“Lepas Setahun Kahwin, EZAD Ditangkap. Isteri Mana Yang Tak Malu?” – ZEANA

Share

Nama Ezad Lazim begitu dekat di hati pencinta seni tanahair. Pelantun lagu Demi Cinta ini tidak pernah sunyi dari dunia seni malah sedang aktif dalam dunia lakonan. Mengimbau kembali kejadian lapan tahun lalu, Ezad Lazim bersama isteri, Norazeana atau Zeana Ramli secara terbuka bercerita kisah saat Ezad ditangkap polis akibat penyalahgunaan dadah.

 

 

“Berkat kesabaran isteri saya Zeana, akhirnya saya berjaya mengubah diri menjadi lebih baik. ketika itu kami baharu setahun mendirikan rumahtangga. Zeana dapat tahu saya ditangkap kerana dadah. Waktu tu, memang saya memikirkan macam mana keluarga nak terima saya, macam mana kalau anak-anak tinggalkan saya dan adakah Zeana boleh terima keadaan saya?

 

Pada Allah saya memohon diberikan kekuatan untuk berubah dan akhirnya pengorbanan isteri saya yang sentiasa berada di sisi dengan sabarnya membimbing saya untuk merubah berhasil. Kerana dia, saya nak jadi lebih baik. dari situ saya lihat, kalau kita ikhlas nak berubah kita pasti akan berjaya.”ujar Ezad ketika ditemubual dalam live Sembang Kahwin Pesona Pengantin.

 

Malu

Isteri mana yang tidak terkejut apabila suami yang dinikahi mempunyai ‘rahsia’ tersembunyi. Perkenalan melalui hubungan keluarga membibitkan rasa cinta dan akhirnya menemukan mereka di jenjang pelamin.

 

“November 2014 , setahun selepas perkahwinan kami saya dikejutkan dengan berita penahanan Ezad. Masa tu Allah sahaja tahu perasaan saya. Malu dengan kawan-kawan di tempat kerja. Tapi kita kena hadapi juga. Sebelum kejadian tu saya ada suarakan hasrat ajak Ezad mengerjakan umrah. Tapi tak ada jawapan. Berat betul Ezad nak cakap yes or no. Tetapi selepas kejadian itu, Ezad terus cakap yes!” kata Zeana.

 

“Idea untuk mengerjakan umrah adalah yang terbaik. Di sana memang saya tak putus-putus berdoa supaya saya dapat berubah menjadi lebih baik untuk keluarga saya.”ujar Ezad.

 

 

Benarlah kata orang, perkahwinan tidak perlukan kesempurnaan individu tetapi ia adalah tentang pasangan yang saling melengkapi. Seperti Zeana, dia akui dirinya seorang perfectionist manakala Ezad lebih sempoi. Jadi untuk ‘mengubah’ Ezad perlukan masa dan kesabaran kerana bukan mudah untuk mengubah seseorang.

 

“Ketika kami bertemu, Ezad baharu sahaja keluar dari kumpulan Exist. Dia sedang mencuba untuk bergerak secara solo. Ketika itu saya nampak sesuatu yang lebih baik untuk Ezad dan saya cuba untuk groom

Ezad menjadi dirinya sendiri. Tidak mengharapkan sesuatu yang luar biasa tetapi lebih baik. Kalau dulu penampilan rockers, sekarang dah lain. Kiranya kami sekarang dah jumpa the right person,” kata Zeana.

 

MAKSUD BAHAGIA DALAM PERKAHWINAN MENURUT EZAD LAZIM

“Dulu saya juga tak terkecuali memikirkan kenapa perlu berkahwin sedangkan sendirian pun dah ok. Tetapi ia perkara yang dituntut dalam Islam. Masa awal-awal kahwin rasa terkongkong juga tetapi sebenarnya sebagai manusia kita perlukan pasangan untuk membentuk peribadi.

 

Bila berkahwin, kita ada rasa tanggungjawab sebagai seorang suami. Ketika itu kita baru sedar yang kita mahu sesuatu yang lebih baik dalam kehidupan. saya melalui banyak fasa negatif dalam hidup. Bila dah berkahwin, Alhamdulillah saya dapat hadapinya dengan lebih baik.”

 

MAKSUD PERKAHWINAN MENURUT ZEANA RAMLI

“Saya orang yang suka membantu. Jadi bila Ezad menjadi suami, saya rasa bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu dalam kehidupan Ezad. Kalau dulu kehidupannya lain, sekarang dah lain. Syukur Alhamdulillah.

 

Saya selalu nasihatkan Ezad, rezeki yang ada perlu dikongsikan dengan orang lain. Biarlah seimbang dunia akhirat. Satu hari nanti, saya berharap Ezad dapat berehat sebagai insan seni, mungkin boleh bekerja di sebalik tabir.”kata Zeana.

 

Mohd Rohaizad Mohd Lazim atau Ezad sudah sembilan tahun mendirikan rumahtangga bersama Nor Azeana Ramli atau mesra di sapa Zeana. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Puteri Rania Keisha dan Putera Muhammad Darwish. Walaupun dijodohkan keluarga namun Ezad dan Zeana bahagia dengan cara mereka.

 

Untuk menonton temubual bersama Ezad Lazim dan Zeana Ramli, KLIK LINK ini.

Published by
Anis Nor