan dan segera mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah anda.
Jika anda bersikap sambil lewa dan bertangguh untuk menyelesaikannya, berkemungkinan perkahwinan anda tidak akan ke mana-mana dan anda akan membazirkan minggu, bulan, atau bertahun-tahun dalam perasaan tidak berpuas hati dan tertekan tentang perkahwinan anda. Atau anda akan menghadapi masalah yang lebih parah iaitu perceraian!
Sumber : Hasani kursus kahwin
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Benarkah anggapan bahawa dengan membuat isteri bahagia, boleh menyebabkan rezeki suami melimpah ruah? Apakah kaitannya rezeki yang murah dengan isteri yang bahagia?
Bahagianya seorang isteri akan dirasai oleh seisi keluarga. Ini menyebabkan seluruh isi rumah merasa bahagia. Para isteri yang bahagia dan bersyukur atas pemberian suaminya akan mewujudkan suasana yang damai dalam keluarga sekaligus diluaskan rezeki suaminya, kerana Allah memberikan lebih banyak rezeki bagi mereka yang sentiasa bersyukur.
Isteri yang bahagia akan menjadi peneman yang baik untuk si suami mencari rezeki mahupun menjadi tempat melepaskan lelah setelah seharian mencari rezeki. Hasilnya, suami akan lebih bersemangat untuk mencari rezeki pada hari-hari mendatang.
Kebahagiaan yang dirasai isteri akan membuatkannya selalu menyokong suami dalam keadaan apa pun, hinggakan si suami tidak akan pernah hilang semangat dan dorongan walaupun berada dalam keadaan yang paling sukar. Contohnya ketika suami hilang mata pencarian, isteri yang bahagia perasaannya akan tetap bersama dan menyokong suami agar terus bangkit dari kejatuhannya.
Akhir sekali, isteri-isteri yang bahagia pastinya mendidik anak-anaknya menjadi anak yang bahagia dan insan berguna. Rezeki akan datang dari setiap anak yang lahir. Bukan sahaja berupa wang dan kekayaan, malahan anak-anak yang soleh dan solehah jua merupakan rezeki yang tidak ternilai.
Kesimpulannya, kebahagiaan isteri boleh mempengaruhi suami dan anggota keluarga yang lain agar memiliki energi positif untuk bekerja mencari nafkah demi anak isteri.
Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI. Download seeNI sekarang!